Turkiye mungkin 'masuk' Israel bantu rakyat Palestin - Erdogan
ANKARA: Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, berkata Turkiye mungkin memasuki Israel seperti dilakukan pada masa lalu di Libya dan Nagorno-Karabakh tanpa menyatakan bentuk campur tangan yang dicadangkannya.
Erdogan yang menjadi pengkritik tegar serangan Israel di Gaza membincangkan perang itu ketika ucapan memuji industri pertahanan negaranya semalam.
"Kita mesti kuat supaya Israel tidak boleh melakukan perkara yang tidak masuk akal ini kepada Palestin. Sama seperti kami memasuki Karabakh, sama seperti kami memasuki Libya, kami mungkin melakukan perkara yang serupa dengan mereka.
"Tiada sebab mengapa kita tidak boleh melakukan ini... kita mesti kuat supaya kita boleh mengambil langkah ini," kata Erdogan dalam ucapan pada mesyuarat Parti AK yang disiarkan di televisyen dari Rize.
Wakil Parti AK bagaimanapun tidak menjawab panggilan untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai kenyataan Erdogan, manakala Israel juga tidak segera membuat sebarang ulasan.
Kenyataan Erdogan dilihat merujuk kepada tindakan lalu oleh Turkiye.
Pada 2020, Turkiye menghantar anggota tentera ke Libya untuk menyokong 'Government of National Accord of Libya' yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perdana Menteri Libya Abdulhamid al-Dbeibah, yang mengetuai Kerajaan Perpaduan Negara di Tripoli, disokong oleh Turkiye.
Turkiye telah menafikan sebarang peranan langsung dalam operasi ketenteraan Azerbaijan di Nagorno-Karabakh, tetapi berkata tahun lepas ia menggunakan "semua cara", termasuk latihan ketenteraan dan pemodenan, untuk menyokong sekutu rapatnya
Gaza dah hancur lebur baru cakap nak hantar bantuan, tapi itu pun belum tentu jadi hantar atau tidak. ini semua tak boleh pakai
BalasPadam