Isnin, 1 April 2024

MUSUH DEPAN PINTU AMERIKA



MUSUH DEPAN 

PINTU AMERIKA


Jangan lupa dari persejarahan Amerika awalnya Amerika  adalah sebuah negara revolusi.  Negara yang dipanggil Amerika ini lahir dari perjuangan angkat senjata untuk membebaskan diri dari penjajahan feudal. Para imigran  di bumi  baru ini bangun melawan kuasa kolonial Inggeris.  Revolusi  Amerika 1776  lebih awal dari Revolusi Bolshevik Rusia 1917.

Amerika mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Menghormati hak kebebasan individu. Individu di Amerika dibenarkan merealisasikan mimpi dan cita-cita imigran dan pendatang baru untuk mengamalkan kepercayaan agama dan gaya hidup  mereka.

Dalam kebebasan ini Amerika juga memiliki  dua sejarah hitam. Pertama anak  watan – Red Indian – penduduk asli bumi Amerika  dibantai di gasak  di bunuh – tanah dan bumi mereka di jarah.

Kedua - untuk menegakkan dan mengembangkan  ekonomi kapitalis  Amerika membawa masuk  Negro dari Afrika sebagai hamba  abdi untuk bekerja di ladang kapas.

Perkembangan Amerika yang kita kenali hari ini tidak terlepas dari dua fakta sejarah hitam ini. Dari Amerikalah  bermulanya contoh terbaik amalan  kebebasan ekonomi kapitalis.

Amerika tidak melalui sistem feudal dan sistem ekonomi feudal. Amerika tidak melalui sistem pengaruh gereja dan agama. Amerika bebas dari kolonial Inggeris terus mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis yang berimankan keuntungan berkembang maju di Amerika. Negara ini dijadikan contoh rujukan sebagai kejayaan ekonomi kapitalis.  Sistem kapitalis ini selari dan dibantu  oleh Revolusi Industri yang bermula di United Kingdom pada 1760.

Ketika negara  Eropah  seperti England. Sepanyol,  Perancis memiliki tanah jajahan Amerika belum menjajah sesiapa pun. Ekonomi kapitalis Amerika berkembang  maju dalam wilayah Amerika.

Perang Dunia Ke  Dua mengubah semua ini.  Pasca  perang Amerika muncul sebagai satu kuasa besar. United Kingdom kuasa kolonial terunggul sebelum perang jatuh muflis. Ditambah pula negara tanah jajahan  Inggeris seperti India, negara di Afrika termasuk Tanah Melayu bangun menuntut merdeka.

Politik dunia pasca perang juga memunculkan blok sosialis dan blok kapitalis. Blok sosialis di  Eropah Timur dipimpin oleh Rusia.  Manakala negara pengamal sistem ekonomi kapitalis di bawah pimpinan Amerika. 

Justeru wujud dua negara kuasa super – Amerika dan Soviet Union.

Dua blok ini cuba mempengaruhi  negara di Asia, Afrika dan Amerika  Latin.

Rusia akan membantu negara yang berjuang untuk merdeka dari penjajahan. Amerika  kini membuang sejarah revolusi dan mempertahankan dimana  saja modal ingin  berkembang.  

Sistem ekonomi kapitalis Amerika terus berkembang maju. Modal  mahu mencari pasaran. Modal  mahu mencari buruh. Modal mahu mendapatkan bahan mentah. Akhirnya  negara revolusi  Amerika menjadi negara menjajah.

Penjajahan Amerika bukan sama seperti Inggeris menjajah Tanah Melayu.  Amerika menjajah dengan menggunakan lembaga-lembaga dunia yang telah di wujudkan selepas perang. 

Pada 24 Oktober 1945  sebanyak 29 buah negara bersetuju menubuhkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).  Ini lembaga dunia pasca perang..

Bank Dunia di tubuh pada tahun 1944. IMF ( International Monetary Fund ) juga di tubuh pada tahun 1944 sesudah zaman meleset 1930’an.

Bank Dunia dan IMF ini jatuh di bawah Institusi Bretton Woods. IMF dan Bank Dunia—mempunyai peranan penting dalam menjadikan globalisasi sistem ekonomi kapitalis berfungsi dengan lebih baik

IMF dan Bank Dunia dicipta pada tahun 1944 untuk membantu memulihkan dan mengekalkan faedah integrasi global, dengan menggalakkan kerjasama ekonomi kapitalis antarabangsa.

Sistem ekonomi dunia kapitalis di kepalai oleh Amerika. Siapa mengawal punca duit justeru mengawal dunia. 

Tahun-tahun 50an dan 60an Amerika ber Rock en Roll hidup lumayan kaya raya. Ekonomi berkembang  hidup mewah. Satu dunia nak tiru jadi Amerika.

Justeru dari negara revolusi Amerika menjadi negara imperialis.  Negara imperialis Amerika bersekongkol dengan kuasa Inggeris untuk menjadi kuasa imperialis Anglo-Amerika.

Apa makna imperialis ? Imperialis ialah tahap akhir perkembangan kapitalis sebelum menuju keruntuhan. Dari pandangan politikal ekonomi kaum kiri negara imperialis adalah pencapaian terakhir sistem kapitalisma.

Runtuhnya kuasa imperialis ini akan digantikan  oleh sistem ekonomi yang lebih adil dan sejahtera -  sistem ekonomi sosialis.

Jika di pintu Kota Rom ada Barbarian sebagai  musuh. Hari ini  di pintu kuasa imperialis Amerika ada pelbagai jenis musuh. Musuh luaran dan musuh dalaman yang lebih ganas dari Barbarian.

Mari kita lihat satu per satu siapa musuh yang berdiri di hadapan pintu Amerika.

Perang menjadi musuh  utama Amerika.

Jika di Rom pasukan Barbarian yang datang ke pintu Kota Rom untuk menyerang. Tetapi tidak ada sesiapa datang  membawa armada bala tentera untuk menyerang New York atau San Francisco.  

Apa yang berlaku sebaliknya. Amerika sedaya upaya mencari musuh luaran untuk di perangi. 

Perang Korea – 1950-1953 – atas nama demokrasi Amerika berperang untuk mengalahkan kaum nasionalis kiri Korea. Hasilnya Korea hingga hari ini terbagi kepada dua. Korea Utara negara sosialis. Korea Selatan negara kapitalis.

Kes klasik ialah Perang Vietnam.  Vietnam ini bukan tanah jajahan Amerika. Laos Kemboja dan Vietnam adalah tanah jajahan Perancis. Bila Perancis kalah perang  dengan gerila pembebasan Vietnam pada tahun 1954 masuk Amerika menyerahkan leher.  Amerika baru saja lepas berperang di Korea. 

Amerika cuba mendirikan Vietnam Utara dan Vietnam Selatan seperti yang berjaya dilakukan di Korea.

Pada tahun 1975 Amerika lari lintang pukang. Amerika kalah Vietnam menang. Hasil dari Perang Vietnam ekonomi Amerika jadi kacau bilau. Ketika ini duit dolar Amerika dipasak oleh nilai emas.

Pada 15 Ogos 1971  Presiden NIxon melupuskan sistem dolar yang dipasak oleh emas. Untuk memperkukuh ekonomi Amerika Presiden Nixon pada tahun 1973, mencipta sistem petrodolar melalui perjanjian antara AS dan Arab Saudi. 

Negara-negara lain  tidak ada pilihan melainkan bersetuju harga dan perdagangan minyak  dengan Saudi akan menggunakan kertas hijau dolar Amerika. Jika mahu  membeli  bahan bakar minyak wajib ada dolar. 

Sah terbukti perang membawa mudarat kepada negara. Pengalaman buruk Perang Vietnam ini   menjadi pengajaran  sementara kepada Amerika. 

Pengajaran sementara kerana Amerika melancarkan Perang Iraq Pertama pada  ke atas Iraq  pada 2 Ogos 1990 hingga 28 Februari 1991. Kemudian Iraq diserang lagi pada 2003 hingga 2011.

Perang Iraq ini berikat juga dengan Perang Afghanistan. Selama 20 tahun dari 7 Oktober 2001 hingga 30 Ogos 2021 Afghanistan di duduki oleh  bala tentera Amerika  dalam usaha untuk menegakkan sistem demokrasi.

Babak Vietnam berulang lagi di Afghanistan. Kalau di Vietnam soldadu Amerika lari lintang pukang dari Saigon kali ini soldadu Amerika lari lintang  pukang dari Kabul.

Perang Vietnam, Perang Iraq dan Perang Afghanistan adalah perang terbuka dimana soldadu Amerika turun ke medan perang.

Ada lagi satu dipanggil Perang Gelap. Perang jenis ini tidak memperlihatkan  soldadu Amerika merayau-rayau dengan M16. Semua berlaku dalam gelap. Amerika  secara gelap memberi dana, memberi senjata dan menghantar pegawai tentera dan CIA untuk memberi nasihat.

Perang Gelap banyak berlaku di Latin Amerika. Amerika Latin  dianggap oleh  Amerika sebagai kebun sayur di belakang rumah yang wajib di jaga.

 Di Chile, di  Nicaragua, di El Salvador, di Colombia – Amerika membantu para jeneral  yang naik takhta melalui rampasan kuasa.

Amerika membantu dan  mem pasak  rejim tentera untuk memerangi gerila tempatan  yang dituduh sebagai gerila komunis, pro sosialis atau berhaluan kiri.

Ada kala  seperti di Colombia Amerika memakai topeng Perang Dadah. Semenjak tahun 1970’an hingga hari ini Amerika masih berperang dengan kartel dadah di Amerika Latin.

Sama seperti Perang Terbuka di Vietnam atau di Iraq  Perang Gelap juga membawa malapetaka kepada ekonomi Amerika.

Untuk terus membuat senjata Amerika wajib memiliki dana untuk mengupah kilang membuat senjata. Dari mana dolar hendak dicekau.

Jalan pintas untuk semua Presiden Amerika mencari dana ialah meminjam  duit. Punca utama dari Bank Federal Reserve. Bank swasta yang mengendalikan ekonomi Amerika. Peranan sama seperti Bank Negara kecuali bukan milik negara. Dari mana Federal Reserve dapat dolar?

Mudah sahaja – Federal Reserve mencetak dolar. Federal Reserve menjadi buku 555 mengira hutang negara.

Pada Februari 2024, hutang awam Amerika Syarikat adalah sekitar 34.47 trilion dolar A.S., hampir dua trilion lebih banyak daripada pada bulan Julai apabila ia sekitar 32.6 trilion dolar A.S.

Untuk kerajaan Amerika terus berfungsi Rumah Putih meminjam duit dengan menjual bon kepada negara luar. Jual bon ertinya meminjam duit ertinya berhutang,

Negara manakah yang memiliki hutang Amerika yang paling banyak?

Sehingga Januari 2023, lima negara yang memiliki hutang Amerika paling banyak ialah Jepun ($1.1 trilion), China ($859 bilion), United Kingdom ($668 bilion), Belgium ($331 bilion) dan Luxembourg ($318 bilion).

Hutang ini adalah musuh di pintu depan Amerika.

Hutang dibawa oleh perang. Apakah para politikus Amerika tidak faham tentang hal ini. Mustahil tidak sedar.

Memang ada suara di Dewan Kongres yang menimbulkan agenda hutang negara. Tetapi suara mereka tenggelam.

Apakah politikus Amerika tidak sedar  seramai 4200 soldadu Amerika mati di Korea. Seramai 58,220 soldadu Amerika gugur di Vietnam. Seramai 4801  mati di Iraq. Seramai 3487 soldadu Amerika gugur di Afghanistan.

Angka-angka ini hanya statistik. Yang mati bukan anak cucu cicit ahli Dewan Kongres. Sosok yang membuat dasar perang tidak pernah sekali pun terlibat dalam perang. 

George W Bush yang memerangi Iraq mengelat dan membebaskan diri dari dipanggil untuk jadi soldadu ketika Perang Vietnam.

Karl Marx telah menunjukkan sistem ekonomi kapitalis ini akan membunuh diri sendiri. Perang Ukraine dan Perang Gaza adalah contoh terbaik untuk memahami kenyataan ini.

 Apakah dua perang ini akan jadi perang penamat untuk kuasa imperialis Amerika? Untuk pencerahan seterusnya  tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan