Rabu, 11 September 2024

RAJA PETRA YANG SAYA KENALI



RAJA PETRA 

YANG SAYA KENALI


Pagi Selasa 10 September 2024 dalam perjalanan membawa anjing saya – Ezi dan Tak Tak –  berjalan-jalan di Tanah Perkuburan Hokkien talipon bimbit saya sibuk berbunyi. Banyak pesanan masuk. Saya mengabaikan.


Sekembali di bilik saya membuka komputer. Wow -  ada berbelas-belas pesanan dari Whatapps yang  sampai.  Bila saya buka semuanya membawa berita yang sama : Raja Petra Kamaruddin telah meninggal dunia di Manchester. Al-Fatihah.

Semua kawan-kawan dan kenalan mahu memberi tahu saya maklumat penting ini. Amin.

Saya ambil muat berita ini dan masuk kan ke dalam Blog Tukar Tiub.

Lalu saya teringat dalam hidup ini jika kita menjalani hidup dengan baik – sekali hidup pun sudah cukup. Saya yakin Raja Petra atau RPK telah menjalani hidupnya dengan baik.

Saya hanya mengenali Raja Petra a.k.a RPK ini  sepulang saya dari dua puluh tahun berkelana. Saya berkenal baik dengan RPK kerana kami sesama terlibat dalam kumpulan teater Bargeaves Ballerz.

Ini kumpulan teater  MCOBA – Malay College Old Boy Association  - murid tua dari MCKK – Malay College Kuala Kangsar. Nama  kumpulan teater ini kami diambil untuk mengingati nama William Hargeaves. Sosok ini menjadi guru besar Kolej Melayu dari penubuhan 1905  hingga ke tahun 1918.

Raja Petra Kamaruddin adalah senior saya di MCKK. Saya menjadi murid MCKK pada tahun 1969.   Ketika saya menjadi Budak Koleq Raja Petra Kamaruddin telah  keluar meninggalkan MCKK pada tahun 1965.

Saya ingat lagi  ada dua kumpulan yang secara terbuka menerima saya pulang ke tanah air tanpa prejudis atau pandangan serong. Pertama  kawan-kawan dari Kelab Sosialis . Kedua kawan-kawan dari MCOBA.  Ah lan wa sah lan mereka cukup jujur.

Pada tahun 1995 setahun sesudah pulang ke tanah air saya mula aktif dalam MCOBA. Persatuan murid tua ini menganjurkan pelbagai aktiviti. Ada Kelab Ragbi, ada  pasukan Golf dan setahun sekali ada Old Boy Weekend. Ini hujung minggu  dimana semua murid tua diajak kembali pulang bermalam di sekolah lama.

Setiap tahun juga  MCOBA akan mengadakan Jamuan Makan Malam Tahunan. Dan kami dari Ballgreaves Ballerz akan  naik ke  pentas  beraksi sesudah jamuan makan malam. Kami penghibur dan penghadam diner.

Saya ingat lagi teater What If... yang kami pentaskan pada tahun 1995. RPK telah berlakon sebagai Mat Salleh kolonial yang mencadangkan kepada empat  Raja-Raja Melayu untuk menubuhkan  kolej Melayu.

Tiap tahun bila Ballerz memerlukan Mat Salleh untuk berlakon pasti nama Raja Petra naik. Kami tak pernah panggil dia Raja Petra. Untuk kawan-kawan dalam MCOBA kami panggil dia dengan nama manja  Pet.

Politik dan iklim politik berubah. Anwar Ibrahim yang juga murid tua Kolej Melayu dibuang dari kerajaan. Di bicara dan di masukkan ke penjara.

Kami dari MCOBA semuanya penyokong setia Anwar Ibrahim. Semua menyimpan harapan old boy yang ini akan melakukan sama  seperti old boy Tun Razak yang telah membawa pembaharuan kepada negara.

Dalam masa yang sama  teater kami juga pernah  ada menyelitkan babak-babak komidi yang menganjing Anwar Ibrahim. Sketsa-sketsa  ini kami pentaskan untuk   untuk para Old Boys mentertawakan sesama sendiri.

Pada 20 September  1998 -  Anwar dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan. Saya dengan seorang Junior Isham Kecik telah pergi ke Sungai Buluh. Saya ingat lagi malam itu kami ke rumah Raja Petra. Kami meminta Pet terlibat untuk menyokong Anwar. Caranya cukup senang – beratur di pintu masuk mahkamah dengan memakai tali leher murid tua Kolej Melayu.

Kami minta Raja Petra menjadi ketua untuk mengepalai beberapa orang lagi Budak Koleq yang telah di rekrut. Ini untuk menunjukkan pada orang ramai bahawa murid tua MCKK juga bersama Anwar Ibrahim.

Pet bersetuju. Gambar Budak Koleq  berbaris dengan tali leher  MCOBA keluar dalam Berita Harian. Saya puas hati.

Hubungan  saya dengan Raja Petra dari pentas teater kini beralih ke pentas politik. Raja Petra ini menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris.  Bila Anwar didapati bersalah dan masuk penjara Raja Petra menerbitkan laman Internet  Free Anwar Campaign. 

Ketika ini dunia Internet baru bermula. Ketika ini ada laman bawah tanah   bernama Mahazalim yang menyerang Mahathir Muhamad secara gelap. Manakala Free Anwar Campaign -  laman yang dikendalikan oleh Raja Petra secara terbuka.

Duta Amerika John Malott sendiri pernah menulis untuk Free Anwar Campaign.

Saya terlibat dalam ke dua-dua laman ini. Saya menghantar tulisan untuk FAC kepada Raja Petra. Saya juga menulis dan menyunting  secara  gelap laman  Mahazalim yang membalun kerajaan Mahathir.

Saya ingat lagi pada 4 April 1999 dimana Raja Petra berada. Pada petang Ahad itu PKN -  Parti Keadilan Nasional  di rasmikan penubuhan di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur

Pada petang itu saya mendapat panggilan talipon dari Pet.

‘ Isham come over... aku di Concorde...datanglaaa... aku dengan Rehman Rashid  ... ‘ Raja Petra mempelawa  untuk minum petang. Rehman juga Old Boy yang selalu terlibat dalam Bargreaves Ballrez.

‘.... mari kita bet berapa lama parti ini akan bertahan....’ Raja Petra agak sinikal dengan penubukan Parti Keadilan Nasional. Saya menolak jemputan itu. 

Anwar masuk penjara. Kami  yang di luar meneruskan perjuangan menentang Mahathir Muhamad dan United Malays National Organisation. Beberapa demonstrasi kami anjurkan.

Pada 10 April 2001 seramai 10  aktivis Reformasi ditangkap di bawah ISA. Saya termasuk dalam senarai tangkapan. Para Reformis sedang merancang untuk keluar  berdemo di hadapan pejabat SUHAKAM di Jalan Tungku Abdul Rahman pada 14 April. Untuk mengingati hari  Black14 – hari Anwar dijatuhkan hukum penjara. 

Saya di tangkap di pejabat saya di Jalan Kemuja Bangsar dan di  bawa ke tempat rahsia yang hingga sekarang saya tidak tahu dimana tempat itu. 

Saya dikurung dalam bilik sulit. Setiap hari  kami  berhadapan dengan lima pegawai polis tanpa uniform dan tanpa nama. Kami disoal siasat – non stop – setiap hari – pagi petang ada kala ke malam.

Saya dikurung bersendirian. Ketika ke bilik siasatan kami digari dan  mata kami ditutup. Kami tidak tahu  dimana kami berada.

Untuk menjadikan cerita satu hari dalam minggu ke tiga Abang Polis yang mengawal kami telah menjalankan kesilapan. Waktu saya hendak di masukan kembali ke sel  - saya terserempak dengan Raja Petra di meja Abang Polis.

Mata kami tidak ditutup lagi. Dua Old Boy  MCKK bersua di Bilik Sulit.

‘ How are you old boy....’ Ini kata-kata Raja Petra yang saya masih ingat hingga ke hari ini.

‘ Ok.... me okay  Pet...’ Jawapan ringkas dari saya  sebelum Abang Polis membuka gari dan  dengan pantas memasukan saya ke dalam  sel. Esoknya saya di pindahkan ke sel lain. Maka saya tahu bahawa Raja Petra juga sama ditahan seperti saya.

Sebulan kemudian saya dipindahkan lagi. Kali ini di bilik tahanan yang lebih ketat. Mata masih ditutup. Berhampiran dengan bilik tahanan saya ialah dewan sukan. Sesekali saya terdengar suara Raja Petra dari  dewan sukan. Dia sedang bersukan dengan Abang Polis.

Satelah dua bulan di soal siasat saya bersama lima Reformis – Ezam, Tian, Pak Abu, Ustaz Badrul dan Lokman Adam di hantar ke Kamunting. Raja Petra di bebaskan. 

Keluar dari Kamunting saya meneruskan apa yang terhenti. Pengalaman  ISA saya rakam dalam teater Bilik Sulit.

Walau pun awalnya sinikal tetapi Raja Petra  tetap di yakini untuk mengendalikan akhbar mingguan Suara Keadilan – akhbar resmi Parti Keadilan Rakyat. Ini sesudah Parti Keadilan Nasional. Parti Rakyat bergabung pada 3 Ogos 2003.

Raja Petra yang mengendalikan portal FAC terus menulis. Laman FAC menjadi rujukan. Tulisan Raja Petra menjadi ikutan. Analisa dan gosip Raja Petra dibaca dan menjadi perbualan nasional.

Tertiba satu Malaysia terkejut dengan pembunuhan Altantuya bekas penyedap Najib. Juga kekasih Razak Baginda – kawan baik Najib.

Raja Petra terus menulis. Saya ingat lagi satu tulisan Pet dimana dia memaparkan angka kilometer  perjalanan kereta Rosmah Mansor  pada malam Altantuya di bunuh.

Dari angka kilometer ini Raja Petra memberi tahu kita semua bahawa  Rosmah berada di tempat Altantuya di bunuh. Buktinya ialah jumlah kilometer pergerakan kereta Rosmah pada malam itu.

Dari mana Raja Petra mendapat maklumat ini hanya Guru Nanak yang tahu.

Polis ingin menangkap Raja Petra sekali lagi. Raja Petra menghilangkan diri dan muncul di Manchester. Dia menjadi sosok pelarian politik. 

‘ I changed..FAC ... Fuck Anwar Completely  ... ke   Malaysia Today....’ Raja Petra memberitahu bila laman ini berubah nama dan Anwar telah dibebaskan.

Laman yang dikendalikan oleh  Raja Petra ini terus  menjadi rujukan politik untuk warga Malaysia. Raja Pet tidak berhenti menulis walau pun kita berada di luar negara.

Pada bulan Mac- April 2014  saya membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Selama sebulan Kumpulan Teater Bukan Teater  mementaskan  teater Bilik Sulit di Nottingham, di Sheffield, di Manchester  dan di London

Di Manchester  sesudah pementasan kami singgah ke  Gossip Cafe – kedai makan milik Raja Petra. Festival Uno Malasie – Satu Malaysia ini yang membawa Bilik Sulit ini terdiri dari 9 pelakun termasuk Adam Adli.

Di Cafe ini saya bertemu, berbual dan berlabun dengan Pet. Banyak yang kami labunkan.

Paling yang saya ingin nak tahu ialah bagaimana dia berjaya melarikan meninggalkan Malaysia.

‘ Alaaa... Anwar baik dengan Datuk Eskay.... dia  bekas kaunselor kita di Haatyai....Datuk Eskay yang bantu aku lari... Anwar bohong dia tak kenal Datuk Eskay.....Anwar ni kaki kencing....’  Old Boy bercerita kepada Old Boy.

Itulah  kali akhir kami bertemu.

Sekali sekala saya buka juga laman Malaysia To-Day. Kebelakangan ini  Pet kelihatan agak kurus dan cengkung dalam  siaran podcast nya.

Pagi ini saya menerima berita kematian Raja Petra. Saya menalipon Bull atau Nik Azmi kawan baik Pet  – kawan satu dormitori di MCKK untuk penjelasan.

‘ ...tak tahu dia sakit apa...’

Maka dalam hidup ini jika kita lakukan dengan baik sekali pun sudah mencukupi.  Raja Petra Kamaruddin kerabat Selangor telah menjalani hidupnya dengan baik.

Ini tulisan Budak Koleq kepada Budak Koleq. Al- Fatihah. Amin.  (TT)



TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/718781


Tiada ulasan:

Catat Ulasan