Putrajaya batal pengharaman buku agungkan China, sindir Najib
Kerajaan telah menarik balik larangan ke atas sebuah buku komik diterbitkan seorang penyokong tegar DAP yang memuatkan pelbagai pujian terhadap China di samping sindiran terhadap Najib Razak, dalam apa yang dijangka menimbulkan kemarahan sebahagian besar ahli Umno yang masih setia bersama bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu.
Warta kerajaan persekutuan yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail minggu lalu memaklumkan pembatalan perintah yang dikeluarkan pada Oktober 2019 untuk mengharamkan buku "Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama" yang dikarang oleh jurucakap DAP, Hew Kuan Yew, yang lebih dikenali dengan panggilan "Superman Hew".
Buku itu diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam versi Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
Walaupun mengalami pertukaran kerajaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) jarang menarik balik perintah pengharaman penerbitan yang dianggapnya boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan awam, alasan yang kerap digunakan dalam melarang buku, filem dan karya seni.
Hasil kerja Hew itu mempromosikan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), rancangan besar-besaran Beijing untuk membina pembangunan infrastruktur di seluruh dunia bagi meluaskan pasaran dan pengaruh negara itu.
Buku yang diterbitkan sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia dan China itu menampilkan dua watak kucing yang memuji wawasan China di samping mengagung-agungkan sejarah dan tamadunnya.
Komik itu turut menyasarkan Najib berhubung skandal 1MDB, menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang merasuah pengundi dan cuba mengambil kesempatan atas pelaburan China di Malaysia.
Ia turut memuatkan karikatur mempersendakan isteri Najib, Rosmah Mansor, serta mengkritik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional terdahulu.
Ucapan berbaur perkauman
Hew, penyokong tegar DAP, dianggap watak kontroversi disebabkan ucapannya yang berbaur perkauman.
Pada 2016, dia dirakam dalam sebuah video menggesa rakyat Sarawak untuk “menggunakan Melayu untuk 'skru' Melayu" semasa kempen pilihan raya di negeri itu.
Dia kemudiannya meletak jawatan daripada DAP pada tahun yang sama, namun masih terus mempromosikan parti tersebut.
Selepas PH mengambil alih kuasa pada 2018, Hew dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).
Dia kemudiannya sekali lagi mengundang kontroversi berhubung penerbitan buku komik yang diharamkan kerana kandungan propaganda komunis.
Hew kembali menjadi tumpuan apabila klip ucapannya semasa kempen pilihan raya umum 2022 menjadi tular.
Klip itu menunjukkan Hew menyeru masyarakat Cina untuk mengeksploitasi perpecahan dalam kalangan orang Melayu dengan memberi mereka "tumbukan maut" pada pilihan raya umum, di samping menggesa masyarakat Cina meraikan perpecahan Melayu.
"Sekarang biarkan Melayu yang nak ketuanan Melayu, Melayu yang balut kepala yang nak ketuanan Islam, maksudnya PAS yang jah**** itu," kata Hew dalam klip video yang tular itu disertai sarikata Melayu.
"Sekarang mereka berpecah belah, kita kena bersatu,” katanya, sambil mengacungkan penumbuknya.
Hew mengaku menyampaikan ucapan itu, tetapi menuduh MCA menyunting video dan terjemahan Melayu "untuk kegunaan Umno".
Dia kemudiannya ditahan sehari sebelum Anwar Ibrahim dilantik mengetuai kerajaan campuran susulan Parlimen tergantung pada pilihan raya umum 2022.
Polis dilaporkan berkata Hew akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kenyataan yang mempromosi niat jahat dan permusuhan antara rakyat, serta di bawah Kanun Keseksaan kerana mengancam keamanan awam dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM51,400 kepada Hew kerana mengharamkan bukunya.
Najib sindir? Bukan Apek Gemuk yang sailang duit Rakyat berbillion bersama Najib di beri perlindungan safe haven di China ?
BalasPadamNajib masa PM6 sujud kat China dan raikan BRI sehingga terhasil Projek ECRL sebagai penghubung BRI diAsia Tenggara.
Najib ludah ke muka dia sendiri.
penyedap penyedap madanon kahkahkah jgn marah perjuangan
BalasPadam