Korea Utara hantar 10,000 tentera untuk berlatih di Russia, kata AS
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa Korea Utara menghantar kira-kira 10,000 tentera untuk berlatih di Russia iaitu pertambahan tiga kali ganda anggaran sebelumnya.
Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh, berkata tindakan itu mendorong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran mengenai perkembangan berbahaya perang Ukraine.
"Kami percaya bahawa Korea Utara menghantar kira-kira 10,000 tentera secara keseluruhan untuk berlatih di timur Russia yang mungkin akan menambah pasukan Russia berhampiran Ukraine dalam beberapa minggu akan datang," katanya.
Washington sebelum ini menganggarkan jumlah tentera Korea Utara di Russia melebihi 3,000 anggota.
Pyongyang menandatangani pakatan pertahanan bersama Moscow yang dianggap secara meluas sedang membekalkan senjata kepada Russia untuk pencerobohannya, tetapi kehadiran tentera di lapangan akan menandakan peningkatan dalam konflik itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sebelum ini memberi amaran seramai 12,000 askar Korea Utara akan berada di tanah Russia, dengan Presiden AS, Joe Biden, menyelar penempatan itu sebagai 'sangat berbahaya'.
Sementara itu, Ketua NATO, Mark Rutte, menyifatkan penempatan tentera sebagai 'peningkatan berbahaya dalam perang Russia' dan 'tanda Putin berputus asa'.
Rutte berkata, lebih 600,000 askar Russia terbunuh atau cedera sejak konflik bermula pada 2022 dan Kremlin tidak dapat mengekalkan pencerobohan tanpa sokongan asing.
"Kerjasama ketenteraan yang semakin mendalam antara Russia dan Korea Utara adalah ancaman kepada keselamatan Indo-Pasifik dan Euro-Atlantik.
"Moscow dan Pyongyang mesti menghentikan tindakan ini dengan serta-merta," katanya selepas taklimat dengan pegawai perisikan Korea Selatan, di Brussels.
Rutte juga mengesahkan bahawa unit tentera Korea Utara ditempatkan di lapangan di wilayah Kursk, barat Russia, susulan tentera Ukraine melancarkan serangan darat di Kursk pada Ogos dan mengawal beberapa ratus kilometer persegi wilayah Russia.
Pakar berkata, sebagai balasan, Korea Utara berkemungkinan menyasarkan untuk memperoleh teknologi ketenteraan, daripada satelit pengawasan hingga kapal selam serta kemungkinan jaminan keselamatan daripada Moscow.
Ketua EU, Ursula von der Leyen juga memberi amaran bahawa penambahan tentera Korea Utara akan 'meningkatkan perang terhadap Ukraine dan mengancam keamanan global'.
Amaran itu dikeluarkan selepas panggilan telefon dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, di mana beliau memberi jaminan 'tindak balas EU terhadap perkembangan itu akan tertumpu kepada kerjasama dengan Republik Korea dan rakan kongsi lain yang berfikiran sama'.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller juga memberitahu China iaitu sekutu kedua-dua Moscow dan Pyongyang bahawa ia sepatutnya 'prihatin mengenai tindakan tidak stabil ini oleh dua jirannya, Russia dan Korea Utara'. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan