Seluruh penduduk utara Gaza berisiko mati - Ketua Kemanusiaan PBB
ANKARA: Pegawai tertinggi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa seluruh penduduk di utara Gaza berisiko mati di tengah-tengah situasi semakin meruncing dan serangan sengit tentera Israel yang berlarutan selama beberapa minggu, lapor Agensi Anadolu.
"Hospital telah diserang dan petugas kesihatan ditahan. Tempat perlindungan telah dikosongkan dan dibakar," kata Pemangku Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Joyce Msuya.
Msuya menekankan kesan buruk serangan Israel terhadap penjagaan kesihatan dan keselamatan orang awam, serta keadaan kritikal pasukan penyelamat yang dihalang daripada menyelamatkan orang dari bawah runtuhan.
Ketua agensi kemanusiaan itu meluahkan kebimbangan mendalam terhadap penduduk awam, melaporkan bahawa keluarga telah dipisahkan dan lelaki serta kanak-kanak lelaki diangkut dengan trak.
Kekejaman Israel mengakibatkan ratusan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, dengan puluhan ribu lagi terpaksa melarikan diri sekali lagi," katanya.
Msuya memberi amaran bahawa seluruh penduduk Gaza Utara berisiko mati dan mengutuk serangan serta sekatan yang sedang berlaku sebagai menunjukkan penghinaan terang-terangan terhadap asas kemanusiaan dan undang-undang perang.
Beliau menyeru tindakan segera antarabangsa untuk menghentikan keganasan dan memastikan perlindungan terhadap orang awam di wilayah berkenaan.
Pencerobohan darat dan pengeboman oleh tentera Israel terus berlaku di seluruh utara Gaza, dengan pasukan tentera mendesak pemindahan rakyat Palestin secara paksa.
Hampir 43,000 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 100,000 orang cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakannya di Gaza. - BERNAMA-ANADOLU
mana cangkul, tombak serta keris? ayuh mari kita tentang israel sambil bertengkolok. mesti israel takut dan angkat bendera putih. orang melayu tengah marah dan sedang mengamuk. jampi serapah israel seperti bomoh buluh supaya meteka kalah perang. Kah kah kah!
BalasPadam