Ahad, 7 April 2024

HAPUSKAN AKTA HASUTAN BAGINDA QUEEN


Kenyataan Akhbar 



Berkenaan Siasatan terhadap Ketua Pemuda Umno Malaysia. 

Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno tidak sepatutnya disiasat di bawah Section 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Section 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara  Razarudin Husain kerana kedua-dua akta tersebut bersifat kuku besi dan zalim yang sering disebut akta yang draconian.

2.Pakatan Harapan pernah berjanji di dalam manifesto pilihanraya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang zalim dan meminda Section 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang terlalu luas, kabur dan terbuka untuk disalahgunakan.

3.Ketua Pemuda Umno itu sewajarnya disiasat di bawah Section 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan. Yang berkait dengan kesalahan kerana mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

4.Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh tetapi hak beliau  untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stokin yang dikaitkan dengan kalimah Allah adalah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.

5.Oleh kerana saya Hassan Abdul Karim secara peribadi telah pernah disiasat, dituduh dan dibicarakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan mengetahui betapa zalimnya Akta Hasutan tersebut Maka sebagai seorang peguam dan ahli parlimen Malaysia yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan di Malaysia merdeka ini, maka saya dengan suci hati dan ikhlas menawarkan diri jika Dr Muhamad Akmal, Ketua Pemuda Umno sudi dan bersetuju untuk menerima tawaran ikhlas saya sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman Dr Akmal jika sekiranya beliau pada akhirnya tetap akan dituduh di bawah Akta Hasutan 1948.

Yang benar,

Hassan Abdul Karim 
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Sabtu 6 April 2024.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan