Isnin, 25 Mac 2024

STOKING DAN KEMARAHAN MELAYU : CUI BONO?


STOKING DAN

KEMARAHAN MELAYU :

CUI BONO ?


Satu ketika yang agak lama dulu Malaysia heboh dengan stoking. Lebih tepat lagi Bani Melayu yang heboh bukan dengan stoking untuk  kasut  tapi dengan Hantu Stoking. 

Kali ini bulan Ramadan 2024 – ketika Bani Melayu berpuasa sekali lagi negara heboh dengan stoking. Tahun ini  bukan  hantu stoking buat kacau tapi stoking berjenama Allah ditemui di KK Mart.

Heboh macam nak rak.

Apa sebenarnya isu stoking ini ?

Untuk ini biar saya beri latar pengalaman saya. Ketika saya berkelana di London  teman saya   Maria seorang pereka fesyen dan pereka fabrik berasal dari Finland. Setiap bulan Mac sebelum masuk musim panas Maria  akan dapat arahan dari wakil pembeli disain  syarikat fabrik dari New York, Milan dan Paris. 

Arahan cukup jelas. Apa warna fabrik musim bunga tahun itu. Apa jenis fabrik musim panas. Apa corak fabrik tahun itu. Semua dinyatakan dengan jelas. Semua di rancang. Semua disusun dan diatur oleh gedung fesyen untuk pereka  fesyen tahun itu.

Arahan ini datang dari gedung fesyen seperti Chanel, Dior, Gucci, Prada , atau Hermes.

Saya masih ingat lagi pada tahun 1990 ada  satu arahan : No Arabic calligraphy – tidak ada tulisan Arab.  Maria agak hairan kenapa di larang imej yang menggunakan kaligrafi Arab. Tapi saya sedar dan faham.

Bayangkan semenjak tahun 1990 lagi gedung fesyen yang di miliki oleh kapitalis  kapir di Paris, New York  dan  di Milan telah sedar akan sensitiviti Arab  - tulisan Arab berikat dengan  agama Islam.

Justeru bila isu stoking berjenama Allah  di temui di kedai KK Mart saya yakin ada  agenda besar yang lebih besar dari besar.

Dalam semua analisa babak politik seperti ini yang wajib di tanya ialah Cui Bono – sapa untung.

Untuk mereka yang bukan penganut agama Islam mungkin tidak merasa apa-apa. Tetapi untuk Bani Melayu – untuk Melayu Islam – nama Allah di kaki  ini satu perkara yang NO NO.

Jangan  lupa dengan Charlie Hebdo – komik satira keluaran 9 Februari 2006 yang melakar secara lawak wajah muka Nabi Muhamad.

 Eropah gempar bila umat Islam marah dan naik angin dengan Charlie Hebdo. Pembunuhan berlaku. Masyarakat Eropah sama seperti Tiong, Nga, Kelvin dan Loke  tertonggeng-tonggeng hairan  melihat reaksi  umat Islam. 

Stoking KK Mart ini bunting dengan pelbagai perkara. Stoking ini hanya periuk retak menunggu belah.

Wajib saya nyatakan disini bahawa latar belakang stoking ini adalah kesedaran Melayu  Islam. Inilah yang saya maksudkan  lebih besar dari besar.

Kemarahan Melayu Islam belum reda. Mereka merasa ditipu. Mereka merasa tidak puas hati. Parti mereka yang menang majoriti dalam PRU 15 tapi mereka gagal menubuhkan kerajaan.

Ini kemarahan  terpendam Bani Melayu. Apa yang kita lihat berlaku di pentas politik hari ini adalah manifestasi dari perasaan cilaka yang mereka telah  kena tipu. Untuk Bani Melayu Islam kerajaan hari ini bukan kerajaan pilihan rakyat tapi kerajaan Titah. Amin

Mereka akur dengan Titah  tapi hati mereka bengkak bernanah. Amin

Suasana ini di keruhkan   lagi oleh tindak tanduk politikus dari parti DAP. Kalau dulu Mat Huru Hara DAP ialah Lim Kit Sing dan Ramasamy kini di tambah dengan Nga, Tiong dan Kelvin.

Cadangan Kampung Baru China sebagai tapak waris menaikkan darah Bani Melayu. Isu mengubah nama Kampung Pantai Dalam menjadi Bangsar South masih membara.

Bani Melayu melihat cadangan ini lucah dan mempertikaikan kejatian dan kewatanan Melayu warga asal Tanah  Melayu. Pendatang China yang memiliki kuasa ekonomi kini menginjak injak dan menciplak  warisan  Melayu.

Tidak cukup dengan ini datang pula Tiong  yang mencadangkan Bak Ku Teh sebagai makanan negara. Meluap sekali lagi darah Bani Melayu  Islam. 

Malah ada yang memanggil Bak Ku Teh ini Sup Tulang Babi Madani. Ini untuk menganjing Anwar Ibrahim yang sibuk dengan Islam Madani.  

Dalam Tik Tok dan YouTube heboh di persoalkan apakah Sup Tulang Bani Madani ini halal di makan. Kah kah kah.
Seperti telah di rancang bermula dengan Kampung Baru China , datang pulang Sup Tulang Babi Madani dan masuk pula  stoking berjenama Allah.

Kemarahan Bani Melayu makin  bertambah. Kalau anak sendiri degil seperti Nga dan Tiong  pasti kena pelempang. Amin

Kembali kita kepada stoking  berjenama Allah.  Sekali pandang macam tidak ada apa-apa. Tapi bila di teliti dan diberi perhatian rapi maka kita akan temui bahawa ini bukan kerja calang-calang.

Bukan kerja kecik anak.

Allah ditulis dalam huruf Rumi  dan dalam tulisan Rumi ini muncul Allah dalam tulisan. Jawi.  Wow ! Ini maknanya ada otak telah digunakan untuk melakar kalimah Allah ini. Maknanya  disain ini di rancang dengan bakat seni yang terlatih bukan pungut muat.

Jika ini di rancang  apa tujuannya ?

Untuk saya pada hemat saya di belakang isu stoking ini adalah daulah terpendam atau deep state. Ada perancangan  licik dengan tujuan yang jelas.
Untuk ini saya akan gunakan konsep cui bono – sapa untung. Dalam konsep cui bono ini kita  lihat sapa yang dapat untung dari kejadian ini. Seperti dalam rompakan kita ikuti duit yang di curi – dimana duit itu berakhir.

Jika dalam kes rasuah kita ikuti duit  - dari mana datangnya duit dan sapa akhirnya jadi kaya. Syarikat apa dapat  kontrek.

Kenapa saya berkata daulah terpendam yang merancang ?

Untuk memahami ini kita wajib kembali melihat PRU15. Dalam PRU15 jelas penjawat awam, polis dan askar tidak menyokong Pakatan Harapan. Rata-rata mereka memberikan sokongan  kepada Perikatan Nasional.

Kebencian Bani Melayu Islam terhadap DAP cukup tebal. Kerjasama United Malays National Organisation dengan DAP adalah langkah bijak Zahid Hamidi untuk mengelak diri dari masuk  penjara. Langkah bijak Zahid ini di sokong kuat  oleh keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Ini di fahami oleh Bani Melayu Islam. Ini disedari oleh penjawat awam. Ini disedari oleh polis dan askar – yang hampir semuanya Melayu.

Sokongan  mereka terhadap Perikatan Nasional gagal menubuhkan  kerajaan. Kejayaan undi mereka telah di sailang oleh Titah. Mereka marah dan  menyimpan dendam.

Tup tup timbul agenda hapus pencen. Jeng jeng jeng. Ini adalah tamparan  dan  ludah terakhir dari kerajaan Madani terhadap Bani Melayu.

Agenda hapuskan pencen ini dilihat, dibaca dan di propaganda oleh Bani Melayu Islam sebagai agenda DAP. 

Ombak kebencian dan suara menentang agenda pencen ini cukup ampuh.  Tarikh implementasi  telah diumun tapi kerajaan  Madani jadi gelabah lalu tarikh di tangguh.

Semua yang saya tulis di atas adalah latar untuk memahami apa yang sedang berstoking.

Mari kita kembali pada stoking. Dari apa yang dibaca. Dari kenyataan polis hanya tidak lebih dari 1 dozen stoking yang di temui. 

Di katakan stoking ini di import dari China. Lalu persoalan timbul  mustahil mengimport hanya  satu dozen  sahaja. Ini tidak masuk akal. Jeng jeng jeng.

Apakah stoking ini diselitkan atau di curi masuk ke dalam KK Mart walhal KK Mart tidak tahu menahu?

Jika ini berlaku – sapa punya kerja ?

Jawabnya CUI BONO ? Sapa untung ?

Jelas setahun kerajaan Madani berkuasa negara  makin kucar kacir. Negara makin tidak stabil.

Punca utama tidak stabil ialah keresahan Bani Melayu Islam.  Untuk pertama kalinya Perdana Menteri negara ini bukan datang dari parti Melayu. Ini meresahkan Bani Melayu. 

Kunci kestabilan negara ini ialah Perdana Menteri wajib datang dari parti Melayu dan parti memerintah  Malaysia wajib dikepalai dan dipimpin oleh parti Melayu bukan dari DAP yang bermajoriti sekarang ini.

Justeru kelihatan isu stoking ini adalah langkah mengacau Madani. Isu stoking ini untuk menggugat Madani. 

Nampak dilihat bagaimana Pemuda United Malays National Organisation amat lantang bersuara menibai KK Mart. Suara pemuda gerombolan diikuti pula oleh  suara pelbagai NGO yang tidak  menyokong  Anwar Ibrahim.

Justeru untuk seketika Anwar Ibrahim sendiri senyap membisu tiak berani bersuara kerana telah ada Titah yang selari dengan sentimen Bani Melayu Islam menyerang KK Mart.


Kejayaan awal daulah terpendam dalam projek stoking ini ialah parti DAP mula bergaduh dengan  parti United  Malays National Organisation. 

Apakah stoking ini projek untuk meruntuhkan kerajaan Titah.

Lalu persoalan timbul sapa daulah terpendam ini ?

Daulah terpendam terdiri dari pegawai tinggi  kerajaan – ada yang sudah bersara , ahli perniagaan, para politikus, gulungan feudal, pegawai polis dan askar. Hakikatnya  dualah terpendam bukan berstruktur resmi.

Daulah terpendam bekerja tersusun tanpa organisasi. Daulah terpendam teratur tanpa pimpinan. Apa yang mengikat mereka ialah kepentingan bersama. Mereka diikat oleh perasaan Melayu Islam.

Dalam kes stoking ini daulah terpendam berkumpul  dan bersatu  dalam satu saf. Mereka bersatu kerana tidak suka dengan putar alam dan retorik Islam Anwar Ibrahim.

 Sosok Anwar Ibrahim inilah yang berjaya pada ketika ini mendirikan daulah terpendam yang mahu melihat kerajaan Madani ditalkinkan.

Jangan  lupa di zaman Najib ada kepala babi di lempar masuk ke dalam masjid di Jalan Klang Lama. Ada masjid disimbah cat merah.  Ini kerja siapa ? Apakah ini kerja daulah terpendam yang sampai hari ini siapa meletak kepala babi dalam masjid tidak di ketahui. 

Justeru - apakah salah jika saya rumuskan pada ketika ini psikik Bani Melayu merasa kejatian wujudiah mereka, budaya mereka, sejarah mereka dan agama mereka sedang di gugat. Amin. (TT)

TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/03/25/stokin-dan-kemarahan-melayu-cui-bono


1 ulasan: