Jumaat, 21 Jun 2024

BUMI KITA MAKIN PANAS

 


Kerajaan muktamad sasaran pelepasan karbon sifar bersih 2050

KUALA LUMPUR: Kerajaan muktamad dengan sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, demikian menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, keputusan itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara yang dipengerusikan Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

"Sebelum ini sasaran kerajaan secara rasmi ialah hendak mencapai sifar bersih seawal 2050. Jadi bila kita bincangkan dalam pada mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini, kita memutuskan bahawa kita hendak mencapai pelepasan sifar bersih tahun 2050," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab (SRI) 2024 anjuran Securities Industry Development Corporation (SIDC) hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Tengku Zarina Tengku Chik.

Nik Nazmi berkata, usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih itu adalah langkah positif demi keselamatan planet untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, banyak usaha yang perlu dilakukan dan ia memerlukan sokongan semua pihak merangkumi institusi kewangan, syarikat serta dengan rangka dasar kerajaan yang relevan.

Persidangan Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab SIDC 2024 adalah penganjuran tahun kelimanya sejak persidangan sulung pada 2020.

Sejak penganjurannya, persidangan itu telah mencapai dan membabitkan lebih 2,500 peserta, 170 ahli panel dan penceramah industri, 20 penaja utama dan lima tema utama didorong oleh persekitaran yang berkembang dalam pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Mohammad Faiz berkata pasaran modal di Malaysia mesti bersedia untuk memudahkan penjanaan dana dan pelaburan untuk menyokong keutamaan kerajaan dalam mencapai matlamat kelestarian dan iklim.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat peralihan tenaga, Malaysia memerlukan RM1.3 trilion antara sekarang dan 2050, termasuk pelaburan dalam tenaga boleh baharu (TBB), kecekapan tenaga dan mobiliti hijau.

"Lebih banyak perlu dilakukan untuk memastikan pelaburan mencapai tempat yang betul dengan kesan maksimum terhadap kelestarian.

"Kita juga perlu merancang bagaimana untuk membiayai keperluan penyesuaian iklim untuk menghadapi peningkatan suhu dan kenaikan paras laut," katanya.

Mohammad Faiz berkata, Malaysia adalah salah satu daripada lapan negara di Asia Tenggara yang telah mengumumkan tarikh sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada 2050 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, pada 2021, Malaysia menyemak komitmen Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) kepada Perjanjian Paris, menyasarkan untuk mengurangkan 45 peratus intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Katanya, SC komited untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia ke arah mencapai matlamat kelestarian dengan mempromosikan dan mengekalkan persekitaran pasaran yang adil, cekap, selamat dan telus serta pada masa yang sama menggalakkan pembangunan pasaran yang inovatif dan berdaya saing.

SC, katanya telah membuka jalan untuk kelestarian sejak 2011, apabila Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab (SRI) diterapkan dalam Pelan Induk Pasaran Modal (CMP2) sebagai strategi pertumbuhan utama.

"Di bawah CMP3 dan Pelan Hala Tuju SRI, SC terus membangunkan ekosistem SRI yang teguh di Malaysia. Ini termasuk memperkenalkan produk pasaran modal yang inovatif untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan dan pelabur.

"Berikutan itu, kami sudah pun melihat kejayaan awal, termasuk membiayai matlamat pembangunan lestari Malaysia dan cita-cita iklim," katanya.

Sejak Rangka Kerja Sukuk SRI dikeluarkan, RM27.61 bilion Sukuk SRI diterbitkan di Malaysia, termasuk terbitan sukuk hijau pertama di dunia untuk pembiayaan projek boleh baharu termasuk TBB, pertanian lestari, pengurusan sisa, pengurusan air, rumah mampu milik, bangunan hijau dan pendidikan.



SASARAN MULIA

WAJIB SOKONG

AMIN

25 TAHUN BINA

KESEDARAN

AMIN

GERAKAN LAWAN

PLASTIK

AMIN

LAWAN HUTAN

DI GONDOLI

AMIN

DUNIA MAKIN

PANAS

IKLIM MAKIN

MEMBAKAR

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan