Rabu, 31 Julai 2024

BLACKROCK DAN RABBI DARI NEW YORK


BLACKROCK

  DAN RABBI

 DARI NEW YORK


Penjualan 39 lapangan terbang milik rakyat Malaysia ini kepada Blackrock terus  jadi perbualan nasional.

Aku balik kampung – ke Jelebu -  hujung minggu yang lalu. Balik kampung untuk melawat  dua kakak – Kak Ngah yang tua  dan Kak Lang yang muda. Mereka  sudah melintasi 80 tahun.

Aku juga berniat hendak menerangkan   kepada mereka kenapa polis , mata-mata dan pegawai SKMM  (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia ) datang masuk menggeledah ke flet aku.

Berita mata-mata , polis  dan pegawai SKMM menggeledah flet aku telah menular luas  dalam media sosial.

Aku  agak hairan - keluarga dan jiran semuanya tahu kes flet aku di geledah. Malah dua kakak aku yang masih menggunakan Nokia lama tergulung dalam  generasi Gatek – gagap teknologi – turut sama tahu  kes flet aku digeledah.

Kakak Lang bersurah - anak buah aku  bergegas menalipon ke kampung bila berita dan gambar flet aku  ini muncul dalam sosial media.

‘  Tok Cik kena tangkap ....’ Ini laporan anak buah aku kepada kakak aku yang tidak cekap dengan media sosial

Hebat peranan media sosial. Berita benar dan berita palsu muncul seiring dengan pantas. Berita  bertokoh tambah dan ditaburi  aji-no-moto untuk keenakan halwa telinga. 

Yang sahih – rumah di geledah. Yang palsu aku  ditangkap.

Untuk keluarga  aku -  Hishamuddin Rais di tangkap ini bukan lagi satu berita yang memeranjatkan. Semenjak tahun 1974  lagi  Hishamuddin Rais telah berkali-kali ditangkap. Bukan hanya di Malaysia. Aku  pernah di tangkap di Australia, di Moscow dan di India.

Apa yang menghairankan aku kali ini ialah pemahaman mereka bila flet aku di geledah.

‘ Ini mesti Blackrock....’  Suara Rosli  menantu Kakak Lang aku. Dia ini  Pak Tani kampung.  Belum pun sempat aku menerangkan kenapa flet aku di geledah sosok  ini telah membuat kenyataan.

Satu kenyataan yang bijak dan benar.

Aku  faham dan sedar dari mana nama Blackrock ini muncul. Nama Blackrock ini dikenali oleh keluarga aku kerana satu klip video Hishamuddin Rais telah menular luas di media sosial tidak berapa lama dulu.

Klip video ini adalah kenyataan yang aku buat di hadapan Pejabat Anthony Loke  Menteri Pengangkutan di     Putrajaya. 

Dalam klip ini aku menerangkan bahawa keputusan menjualkan 39 lapangan terbang milik Malaysia kepada Blackrock telah di buat oleh ‘ tiga malaon yang sama’ – Menteri Kewangan Anwar Ibrahim, Pengerusi Khazanah Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Penggunaan perkataan malaon ini meledakkan penularan klip video itu.

Mengikut Kak Ngah , selepas  klip ini viral menular seorang jiran  - anak dara dari belakang rumah -  telah datang  ke rumah pusaka kami untuk menayangkan klip ini kepada Kakak Ngah aku. 

‘ Blackrock ni apo....’ Ini pertanyaan dari Kakak Ngah aku  minggu lalu. Nama Blackrock muncul ketika kami sekeluarga berkumpul di meja menikmati  makan  tengah hari  gulai ikan baung sungai masak  lomak podeh.

‘ Blackrock ini syarikat Yahudi Zionis... komponi bosa...dari Amerika.... komponi ini buek senjato... senapang, peluru, bom dan kapal terobang yang bunuh Arab Palestin... tu sumo datang dari Blackrock....’ Aku menerangkan dalam lorat Jelebu dan meninggalkan lorat Kuala Lumpur aku.

‘ Pasal apo pulak dio datang ke Klumpo...’ Kakak Ngah aku bertanya dengar jujur.

‘Anwar Ibrahim ni... nak jual lapangan terbang .....airport kito pada Yahudi ni.... 39 buah airport kito di rembat oleh Yahudi ni....’ Aku  menerangkan sambil menghasut.

‘ Kito nak pogi naik aji ambil kapal terobang  kek mano nanti...’ Satu soalan jujur dari Orang Kampung yang tidak melupakan amalan Islam. Mereka bertanya sesudah  Yahudi Zionis memiliki lapangan terbang kita  bagaimana kita nak terbang ke Mekah. 

‘ Nak poie Mokah kito naik kek KLIA.... tak berubah.... tapi KLIA bukan laie kito punyo ...pintu masuk rumah kito Yahudi Zionis jago....’ Aku menambah pencerahan.

‘ Polis ambik apo kek bilek kau....’ Kakak Lang bertanya.

‘ Tak  jadi ... mulo nak rampeh komputa... lopeh tu tak jadi...’ Aku menerangkan.

Kemudian aku  menerangkan  dengan lebih jelas kenapa flet aku di geledah. Tujuannya  SKMM, polis dan mata-mata  di belakang penggeledahan ini bertujuan untuk memberi tekanan dan ingatan  agar aku jangan menimbulkan isu Blackrock. 

‘ Ini nak takut-takutkan.... nak ancam sapo yang buek cerito Yahudi Zionis Blackrock masuk Malaysia...boli airport...’ Aku memperkukuh hujah.

‘ Apo kau tulis... cerito apo... ‘ Kak Lang bertanya.

Lalu aku  menerangkan yang di soal siasat oleh Polis ialah tulisan Tamrin Ghaffar. Isi tulisan ini ialah bertanya apakah Anwar Ibrahim sakit dan di hinggapi oleh virus HIV. Tulisan Tamrin ini masuk dalam blog Tukar Tiub yang aku kendalikan.

‘ Tulisan Tamrin ni... hanya helah... tulisan ini dah keluar lama.....’ Aku menjelaskan.

‘ Blackrocklaaa.....  Esey  dah cakap ni sumo pasal Blackrock....tak nak orang kampung tau... cerito Yahudi... ‘ Rosli memperkuatkan hujah.

Ini kesah aku di kampung pada hari Ahad. 

Pada pagi Senin aku meredah ke  Putrajaya. Ada seminar tentang Palestin di  Yayasan Perdana.  Ini kali pertama aku masuk ke Dewan Yayasan Perdana.

Pagi Senin itu ada lebih 200 sosok yang prihatin terhadap Palestin telah  duduk dalam dewan.

Aku tertarik untuk datang kerana  ada seorang Rabbi  dari New York yang akan menyampaikan kertas kerja.  Dalam hidup aku inilah kali pertama aku akan mendengar khutbah dari seorang Rabbi.

Tetapi Yahudi ini bukan satu yang baru untuk aku. Kenalan baik aku  -  Susan dan Deidre - dua beradik kembar - dari Sydney Australia berketurunan  Yahudi. Mister Diamond tukang masak di restoran aku bekerja di Soho London juga Yahudi. 

Ketika ditahun akhir di sekolah filem di Univercity Westminster aku pernah membuat dokumentari pendek sebagai latihan  tentang NGO Yahudi  dari Utara London. 

Malah aku pernah berpacar dengan seorang Minah Yahudi. 

Rabbi  yang menarik perhatian aku datang  dari New York . Nama dia Yisroel Dovid Weiss. Sosok ini seorang Yahudi Amerika,  aktivis, dan jurucakap kumpulan agama Yahudi dari mazhab  Neturei Karta.

Aku pernah melihat wajah Rabbi ini dalam YouTube.  Rabbi Weiss  dari Neturei Karta ini  selalu turun berdemo di New York.  Mereka menyokong perjuangan rakyat  Palestin. Mereka bersuara menentang pembunuhan di Gaza. Mereka menuntut gencatan senjata dan perdamaian.

Yahudi dari mazhab Neturei Karta jelas  menentang Zionis dan menentang Israel. Kumpulan ini mahu negara Israel yang mereka anggap haram di mansuhkan.

Pada hemat aku memansuhkan Israel ini  satu tuntutan yang amat radikal dari kumpulan Yahudi.
Di pagi  itu di Yayasan Perdana aku diberi pencerahan dari segi  sudut pandangan Neturei Karta oleh Rabbi Weiss.  Untuk mazhab ini Israel tidak perlu wujud.

Mereka menolak - two state solution.

‘ ... not until the arrival of Messiah..... Zionis is not Judaisam ....no two state ssolution...’ Ini kata-kata seorang Rabbi atau dalam budaya  Melayu Rabbi  Weiss ini  ialah seorang ulama Yahudi. 

Pagi  itu Rabbi ini dengan panjang lebar telah menerangkan perbezaan antara Zionis dan Yahudi. Menurut Rabbi Weiss adalah salah untuk menganggap  bahawa Zionis itu ada berkait  dengan agama Yahudi.

‘ Zionism  is a secular nationalist  movement...  Netanyahu is not religious....’   Rabbi Weiss menayangkan kepada khalayak satu   gambar sejarah pengumuman Israel ditubuhkan pada  tahun 1948 oleh David Ben-Gurion.

Dalam gambar ini tidak ada Jantan  Yahudi yang memakai kippah atau  kopiah. Mereka dalam gambar itu bukan mewakili agama Yahudi. Mereka nasionalis sekular.

Apa yang  mencerahkan diri aku pada pagi itu  ialah penolakan ulama Yahudi terhadap Zionis dan Israel.  Rabbi Weiss meminta agar kita jangan kaitkan agama Yahudi dengan apa yang berlaku di Palestin dan Gaza.

Kemudian majlis mendengar  penyampaian dari  Profesor Nazari Ismail. Sosok ini  memimpin gerakan BDS –  (Boycott Divestment Sanction) di Malaysia. BDS ini sebuah NGO antarabangsa  yang menganjurkan gerakan boikot pelaburan dan perniagaan dengan Israel.

 Sosok ilmuwan  ini menerangkan  kenapa Malaysia wajib ikut sama dalam kempen boikot ini.  Prof Nazari memberi pencerahan tentang  beberapa jenis boikot.

Boikot McDonald itu boikot jenis organik. Orang Malaysia sendiri melakukan kerana mereka melihat soldadu Israel mendapat burger percuma dari McDonald.

Manakala syarikat Sime Darby Malaysia  di minta memberhentikan membeli jentolak dari  syarikat Caterpillar . Jentolak  Caterpillar dilaporkan telah digunakan di Gaza pada permulaan perang terbaharu, selepas 7 Oktober.

Pada Disember 2023, tentera Israel dituduh menggunakan jentolak Caterpillar untuk menanam orang awam yang masih hidup di luar Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya di Gaza.

Pencerahan cukup menarik tapi aku belum puas hati. Dari  tempat duduk  tanpa dijemput aku telah  menjerit dari dalam Dewan.

‘ Blackrock.... Blackrock...’

Profesor Nazari memandang ke arah aku. Dia tidak  ada pilihan. Dia terus menerangkan kepada khalayak niat Anwar Ibrahim mahu menjualkan syarikat MAHB kepada Blackrock.

Aku yang tidak berpuas hati masih mahu  memanjangkan wacana pagi itu dengan agenda Blackrock.

Ketika masa soal jawab dimulakan akulah yang pertama bangun dan bersuara.

‘ Apa niat kerajaan Malaysia mahu menjualkan 39 lapangan  terbang kita kepada Blackrock .. syarikat pembekal senjata dalam Perang Gaza....dan diberi monopoli selam 46 tahun.... apa akan jadi dengan keselamatan negara kita.... sesiapa saja boleh menjawab soalan saya ini...’  

Rais Yatim bekas Menteri Luar yang juga penyampai kertas kerja menjawab.  Rais Yatim yang fasih  dalam bahas Inggeris dan Melayu berkata  dia juga sangsi akan niat Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Rais Yatim mahu Blackrock ini terus dibincangkan oleh orang ramai.

Profesor Nazari menjawab sekali lagi. Kali ini sosok ini mempertikaikan fikrah dan niat  kerajaan Madani. 

Soalan aku pada pagi Senin itu tentang Blackrock bukan untuk pencerahan diri aku. Aku tahu akan implikasi dan geopolitik Blackrock. Aku tahu ada udang di sebalik batu Blackrock. 

Tujuan aku menjerit dan bertanya untuk pencerahan orang ramai kerana ketika aku bertanya dan menjerit Astro dan Al-Jazeera  sedang merakam dan membuat siaran terus menerus. 

Hari ini aku akan terus menjerit dan melaungkan akan bahaya menjual 39 lapangan terbang kita kepada Blackrock.

Seperti kata Rabbi Weiss  ‘... jangan sokong Israel.... jangan meniaga dengan Israel.... sokong perjuangan Palestin...’

Mustahil masih ada yang tidak faham duduk perkara Blackrock ini. Rabbi Yahudi pun tidak sokong Blackrock mengapa Anwar Ibrahim yang klim baik dengan Ismail  Haniyeh pemimpin Hamas sanggup menjual pintu negara kita kepada Zionis.  Amin.  (TT)


TULISAN INI JUGA
DSIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/07/30/blackrock-dan-rabbi-yahudi-dari-new-york





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan