Putrajaya berdepan
kecaman benarkan firma
milik syarikat terpalit
genosid urus
lapangan terbang
Pelbagai kumpulan sivil dan NGO hari ini membidas keputusan kerajaan membenarkan sebuah syarikat dimiliki firma pelaburan global yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Israel untuk terlibat sama dalam pengurusan 39 lapangan terbang seluruh Malaysia.
Dalam kenyataan paling lantang setakat ini oleh kumpulan pro-Palestin terhadap apa yang dilihat sebagai peralihan sikap tegas Putrajaya dalam menolak sebarang urusan berkait Israel, sejumlah 15 kumpulan menuntut kerajaan membatalkan penyertaan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik pengurus aset kontroversi BlackRock, dalam konsortium yang akan mengambil alih Malaysia Airports (MAHB), syarikat berkait kerajaan (GLC) yang mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh negara.
“Sokongan kerajaan Malaysia terhadap perjuangan Palestin akan dilihat sebagai cakap-cakap kosong, selain membenarkan aset strategik milik negara seperti lapangan terbang kita dikendalikan oleh pihak yang sangat bersimpati kepada Zionis,” kata kenyataan bersama yang turut disokong BDS Malaysia, cawangan tempatan gerakan global yang memboikot Israel.
Menerusi rancangan itu, dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjadi sebahagian daripada konsortium yang mengambil alih MAHB, di samping GIP yang akan memiliki 30% kepentingan.
Mereka memberi amaran jika konsortium itu diteruskan, Khazanah dan KWSP akan berurusan dengan "BlackRock yang terpalit dengan pembunuhan beramai-ramai dan sokongannya kepada Zionis".
Pada bulan Januari, BlackRock yang berpangkalan di New York membeli GIP dengan harga AS$12.5 bilion, menambah sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan lapangan terbang di seluruh dunia ke dalam senarai pelaburan globalnya.
BlackRock terlibat dalam memperkasakan jentera perang Israel, dan ibu pejabatnya di New York menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.
Protes yang masih berterusan di puluhan universiti AS turut menyasarkan BlackRock, di mana pelajar menuntut universiti mereka menghentikan semua urusan dengan syarikat itu kerana peranannya memperkasakan kekuatan tentera Israel yang setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 30,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam operasi pengeboman di Gaza.
Antara syarikat yang dilabur BlackRock termasuk Lockheed Martin, di mana ia memegang 7.4% kepentingan.
Lockheed Martin, kontraktor pertahanan yang berpangkalan di AS dengan pelaburan berbilion dolar dalam industri pertahanan dan aeroangkasa Israel, baru-baru ini mendapat perhatian di Malaysia selepas kumpulan pro-Palestin membantah penyertaannya dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec) di Kuala Lumpur minggu lalu.
Anwar tolak bantahan
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mempertahankan penyertaan Lockheed Martin dan kontraktor pertahanan lain, telah menolak bantahan pemimpin pembangkang terhadap penglibatan BlackRock dalam MAHB.
"Tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki," perdana menteri dipetik berkata hari ini.
Dalam kenyataan bersama hari ini, 15 kumpulan itu memberi amaran BlackRock bakal mempunyai akses kepada aset strategik Malaysia melalui penglibatan GIP.
"Pemilikan tidak seharusnya diserahkan kepada entiti asing, lebih-lebih lagi yang mempunyai reputasi buruk seperti BlackRock," kata kenyataan itu, sambil mengingatkan BlackRock turut memegang kepentingan besar dalam syarikat pertahanan yang menjadi sebahagian daripada industri ketenteraan AS.
"Syarikat-syarikat inilah yang mengeluarkan senjata digunakan Israel untuk membunuh rakyat Palestin. BlackRock juga menjalankan banyak pelaburan di Israel, dan beroperasi di sana sejak 2016."
Pelaburan berterusan BlackRock di Israel menjadikan syarikat itu bertanggungjawab dalam jenayah genosid Israel terhadap rakyat Palestin, katanya.
"Maka sewajarnya BlackRock menjadi sasaran kempen solidariti seluruh dunia untuk Palestin.
"Dengan semangat solidariti untuk perjuangan Palestin mencapai keadilan dan kemerdekaan, kami menuntut kerajaan Malaysia segera membatalkan keputusan membenarkan penglibatan BlackRock yang menyokong genosid dalam sebarang urusan perniagaan bersama MAHB."
Wooit Tangkap penjahat2, &masukkan dlm bilik2 tahanan sg buluh kah kah kah woit jgn kacau bg non nk memerintah
BalasPadam