Tolong jangan buang sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama
KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang meminta pengguna jalan raya yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) supaya tidak membuang sampah ketika singgah berehat di tepi lebuh raya itu.
Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata perbuatan itu boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal apabila sampah terutama tin minuman bertaburan di jalan raya.
Ketiadaan kemudahan hentian rehat dan rawat (R&R) di LTU bukannya alasan untuk melakukan perbuatan terbabit kerana ia memberikan gambaran tidak baik mengenai sikap segelintir pengguna jalan raya.
"Perbuatan membuang sampah tidak sepatutnya berlaku jika sikap dan disiplin diri ada terutama untuk memastikan sepanjang LTU itu bebas daripada sampah.
"Sepatutnya sampah yang ingin dibuang itu disimpan dalam kenderaan dengan menyediakan plastik atau tong sampah kecil dan apabila tiba di destinasi yang mempunyai kemudahan tong sampah, boleh membuangnya," katanya dihubungi hari ini.
Beliau berkata, SWCorp menerima aduan sampah yang dibuang di lebuh raya itu dan mengharapkan kejadian seperti itu tidak berlaku lagi.
Katanya, papan tanda peringatan akan dipasang untuk memastikan pengguna jalan raya tidak buang sampah sesuka hati.
"SWCorpd bersama beberapa pihak termasuk Jabatan kerja Raya, Roadare dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berusaha untuk mencari jalan penyelesaian memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya tidak membuang sampah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan