Iran beri amaran tindak balas 'tegas' jika Israel menyerang, gesa tindakan PBB
TEHRAN: Pegawai diplomat tertinggi Iran memberi amaran kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bahawa Teheran sedia bertindak balas dengan 'tegas dan tanpa rasa kesal' jika Israel menyerang negaranya sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu.
Republik Islam itu melepaskan kira-kira 200 peluru berpandu ke arah Israel pada 1 Oktober sebagai membalas dendam atas pembunuhan dua sekutu terdekatnya, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah serta seorang jeneral Iran.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berikrar untuk bertindak balas membalas dendam negaranya dengan serangan 'maut, tepat dan mengejutkan'.
"Iran, ketika melakukan usaha habis-habisan melindungi keamanan dan keselamatan rantau ini, bersedia sepenuhnya dengan tindak balas tegas dan tanpa rasa sesal terhadap sebarang kemaraan tentera Israel," kata kenyataan Pejabat Menteri Luar Iran.
Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengadakan panggilan telefon dengan Guterres petang semalam.
Ketika panggilan telefon itu, Araghchi juga merayu kepada PBB untuk menggunakan sumber dayanya 'untuk menghentikan jenayah dan pencerobohan rejim Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Lubnan dan Gaza'.
Sepanjang minggu lalu, Menteri Luar Iran mengadakan kunjungan ke Lubnan, Syria, Arab Saudi, Qatar, Iraq dan Oman dalam usaha meredakan ketegangan.
Araghchi tiba di Jordan hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Mesir dan Turkiye, kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei dalam satu catatan di platform media sosial X.
Usaha itu didorong akibat perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin yang bersekutu dengan Iran, Hamas yang bergelora selama lebih setahun dan berkembang termasuk Lubnan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan