Berhenti cakap soal jatuhkan kerajaan – TPM
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak membangkitkan naratif untuk menjatuhkan kerajaan lagi kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti di Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof menegaskan, lebih baik pembangkang bercakap soal kestabilan, sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang ke negara ini.
“Lebih utama untuk negara kita sekarang ialah kestabilan, jadi janganlah kita bercakap tentang jatuhkan kerajaan apa semua. Berhentikan pasal itu, sebab kerajaan sekarang ini sudah dapat sokongan, sudah ada dua pertiga, dibuktikan di Parlimen.
“Kita kena hantar mesej kepada dunia bahawa kerajaan ini stabil, kalau stabil, pelabur datang, pelabur datang baik untuk ekonomi dan rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Fadillah merasmikan Konvensyen Bantuan Pelajar Undang-Undang Malaysia di Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan 115 akuan berkanun (SD) yang menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri kepada polis selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November 2022.
Muhyiddin juga mendakwa menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan bertarikh 21 November 2022 daripada Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebelum ini, Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.
Presiden Bersatu itu didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas PRU-15 yang membolehkannya diangkat sebagai Perdana Menteri.
Namun menurut ahli Parlimen Pagoh itu, beliau tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
Melayu tu macam kau ke? Yang suka pada tribun news yang suka berbohong dan tidak mau protes terhadap Jordan? Itu melayu sampah!!
BalasPadam