Jumaat, 8 Mac 2024

HAMAS TIDAK DAPAT DIKALAHKAN


HAMAS TIDAK DAPAT DIKALAHKAN


Perang Palestin melawan  Zionis Israel di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah melintasi hari ke 150.  Projek dan niat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk memusnahkan Hamas gagal meleset. 

Jumlah angka kematian dari laporan Jabatan Kesihatan Palestin pada 5 Mac telah melintasi 30,631. Yang cedera 72,043 orang. Ini jumlah  mayat yang telah ditemui. Masih ada mayat hilang  yang terkambus dalam runtuhan bangunan.

Yang gugur dan tewas majoriti adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas termasuk orang sakit.

Dalam kancah perang gerila yang susah untuk di bunuh ialah gerila. Ini kerana gerila paling berwaspada terhadap senjata dan bom musuh.

Senin 26 Februari 2024  yang dihebohkan oleh Presiden Biden dimana akan berlaku gencatan senjata dah berlalu satu minggu. Satu kepala kucing pun tidak kelihatan. Amin.

Heboh heboh tentang gencatan senjata hanya heboh.  Wakil Hamas dari Qatar sudah sampai ke Cairo. Tuan Rumah ialah Mesir. Wakil Israel tidak muncul.

Biden yang akan berhadapan dengan Trump untuk pemilihan Presiden Amerika November ini kelihatan gelabah. Biden mahu gencatan senjata berlaku. Ini molek untuk imej, optik  dan propaganda pemilihan Presiden.

 Timbalan Presiden Kamala Harris melakukan satu perkara yang belum pernah terjadi di Amerika: mengkritik keras Israel.

Israel di kritik kerana melarang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza yang menjemput kebuluran. Kamala Harris juga mahu gencatan senjata serta merta di lakukan. 

Apa sudah  terjadi. Kenapa pentadbiran Biden mula berani menyelar dan mengkritik Zionis Israel.

Semenjak subuh Sabtu 7 Oktober 2023 – politik dunia telah berubah. Pandangan warga dunia terhadap negara  yang dipanggil Israel telah berubah.

Akhbar The Guardian dari London pada 24 Januari telah melaporkan 1 dari 3 warga Amerika menganggap Israel sedang melakukan genosid ke atas warga  Palestin.

Pada 16 Disember 2023 akhbar New York Post melaporkan majoriti anak muda Amerika yang berumur 18 ke 29 tahun mahu Israel di hapuskan. Ini berdasarkan pungutan suara dari The Economist/YouGov.

Kenapa ini berlaku. Jawabnya amat mudah. Generasi muda mendapat maklumat terkini dari media sosial seperti Tik Tok – pantas dan tuntas. Manakala generasi sebelum ini mendapat maklumat dari buku dan media jenis lama.

Justeru pada 8 November 2023  akhbar The New York Times melaporkan seorang Senator Josh Hawley dari Missouri mahu Amerika mengharamkan Tik Tok yang dianggap anti Israel.

Media sosial telah membawa perubahan politik terhadap Israel. Perubahan ini berlaku dengan amat jelas. Bila Gaza di bom, bila hospital di bom, bila sekolah di bom, bila masjid dan gereja di bom – semua ini membantu berubahnya pandangan dunia terhadap Israel.

Gambar, imej dan babak-babak  yang berlaku di Gaza sampai dengan serta merta ke talipon bimbit. Maklumat segar tanpa disunting di hadapan mata. Imej dan  gambar di Tik Tok mempengaruhi hati dan naluri  sesiapa yang menuntun.

Hanya yang tidak berhati perut saja yang tidak terganggu jiwa bila melihat anak-anak menghulur mangkuk meminta makanan. Hanya yang berhati Zionis saja tidak melelehkan air mata  melihat ibu mencium anak yang cedera berdarah.

Media sosial sedang mengubah dunia. Kata-kata kasar lucah dan rasis dari Menteri Dalam Negeri Israel Itamar Ben-Gvir dalam Hebrew kini diterjemahkan oleh Lebai Google dengan tuntas.

Media sosial menelanjangi Zionis Israel. Bulu ari dan kurap Israel semua sedang di lihat dunia. Amin.

Apa yang berlaku di Gaza kini diakui dunia sebagai genosid – pembunuhan beramai-ramai -. Kita tidak perlu menunggu  keputusan Mahkamah Antara Bangsa dari Belanda untuk menerima hakikat bahawa Zionis Israel adalah penjenayah yang berniat untuk menghapuskan warga Palestin di Gaza.

Sejarah merakam bagaimana kaum Yahudi telah dibunuh beramai-ramai dalam Perang Dunia Ke Dua oleh Nazi Hitler. Genosid Hitler ini dikenali dengan nama Holocaust. Ini berlaku lebih dari 70 tahun dahulu.

Kini mangsa Holocaust sedang menjalankan program Holocaust. Ini seperti kata intellectual Palestin Edward Said – “You cannot continue to victimize someone else just because you yourself were a victim once—there has to be a limit”.

 Bani  Yahudi  tidak boleh terus menjadikan  orang lain mangsa  hanya kerana Bani Yahudi  sendiri pernah menjadi mangsa —perlu ada hadnya”

Holocaust ini dijaja dan dijadikan umpan untuk mengugut warga Eropah untuk merasa bersalah di atas pembunuhan 6 juta Bani Yahudi oleh Nazi Hitler.

Apa yang berlaku sekarang Holocaust sebagai umpan telah tidak lagi mujarab untuk  ditelan oleh generasi muda. Generasi Tik Tok tidak ambil pot tentang apa yang berlaku lebih dari 70 tahun dahulu. Apa yang mereka lihat ialah kehancuran dan kemusnahan Gaza.

Apa yang ditulis ini bukan propaganda anti Israel. 

Majalah The Economist  melaporkan pungutan suara dari 1500 warga Amerika hampir setengah yang berumur 18-29 tahun tidak lagi terpengaruh dengan naratif Holocaust.  

Satu lagi perkara yang sedang berlaku ialah kempen boikot.  Kempen Ngo BDS – Boycott Disvestment and Sanctions -  Boikot, Pencairan dan Sekatan ialah gerakan tanpa kekerasan yang dipimpin oleh Palestin yang mempromosikan boikot, pelupusan dan sekatan ekonomi terhadap Israel

 Kempen global ini amat berjaya. Malah syarikat popular seperti McDonald dan Starbuck  kehilangan berjuta-juta dolar hasil dari kempen BDS.

Malah kita lihat sendiri bagaimana McDonald Malaysia gelabah dan mengumumkan bahawa syarikat ini milik orang Islam. Kah kah kah. Untuk membuktikan Keislaman McDonald   jaringan BDS di Malaysia telah di saman. 

Anak semua bangsa di Malaysia memboikot McDonald kerana mereka terlihat gambar makanan segera ini dihantar berkotak-kotak untuk habuan soldadu Israel yang sedang membunuh warga Gaza. 

Ini peranan media sosial.

Paling terkini ialah Tuan Pemilik Starbuck  yang telah di boikot oleh pengguna  Melayu Islam telah menerangkan bahawa pekerja di syarikat ini terdiri dari  anak muda Melayu Islam.

Sama ada  kenyataan Tuan Empunya Starbuck ini  menjadi viagra untuk menaikkan kembali nafsu pengguna Melayu Islam belum lagi ada kepastian. 

Apa yang pasti selagi Gaza di bedil selagi Palestin dijajah selagi itu   jaringan BDS global dan BDS Malaysia akan terus menjalankan kempen boikot.

Percubaan Zionis Israel untuk memusnahkan Hamas telah membuka pentas perang yang baru. Kali ini Houthi dari Yaman telah  menyusun strategi untuk menjadikan Laut Merah medan tempur.

Bayangkan negara termiskin dalam dunia ini telah menggunakan drone untuk menembak kapal-kapal yang ada hubungan dengan Israel.

Bayangkan soldadu Yaman yang hanya berselipar ini telah berjaya memusnahkan beberapa buah kapal musuh di Laut Merah. Langkah Yaman ini telah menjemput serangan balas dari Amerika dan Inggeris.

Kesan serangan dari Houthi ini bukan berapa buah kapal Amerika tenggelam. Ada dampak yang lebih mendalam. Ini serangan ekonomi ke atas Israel.

Laluan Laut Merah ini amat penting untuk menghubung  Eropah dengan Asia. Ditengah perjalanan ada pelabuhan Eilat milik Israel. 

Pada 21 Disember 2023 agensi berita Reuters telah melaporkan 85% aktiviti perkapalan di pelabuhan ini terhapus.  Semenjak Yaman  menembak kapal menggunakan peluru berpandu pelabuhan Eilat jadi lengang.

Semenjak serangan Yaman di Laut Merah bermula Israel telah kehilangan 3 bilion dolar pendapatan dari pelabuhan Eilat. Ini  6% dari GDP negara. Dalam masa 10 tahun perang ini akan merugikan Israel sebanyak 400 bilion dolar.   
Zionis tidak berdiam diri.

Lembaga dan NGO pro Israel semakin ganas menjalankan kempen untuk mempertahankan Israel. Kempen Zionis ini memperlihatkan bagaimana  siswa di kampus-kampus di Amerika di kawal dari menjalankan gerakan yang dilihat  bersimpati dengan Palestin.

Presiden Universiti Havard Claudine Gay meletak jawatan. Dia dikatakan melakukan plagiat. Tapi sebab sebenarnya ialah tekanan dari kumpulan pro Zionis kerana Claudine  membenarkan kebebasan bersuara dalam kampus. Pelajar di Havard bebas menyatakan pandangan mereka terhadap isu Palestin.

Apa yang berlaku di Havard menjadikan lebih ramai warga benci dan menyampah melihat kerja dan kelakuan pelobi Zionis ini.

Perang dan serangan di teruskan. Ramadan akan sampai. Pengeboman diteruskan. Gencatan senjata hanya caka-cakap.

 Setiap hari angka kematian bertambah, kebuluran merebak, kanak-kanak  makin ramai mati. Yang selamat terencat akal kerana kurang zat makanan. 

Perang bukan main konda kondi. Perang  membunuh.  Jika tidak membunuh kita akan dibunuh.  Justeru perang juga membawa krisis mental. Bukan saja untuk warga Gaza tapi masalah mental juga sedang dihadapi oleh soldadu Israel.

Agensi berita Anadolu pada 28 Februari 2024 melaporkan lebih dari 30 ribu soldadu sedang menghadapi masalah mental. Anak-anak muda – bujang dan dara sunti - yang  dikenakan  khidmat negara dipaksa masuk ke kancah perang. Ini menimbulkan sindrom sakit otak pasca perang makin meluas. Amin.

Projek hapuskan Hamas ini jelas telah gagal. Hamas masih  berupaya menyusun dan mengatur serangan balas. Malah projek Netanyahu ini telah mengubah pandangan dunia terhadap Zionis Israel.

Optik dan pandangan dunia semakin menyebelah kebenaran dan keadilan. Warga dunia makin sedar apa itu Zionis Israel. 
 
Optik dan pandangan dunia ini juga memperlihatkan bagaimana warga dunia melihat Amerika dan Eropah. Kuasa imperialis  Amerika penyokong kuat Israel juga dalam krisis. Amerika sedang berhadapan dengan krisis  ekonomi . politik dan sosial yang maha hebat

Apa akan jadi jika kuasa Amerika runtuh? Apakah Israel dapat di selamatkan ? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan