Isnin, 18 Mac 2024

MALAYSIA NOW KEMBALI


MalaysiaNow kembali!

Pada Oktober lalu, MalaysiaNow menghentikan operasinya.

Keputusan untuk menamatkan pasukan kecil kami dibuat tidak lama selepas laman web kami dikenakan sekatan 48 jam. Sehingga hari ini, tiada penjelasan daripada kerajaan melainkan beberapa penafian kosong.

Insiden tersebut menunjukkan sejauh mana kerajaan hari ini sanggup bertindak demi memastikan wartawan kembali menjadi burung kakak tua dan pita rakaman. Malaysia kembali ke era 80-an dan 90-an, ketika belum wujud platform dalam talian yang mengupas kebodohan ahli politik yang sering kali dijadikan dasar negara.

Kini jelas segala janji reformasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah palsu, dan apa yang berlaku akan disemadikan dalam buku teks sejarah di masa depan.

Tetapi tindak tanduk pihak pembangkang juga mengecewakan.

Ramai di kalangan ahli politik pembangkang kelihatan rela dan pasrah dicap sebagai "Melayu sayap kanan"; ada juga bertindak tanpa segan silu terhadap mereka yang mengundi mereka, dengan harapan wakil rakyat dapat memainkan peranan semak dan imbang.

Sementara itu, media rata-rata gagal mengisi kelompongan ini, kebanyakannya hanya meratib dasar kerajaan dalam laporan mereka. 

Pada sidang akhbar pula, ahli politik kerajaan dan menteri terlepas daripada soalan sukar, apatah lagi dicabar oleh wartawan mengenai undang-undang yang zalim.

Usaha terkini meminda peruntukan kerakyatan dalam perlembagaan merupakan contoh jelas bagaimana undang-undang zalim yang mahu dibawakan kerajaan tidak mendapat tempat di media.

Sekiranya diluluskan, ia bakal menjadi mercu tanda kegagalan kerajaan dalam melakukan pembaharuan.

Apakah pihak media dan pembangkang – yang merupakan elemen penting sistem demokrasi – telah mendalami pindaan ini, yang merupakan satu bentuk serangan terhadap harga diri manusia, dan yang bakal menjejaskan kehidupan beribu-ribu orang Malaysia yang terpaksa hidup sebagai pelarian tanpa izin di negara mereka dilahirkan dan dibesarkan?

Ini cuma satu isu di antara banyak lagi yang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada media atau pihak pembangkang, yang sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang.

Peranan demikian kini diletakkan ke atas bahu rakyat biasa di media sosial, di samping usaha beberapa nama terkenal melalui tulisan dan podcast mereka yang jauh mengatasi profesionalisme wartawan.

Dengan sumber kami yang terhad, MalaysiaNow berusaha untuk mendedahkan ahli politik yang gagal, dan segala rancangan berbahaya mereka untuk negara.

Sudah tentu pelbagai halangan akan dilakukan terhadap kami – sekatan dalam talian, ancaman dan ugutan, pembatalan pas media – tetapi kami berdoa semua ini tidak akan menghalang kami daripada memenuhi tugas kami.

Dalam memenuhi tanggungjawab ini, kami akan berpegang kepada kebenaran, seperti yang telah kami lakukan sejak 2020 dengan liputan dan pendedahan kami – kerana peranan menyiasat dan melapor inilah yang mewajarkan kewujudan kami sebagai media.

BERITA BAIK

MALAYSIA NOW

 KEMBALI

AMIN

GUA AKAN TERUS

MENULIS DALAM

PORTAL INI

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan