Formula Kerajaan Perpaduan tak sesuai di Sabah?
KUALA LUMPUR – Formula Kerajaan Perpaduan yang dipraktikkan peringkat Persekutuan ketika ini mungkin tidak sesuai untuk dibawa dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang dijangka tahun depan.
Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, ia kerana ketika ini sudah wujud pergeseran antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu berhubung beberapa isu.
Jelas beliau Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hubungan tidak harmoni memberi gambaran gabungan parti komponen BN dan PH sukar untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh selepas PRN Sabah.
“Pertikaman lidah antara pemimpin kedua-dua belah pihak yang berlaku ketika ini sebenarnya mempermudahkan kepimpinan tertinggi membuat keputusan iaitu mungkin tidak meneruskan kerjasama seperti Kerajaan Perpaduan di Sabah.
“Ini bukan bermaksud mereka tidak ingin bekerjasama tetapi di peringkat akar umbi Sabah sendiri tidak mahu bekerjasama.
“Kemungkinan juga sekiranya kerjasama PH-BN diteruskan, akan ada syarat-syarat antaranya individu tertentu tiada dalam kerjasama tersebut,” katanya di sini hari ini.
Hubungan antara pemimpin UMNO dan DAP Sabah ketika ini turut terkesan disebabkan isu pensijilan halal yang tercetus antara Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.
Ia selepas Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Chan Foong Hin mengingatkan UMNO mengenai kepentingan parti itu mengawal pemimpin pemudanya menjelang PRN Sabah akan datang.
Tambah Foong Hin, DAP akan terkesan dalam politik Sabah sekiranya UMNO tidak dapat mengawal atau menangani pemimpin pemuda yang berani memperjuangkan agenda mereka sendiri.
Menjawab kenyataan itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir berkata, Foong Hin sepatutnya memberi nasihat kepada para pemimpin DAP untuk tidak lagi menyentuh dan mempersoalkan urusan agama Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka.
Dalam pada itu, Kok Tiung berpendapat, isu pensijilan halal yang menjadi duri dalam daging kepada kerjasama BN-PH ketika ini melangkaui isu agama dan disensasikan untuk kepentingan politik.
“Mana-mana individu yang ingin menjadi pemimpin di negara ini sepatutnya mengetahui dan memahami sejarah Malaysia.
“Memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) seperti dalam isu sijil halal untuk meraih sokongan mungkin boleh mendapat sokongan segmen masyarakat tertentu, tetapi tidak mungkin keseluruhan rakyat kerana kita hidup dengan amalan saling menghormati, bertoleransi dan bertolak-ansur,” katanya. –
ramai tak sior perpaduan ala DAP... kah kah kah
BalasPadam