Jumaat, 19 April 2024

INTERLUDE -SELINGAN - EXTRA TURN


INTERLUDE 

– SELINGAN – 

EXTRA TURN


Ketika saya di Kolej  Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1969  saya berkenalan dengan Interlude.  Interlude ini satu tradisi tegar di MCKK. Interlude ini lahir dari budaya pertunjukan konsert.

Dalam pementasan drama ketika babak satu nak masuk ke babak dua tirai akan dilabuh. Set baru akan diatur. Ketika mengatur set  di belakang  tirai  interlude akan muncul. Interlude adalah aksi pendek di hadapan tirai. Tujuan untuk mengambil masa memasang set baru  untuk babak baru di belakang tirai

Interlude ini aksi lawak pendek oleh dua atau tiga pelakon. Lawak interlude ini  cukup diminati dan  menjadi budaya  pentas di MCKK.

Bila saya mengajar di ASWARA tahun 2007 saya berjumpa pula dengan  extra-turn. Extra turn muncul dalam budaya Bangsawan – seni teater tradisional Melayu.  Extra turn Bangsawan ini sama  konsepnya seperti  interlude di MCKK. 

Extra turn dan Interlude adalah selingan – masa untuk mengubah set di belakang tirai. Mungkin  set   Istana Raja beralih ke bilik  tidur Tuan Puteri. Selingan ini sentiasa lawak. Sentiasa menghibur.

Parlimen juga adalah teater. Sesekali Agong hadir. Bila Agong hadir para YB memakai kostum yang pelik dan  yang luar biasa – bersongkok , bertanjak dan berdestar. Para YB  berteater di Parlimen untuk memutar kepala pengundi.

Teater ini untuk menunjukkan betapa hebat dan Agongnya para YB. Justeru boleh melanun secara halal.

Dalam Parlimen sama seperti dalam teater atau bangsawan  ada Tukang Lawak.  Dalam Bangsawan Melayu ada watak  Wak Dogol.  Sosok ini  membuat extra turn dan membuat  interlude. Jika tidak Parlimen jadi kering dan bosan.  Hakikatnya Wak Dogol wujud dimana-mana termasuk dalam Parlimen.
 
Dalam istana pun ada Wak Dogol – court jester. Melawak dan menceriakan tamu dan kaum kerabat Di Raja.   Hakikatnya Wak Dogol wujud dimana-mana.

 Dalam Parlimen kita terbaca ketika Dewan bersidang kerap kali ada YB yang menjadi Wak Dogol. Paling menarik bila  Menteri beralih watak dan terus menjelma menjadi Wak Dogol. Satu Malaysia menyumpah  seranah sambil ketawa.

Contoh Wak Dogol  terkini dan terbaik ialah YB Mat Maslan.  Contoh Wak Dogol klasik ialah  bekas pemimpin MIC Sami Veloo yang wajib mendapat pingat emas dengan lawak-lawaknya. 

Mat Maslan terjun dengan lawak lawaknya.
Sami Veloo terjun dengan labu-labunya Biarkan. Biarkan.

Satelah PRU15  muncul Wak Dogol baru di Parlimen. Namanya  YB Sany Hamzan. Malah YB  Sany bekas Ketua Pemuda Amanah ini sedang  bersaing  hebat dengan Mat Maslan untuk  menjadi Pelawak Parlimen sesi Pru15..

Tup tup tertiba dalam bulan Puasa 2024 ada pendatang baru yang memeranjatkan. Wak Dogol baru ini cuba menceriakan suasana ekonomi negara yang muram. Ketika  nilai ringgit jatuh, ketika harga barang melonjak naik. 

Muncul Datuk Seri  Johari Abdul aka Jo Bedul sebagai Wak Dogol terkini. 

 Sosok ini tak ada kerusi Parlimen. Jo Bedul kalah dalam PRU15. Tapi dilantik sebagai Tuan Speaker. Jo Bedul di berikan peranan untuk mendogolkan  Parlimen. Amin.

Jo Bedul ini sama seperti Saifuddin Nasution adalah Panglima Sang Setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dua sosok ini adalah orang kanan dan tukang pukul Anwar Ibrahim. Dua dua tidak ada kerusi Parlimen.

Jika tahun 1793 dilaporkan Marie Antoinette berkata ‘ kalau tak ada roti makan lah kuih cake ....’  Latar belakang kata-kata yang terkenal hingga hari ini dilafazkan oleh Permaisuri Perancis. Ucapan di lafaz  ketika rakyat Perancis sedang bangun memberontak kerana kurang makanan.

Kepala Permaisuri  Antoinette  di penggal bersama sama seperti kepala suaminya King Louis ke 16. Akhirnya Perancis menjadi sebuah  Negara Republik.

Tahun 2024 Jo Bedul  Tuan Speaker Parlimen seperti Marie Antoinette telah berkata  ‘ jika tak ada beras  sila makan ubi kayu ..’ Kah kah kah.

Latar belakang kata-kata Jo Bedul itu sama seperti di zaman Revolusi Perancis. Tahun  1793 di Perancis roti hilang dari pasaran. Tahun 2024  di Malaysia beras tempatan hilang dari pasaran. Amin

Jangan risau kepala Jo Bedul masih lekat dilelernya.  Malaysia memerlukan  ramai Wak Dogol untuk menghibur hati dalam suasana ekonomi meleset ringgit jatuh dan perang di sana sini. 

Tapi ada satu perbezaan hakiki antara roti Marie  Antoinette  dengan ubi kayu Jo Bedul.

Ubi kayu adalah ingatan bersama – collective memories -  warga Tanah Melayu dalam zaman Jepun.

Jo Bedul yang menjadi  Wak Dogol  mungkin tidak sedar akan cerita kesengsaraan rakyat makan ubi kayu di zaman Jepun. Malah selain dari ‘ pedang panjang Jepun ‘ yang diingati oleh rakyat ialah beras  putih panjang – bukan beras basmati dari Sungai Ganges   tapi  ubi kayu.

Untuk Bani Melayu ubi kayu ini mengingati kembali bukan saja kesengsaraan di zaman Jepun malah ianya mengembalikan  ingatan ngeri kezaliman pemerintahan Jepun.

Justeru tahun pertama Kerajaan Titah akan dinobatkan  dengan berita ubi kayu. Ubi kayu zaman Jepun kita teringat muka dan sejarah  Jeneral Yamashita penakluk Tanah Melayu.

 Ubi kayu tahun 2024 kita akan tergambar muka dan sosok  Datuk Seri Johari Abdul. Amin.

Tojo dan Yamshita digantung mati seperti Marie Antoinette. Datuk Seri Johari Abdul masih diperlukan untuk menelurkan  lawak-lawak baru untuk mengsangsarakan rakyat.

Para politikus kita bercakap seolah-olah ada kekosongan diantara dua telinga mereka. Cakap ikut sedap. Bercakap dulu kemudian berfikir. 

Satu ketika dulu sebelum zaman Internet Youtube dan Tik Tok – bila para YB atau  Menteri bercakap bangang maka  wartawan akan di tuduh salah kutip dan  salah lapor..

Hari ini di zaman  Tik Tok salah kutip dan salah lapor ini tidak lagi boleh di jadi Iron Dome – perisai keselamatan politikus bangang.

Ucapan Ubi Kayu Jo Bedul dapat dilihat tanpa ada jari lima  Fahmi Fadil cuba  mengaburi.

Apa yang jelas dari Jo Bedul ialah dia bercakap tanpa berfikir.  Sebenarnya ada beberapa saat sebelum kita membuka mulut - kita diberi peluang untuk berfikir. Politikus  tidak ada keupayaan ini. Cakap ikut sedap mulut.

Justeru ucapan dilihat bebal sejarah. Bebal latar belakang. Bebal fakta. Malah Jo Bedul sendiri gagal memahami apa bunyi yang terkeluar dari mulut dirinya sendiri.

Ini berbeza dari menggarap tulisan. Bila menulis kita ulang baca berkali kali – ubah sana – ubah sini untuk menjadikan tulisan itu kukuh dan padu. 

 Malah menulis  dengan suasana melawak juga bukan satu yang enteng. Mengkritik , mengutuk, memperlekeh disadur dengan lawak memiliki seni tersendiri.

Hikayat Ubi Kayu Jo Bedul heboh dalam Internet. Kutukan demi kutukan terpancut dari pelbagai sudut. Bukan saja cadangan makan ubi kayu ganti beras tidak masuk akal. Malah  sekilo ubi kayu lebih mahal dari sekilo beras putih tempatan.

Mengubah Bani Melayu dari makan nasi bukan suatu yang baru. Biar saya surahkan disini hikayat lama pada satu ketika yang lama dulu. 

Di zaman UITM dipanggil ITM. Ketika ITM tercacak sendirian atas bukit yang gondol. Ketika penghuni ITM sentiasa membawa payung kerana wilayah Shah Alam  seperti padang pasir.

Ketika ini dicadangkan  malah di jalankan satu projek roti ganti nasi. Percubaan ini dilakukan di asrama ITM.  Dengan bangganya budak-budak kampung dari Ulu Tembeling atau Jemapoh  diberi makan roti. Nasi di hilangkan  dari menu hostel.

Ini dengan harapan anak anak siswa Melayu  di ITM  yang makan roti akan menjadi bijak bestari seperti Albert Einstein atau   Yuri Gagarin. 

Projek roti ganti nasi di ITM gagal meleset. Lidah dan perut Melayu tidak dapat dipisah dari beras dan nasi.  Melambak-lambak roti keping terbuang. Yang gembira hanya  Gagak dan Pipit Pekan.

Sejarah Roti ITM ini mungkin Jo Bedul tidak mengetahui. Atau jika Jo Bedul di ITM ketika itu mungkin dia akan mencadangkan agar nasi di ganti dengan keladi.  Kah Kah kah.

 Persoalan hakiki yang masih belum dijawab ialah ke mana hilangnya BPT – beras putih tempatan.

Saya sendiri hairan  sudah berbulan bulan kehilangan beras tempatan ini menjadi induk berita – tidak ada pencerahan yang tuntas.

Pertama : Apakah Pak tani di Jelapang Padi tidak lagi menanam padi ?

Kedua :  Apakah pemanasan dunia hari ini telah mengurangkan hasil padi di Kedah?

Ketiga : Jika ada kartel padi mengapa tidak dilawani seperti Mat Sabu berjaya melawan kartel telor ?

Semua soalan ini perlu dijawab. Orang ramai perlu mendapat pencerahan. Amin.

Belum pun kes ubi kayu Jo Bedul mengenap muncul pula Saudara Mahfuz Omar   membawa berita kas kas.

 Jo Bedul cadang  ubi  kayu ganti nasi. Si Mahfuz cadang  kas kas ganti bawang. Ini kerana harga bawang meledak naik.

Saya kurang arif  tentang  kas kas. Lalu saya bertanya  kepada Lebai Google apa bendanya kas kas ini.

Ini jawapan  Lebai Google : 

1- Kas kas merupakan biji-bijian yang berasal dari bunga popi atau nama saintifiknya Papaver somniferum.

 Kas kas dituai dengan mengeringkan pod atau lenggai bunga popi yang sudah masak ranum.

2- Kandungan narkotik
Menurut Ensiklopedia Britannica, kas kas tidak mengandungi unsur narkotik kerana cecair candu hanya terbentuk sebelum bunga popi benar-benar masak. Namun sedikit kandungan alkaloid masih wujud.

Awalnya saya tidak percaya berita kas kas ganti bawang. Mungkin ini cara  musuh politik Amanah nak memperlekeh  Mahfuz kerana dia kini  menjawat Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.  Cari punya cari saya temui memang benar kas kas ganti bawang  ini cadangan Mahfuz.

Hendak memasak bawang harga mahal  - boleh diganti dengan kas kas.... Mahfuz Omar.

Aduh ! Ayat ini bunyinya bangang. Kas kas rempah. Bawang sayuran diperlukan untuk menumis. 

Pada hemat saya apa yang sah dan terbukti jelas bahawa Si Mahfuz ini tidak pernah memasak dan tidak pernah ke dapur. Jika dia memasak pasti dia tahu peranan bawang amat berbeza dari peranan kas kas.

Atau apakah Si Mahfuz ini mahu bersaing dengan Mat Maslan untuk dinobat sebagai Wak Dogol Negara.  Mahfuz wajib sedar dia juga akan  bersaing hebat dengan Jo Bedul.

Atau Si Mahfuz ini tahu kas kas ini ada unsur candu. Jika banyak digunakan kita akan khayal. Rakyat yang khayal akan jadi lembu diikat hidung. 

Bila Jo Bedul kata makan ubi kayu semua ikut makan ubi kayu. Mat Maslan  kata ikan mahal beli daging. Semua beli daging. Pakar Formula Rafizi kata jika makan dil luar mahal sila masak sendiri.

Semua akur dengan arahan kerana semua  khayal bercandu memasak pakai kas kas ikut arahan Mahfuz Omar. Kah kah kah.

Jika Sami Veloo, Mat Maslan, Rafizi, Sany Hamzah, Jo Bedul ,  Mahfuz Omar dan para YB yang sewaktu dengan mereka tidak wujud pasti ada Wak Dogol lain sebagai pengganti.

Justeru untuk Parlimen PRU15 ini para Wak Dogol ini  akan terus bersama kita. Mereka akan berextra turn, berinterlude  sehingga ada yang mati tercekik makan ubi kayu atau tertelan segumpal biji  kas kas. Amin.(TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/04/19/hikayat-ubi-kayu-jo-bedul-dan-lawak-lawak-lain


Tiada ulasan:

Catat Ulasan