Kumpulan peguam kecam SKMM beri info salah siasatan terhadap Hishamuddin
LAWYERS for Liberty (LFL) mengecam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana berkata aktivis Hishamuddin Rais tidak disiasat.
Pengarah LFL Zaid Malek berkata kenyataan SKMM itu palsu kerana beliau sendiri melihat laporan polis yang menyebabkan siasatan itu dimulakan.
“Ini penipuan. Saya melihat laporan polis yang menyebabkan siasatan itu. Laporan itu dibuat khusus terhadap blog Hisham, berkenaan satu post yang dimuat naik.
“Sepanjang siasatan, pihak berkuasa hanya merujuk kepada penulisan di blog Hisham dan bukan post asal daripada penulis blog sebenar,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.
“Ketika kenyataan Hisham diambil saya hadir sebagai peguamnya. Semua soalan ditujukan kepadanya berkaitan dengan mewujudkan elemen kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia terhadapnya.”
Semalam, SKMM berkata keterangan aktivis itu diambil pada Khamis bagi membantu siasatan berkenaan satu hantaran yang dikongsi di blognya, “TukarTiub”.
“SKMM dengan kerjasama polis merekodkan kenyataan Hishamuddin pada jam 3.15 petang semalam untuk membantu dalam siasatan kes yang sedang berjalan.
“SKMM sebelum ini menyerahkan notis kehadiran kepada Hishamuddin mengikut prosedur yang berkaitan. Tiada penahanan yang terlibat dan tiada peranti yang disita dan siasatan berakhir pada jam 6.45 petang,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
SKMM berkata siasatan dijalankan mengikut undang-undang.
Zaid berkata Hishammudin ditanya berkenaan pemilikan blog itu, sama ada beliau memuat naik hantaran itu, dan sama ada beliau membuat pemeriksaan terhadap artikel itu sebelum dimuat naik.
“Daripada soalan itu, sesiapa saja boleh nampak Hisham adalah subjek siasatan. Secara ringkasnya, Hisham dilayan sebagai seorang suspek.
“Untuk menyokong dakwaannya, SMKK kata tiada apa-apa dirampas daripada Hisham. Jika itu benar, kenapa rumah Hisham digeledah dengan kehadiran ramai pegawai, bukan saja daripada SKMM, tetapi polis juga?
“Beliau diberitahu pihak berkuasa mahu merampas komputernya, menggunakan kuasa di bawah Sesyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk masuk ke rumahnya tanpa waran.”
Beliau berkata pihak berkuasa menggunakan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia dan memaksa Hishamuddin menyerahkan kata nama dan kata laluannya kepada SKMM.
“Ini bukan tindakan yang diambil terhadap seseorang yang dianggap hanya saksi; sangat ketara Hisham adalah subjek siasatan itu.
“SKMM sekarang menafikan Hisham disiasat, adalah semata-mata bertujuan menutup intimidasi dan gangguan dilakukan terhadapnya kerana menonjolkan kritikan terhadap perdana menteri.”
Zaid berkata penafian SKMM itu adalah susulan masyarakat mengecam siasatan itu adalah bukti ia hanyalah bermotifkan politik. – 6 Julai, 2024.
pi mampuih la hang... kah kah kah
BalasPadam