Jumaat, 3 Mei 2024

HAMAS MENGUBAH POLITIK DUNIA



HAMAS  MENGUBAH

 POLITIK DUNIA


Pada subuh Sabtu 7 Oktober gerila Briged  Al-Qassam telah menyerang Israel. Tembok dan pagar pemisah di ceroboh. Pertempuran berlaku. Dilapur lebih 1200 warga Israel mati terbunuh. Lebih 200 di bawa pulang ke Gaza untuk jadi tebusan.

Pelbagai naratif muncul. Ada pemerhati politik anggap ini perancangan Netanyahu yang mahu perang bermula agar Hamas dapat dihapuskan. Naratif ini disokong oleh berita-berita kegagalan soldadu Israel menjaga sempadan.

Bukan saja soldadu Israel lewat sampai untuk menghalang Al-Qassam malah sistem leteronik pengawal sempadan gagal berfungsi. Ada sistem leteronik pemantau tercanggih rosak. Ada pegawai dan soldadu bertugas tidak berada di tempat kerja. 

Justeru teori konspirasi - kerja orang dalam merebak. Hamas dipancing untuk menyerang. Perang di rancang untuk selesaikan masalah Hamas.

Teori ini diperkukuhkan bila mana satelah berperang lebih dari 5 bulan Kepala  Risikan Israel meletak jawatan. Aharon Haliva meletak jawatan pada 22 April 2024 .Amin.

Walau apa pun teori – apa pun konspirasi – hakikatnya  Hamas telah mengubah politik Timur Tengah. Hamas telah mengubah politik Eropah. Hamas telah mengubah politik Islam. Hamas telah mengubah politik Amerika.

Hamas berjaya mengubah politik dunia.

Ketika tulisan ini digarap lebih dari 50 buah kampus di Amerika sedang bergolak. Pelajar dan siswa telah bangun berdemo menyatakan sokongan mereka kepada perjuangan adil Palestin.

Siswa dan pelajar mogok meninggalkan kuliah. Mereka berkhemah dan menuntut pihak universiti membatalkan apa saja perjanjian dengan kerajaan Israel. Mereka menuntut  Presiden Biden hentikan menghantar dana dan senjata kepada Israel.  

Pelajar dan siswa Amerika mahu perang ditamatkan. Gencatan senjata serta merta. Israel di dakwa di Mahkamah Dunia  kerana melakukan genosid.

Untuk saya – dari apa yang saya perhatikan – suasana kampus politik siswa  di Amerika ini mengembalikan kepada suasana politik zaman 60’an.

Tahun 60’an kampus Amerika bergolak. Pertama dengan  wujudnya kesedaran kulit hitam – Negro  - yang melawan penindasan. Di zaman ini muncul Black Panther – gerakan anak muda Negro yang menuntut hak mereka.

Suasana ini ditambah rancak dan ditabur minyak oleh  Perang Vietnam. Anak- anak muda yang cukup umur akan di paksa menjalani  Khidmat Negara. Ini wajib untuk lelaki dewasa atas 18 tahun.

Anak muda hitam dan putih ini akan dihantar berperang ke Vietnam. Anak muda yang enggan mendaftar lari meninggal kan Amerika. 

Mereka yang berani  terus bangun melawan. Mereka membakar surat panggilan Khidmat Negara. Mereka di masukkan  ke penjara kerana enggan jadi soldadu  Perang Vietnam. 

Dalam masa yang sama muncul gerakan radikal Black Panther - organisasi untuk anak muda berkulit hitam.  Nama aktivis seperti Bobby Seal, Huey P Newton , Angela Davis  dan  Stokely Carmicheal menjadi rujukan perjuangan Negro kulit hitam di Amerika.

 Untuk kulit putih nama seperti Tom Hayden muncul  memimpin SDS (Student for Democratic Society ) 

Ketika ini Amerika ranum untuk revolusi. Gerakan radikal garis kiri  merebak luas. Pada hemat saya tahun 2024 ini dunia melihat suasana politik radikal datang  kembali.

Semua bermula di Universiti Columbia. Para pelajar  telah  mengambil langkah radikal meninggalkan kuliah. Berkhemah dan  menjalan kuliah sendiri dengan mendengar kuliah tentang sejarah Palestin, Apartheid  Afrika Selatan dan Vietnam.

Ketika saya menulis ini beratus-ratus pelajar telah di tahan. Mereka dituduh ganas, membuat onar dan membahayakan universiti. Polis dengan cota membelantan pelajar, menangkap dan meruntuhkan khemah mereka.

Tapi lagi di lawan lagi protes merebak.  Perjuangan siswa dan pelajar ini makin mengampuh. Politik jalan  raya kini  sedang membakar kampus Amerika.

Satu perkara yang wajib di dakwat merahkan. Kalau tahun 60’an dulu gerakan pelajar bermula di Universiti Carlifornia  Los Angles (UCLA ). Kali ini ianya bermula di universiti elit Columbia dan merebak ke Yale dan Havard. 

Universiti elit ini adalah sarang akedemia pro-Zionis dan pro Israel. Universiti yang memiliki hubungan intim dari segi  kerjasama penyelidikan dan juga pelaburan.

Pelaburan dan penyelidikan inilah yang para pelajar mahu di putuskan. Hentikan  melabur dalam syarikat  yang ada pertalian dengan Israel. Hentikan penyelidikan dalam hal teknologi senjata atau senjata  biologi dengan  Israel.

Seperti gerakan pelajar anti Perang Vietnam dulu – gerakan menyokong Palestin dan anti Israel hari ini cukup popular dikalangan siswa dan anak muda.

Di Paris agensi berita AP  pada 30 April telah melapor kan : PARIS (AP) — French police removed dozens of students from the Sorbonne university after pro-Palestinian protesters occupied the main courtyard of the elite institution in Paris ....’

‘....Polis Perancis mengeluarkan berpuluh-puluh pelajar dari universiti Sorbonne selepas penunjuk perasaan pro-Palestin menduduki halaman utama institusi elit itu di Paris....’.

Universiti Sorbonne terletak dalam kota Paris. Selain d
ari universiti elit ianya memiliki sejarah  gerakan pelajar yang maha hebat.

Revolusi Pelajar – The Almost Revolution – tahun 1968 bersarang di Sorbonne . Presiden  Charles de Gaulle (1890-1970)  hampir dijatuhkan oleh gerakan pelajar yang bermula dari perkara kecil – hal dewan makan -  hingga membawa kepada anti Perang Vietnam.

Tahun 2024  bila  siswa di Sorbonne kembali bersuara maka akan gegak gempita seluruh Perancis.

Menyeberang ke Selat Inggeris para pelajar di UK telah sama turun ke jalan raya. Mengikut laporan akhbar The Independent pada 1Mei 2024  : Pelajar menyertai protes dan perkhemahan pro-Palestin di universiti di UK berikutan demonstrasi ganas di kampus di AS.

Demonstrasi berlaku di beberapa universiti termasuk Sheffield, Bristol, Leeds dan Newcastle, dan lain-lain dijangka menyertai mereka.

Protes itu berlaku berikutan pertempuran ganas di kampus Universiti California antara penunjuk perasaan pro-Palestin dan sekumpulan penunjuk perasaan pro Israel. Ini berlaku beberapa jam selepas polis menyerbu Universiti Columbia dan menahan berpuluh-puluh pelajar.

Apa yang jelas disini gerakan  siswa dan pelajar ini sedang merebak ke seluruh dunia. Kita membaca berita kampus di Australia, di German dan di  Jepun telah bergolak sama.

Hakikatnya  suasana politik anti Perang Vietnam kembali menjana idealisme anak muda. Perang Vietnam kini diganti oleh Perang Gaza.

Apakah akan ada apa-apa perubahan hasil dari protes ini ?

Di Amerika Presiden Nixon (1913-1994) menang kali ke dua untuk menjadi   Presiden ke 37 pada tahun 1974.  Nixon berkempen dalam gelombang anti Perang Vietnam.

Persoalan timbul - apakah  Presiden Biden akan menang untuk kali ke dua ketika berkempen dalam gelombang anti Israel, anti Perang Gaza dan pro Palestin ? 

Nixon dengan licik telah menggunakan Perang Vietnam dan keselamatan Amerika sebagai  isi kempen. 

Ombak demo para pelajar ini pasti mempengaruhi suasana pemilihan Presiden dalam bulan November ini. Biden sedar isu Gaza sedang membakar politik domestik Amerika.  

Tindak tanduk Netanyahu tidak di senangi oleh pengundi Amerika. Justeru Biden sedang meniti  di atas pisau yang tajam.  Biden tidak berupaya untuk tidak memberi dana dan senjata pada Israel.   Dalam masa yang sama ombak anti Israel sedang mengampuh.

Ketika saya menggarap tulisan ini Donald Trump  masih belum bersuara dalam hal gerakan pelajar ini. Apa pandangan bakal calon Presiden ini  ? Apakah Trump akan mengutuk siswa dan pelajar yang berdemo atau mengambil jalan selamat  mengambil jalan tidak bersuara?  

Apabila Columbia, Yale dan Havard menjadi pencetus gerakan anti Israel ini bermakna satu perubahan hakiki telah berlaku di Amerika. 

Universiti elit ini banyak mendapat wakaf dari orang kaya Yahudi. Apa akan terjadi jika dana dari wakaf ini dihentikan. Malah dilaporkan ada  beberapa tenaga akademik dan pensyarah  juga ikut  terlibat sama berdemo dan di tangkap.

Suara para akademik lantang menerangkan  menyokong Palestin bukan anti  Semitik. Anti Perang Gaza bukan satu jenayah. Menyokong Palestin  bukan salah tapi menjadi satu kewajipan.
 
Apa yang menarik ialah  setia kawan yang padu diantara pelajar Yahudi yang  turut sama berdemo menentang Israel.  Ini fenomena baru – setia kawan dan  solidariti antara pelajar Yahudi dengan pelajar Arab Palestin.

Pada ketika ini dunia sedang menunggu satu lagi perkembangan yang masih belum muncul secara ampuh. Dalam gerakan anti Perang Vietnam  tahun 60’an kita terbaca Jane Fonda dari Holywood menjadi Hanoi Jane yang berkempen anti perang.

Jane Fonda dianggap sebagai pembelot kerana berucap dalam Radio Hanoi – radio Vietnam – menyeru soldadu Amerika untuk tidak memerangi Vietnam. 

Kita juga mendengar  Joan Baez dan Bob Dylan menyumbang suara dalam konsert  anti perang. Kita  terbaca arwah John Lennon ( 1940-1980) membuat lagu-lagu anti perang.

Hari ini seniman  dan pelakon Holywood  seperti Susan Serandon telah bersuara. Rogers Water dari kugiran Pink Floyd telah bersuara. 

Tapi  keterlibatan  pemuzik , seniman dan pelakon masih belum mengampuh seperti di zaman anti Perang Vietnam.

Kalau dalam gerakan anti Perang Vietnam kita terbaca  arwah Jean Paul Sartre (1905-1980)  turun sama berdemo di kota Paris. 

Dari Amerika kita juga terbaca  tulisan dan ucapan Noam Chomsky – intelektual publik –  yang juga sosok  Yahudi - menghasut pelajar untuk turun berdemo.

Kali ini kita dengar suara dan komentar Norman Finkelstein – intelektual publik yang tersohor. Sosok ilmuwan ini adalah pakar Gaza.  Seorang Yahudi dari keluarga yang menjadi mangsa genosid Hitler di German.

Hakikatnya suara pemikir, intelektual publik dan para akademik masih belum mencukupi. Amin.

Walau apa pun hakikatnya serangan Hamas pada subuh Sabtu 7 Oktober telah mengubah politik Amerika dan politik dunia.

Bagaimana dengan politik Arab Islam ? Apa perubahan yang dibawa Hamas ?  Sila tunggu minggu depan. Amin. (TT)



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan