Ahad, 21 April 2024

BERITA BAIK - HASIL LAPORN MEDIA




Selepas berteduh bawah payung di kaki lima, sinar baru untuk pasangan warga emas
Hilang kabus, teduh hujan, ungkapan yang sesuai untuk dua warga emas yang hidup gelandangan di Kuala Lumpur sejak November lalu.

Kisah mereka mendapat perhatian meluas selepas mereka dikasari dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selang beberapa hari tular laporan MalaysiaNow mengenai pengalaman duka yang dialami pasangan.

Semalam, nasib Zaleha Haron dan suami yang sudah enam bulan merempat di kaki lima selepas diusir anak sendiri di Kulim, Kedah, terbela apabila mereka diberikan sebuah bilik sewa di sekitar kawasan Kota Raya di Kuala Lumpur, membolehkan wanita itu berulang alik mengambil upah mencuci pinggan mangkok di sebuah restoran berdekatan.


Bilik sewa itu disediakan dengan usaha beberapa agensi, tindakan yang jauh berlainan daripada sikap bengis yang ditunjukkan dua orang pegawai yang cuba menghalau Zaleha dan suami serta memaksa mereka meninggalkan ibukota.

Kejadian itu berlaku ketika umat Islam menyambut Hari Raya ketiga, dua hari selepas kisah sedih Zaleha dan suaminya dilaporkan MalaysiaNow.

Galeri gambar: Pasangan warga emas beraya di kaki lima
Kalau bukan kerana bantuan seorang sahabat yang menghalang dua pegawai itu daripada memaksa pasangan itu menaiki bas ke Johor, Zaleha mungkin kini masih hidup gelandangan meskipun bukan di Kuala Lumpur.

Semalam, Zaleha memulakan kehidupan baru di bilik sewa yang diusahakan oleh Yayasan Kebajikan Negara dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beberapa barang keperluan berserta wang tunai turut disumbangkan agensi berkenaan, bagi membantu Zaleha dan suaminya membina semula kehidupan mereka yang dirampas selama enam bulan. 

Zaleha hampir tidak percaya dengan limpahan kebaikan yang menyambutnya biarpun masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang menimpa dirinya.

"Tak terbalas jasa semua yang membantu makcik. Selama ini makcik duduk sahaja di tepi kaki lima. Hari ini makcik ada bilik, ada ruang nak rehat dengan baik, boleh mandi dan solat dengan baik," katanya.

"Terima kasih ya Allah," katanya tidak dapat menahan air mata.

Seperti sebelum ini, Zaleha berkata tidak mahu terus bergantung kepada orang lain, kerana percaya masih mempunyai kekuatan mencari pendapatan bagi dirinya dan suaminya, yang ditimpa masalah kemurungan.

"Makcik akan terus bekerja sebab makcik nak kumpul duit sedikit demi sedikit, jadi adalah duit juga untuk kami nak beli makan dan buat simpanan."

Beberapa pihak kini sedang berusaha mendapatkan bantuan bulanan kepada pasangan itu.

JKM yang sebelum ini dikecam orang ramai atas tindakan dua pegawainya, juga menubuhkan sebuah jawatankuasa menyiasat mereka.

Sementara itu, pejabat MalaysiaNow tidak putus-putus menerima panggilan dan emel daripada orang ramai yang mahu membantu.

Kisah dua warga emas ini bukan sahaja menayat hati orang ramai, tetapi juga diharapkan membuka mata pihak berkuasa tentang realiti pahit yang dialami setiap hari oleh miskin bandar terutama gelandangan.

Dalam minggu-minggu yang akan datang, MalaysiaNow akan mengetengahkan lebih banyak kisah gelandangan dan miskin bandar yang senasib dengan Zaleha.


TAHNIAH MNOW 

PAPAR BERITA

HASILNYA 

BAWA  BERITA

BAIK

AMIN

JIKA MEDIA KITA

BUKAN MEDIA

BODEK BANYAK

MASALAH BOLEH

DI SELESAIKAN

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan