Rabu, 6 November 2024

BENDERA CHINA MERAH DAN BENDERA PALESTIN


BENDERA 

CHINA MERAH

DAN

BENDERA

PELESTIN



Baru-baru ini kita heboh dengan berita bendera China Merah.  Dalam masa  satu bulan bendera China Merah ini telah di kibarkan tiga kali  di tiga wilayah dalam Tanah Melayu.

Pertama kali di Pulau Pinang bila kapal perang China Merah masuk ke pelabuhan. Kali ke dua di Telok Intan. Dan kali ketiga di Johor Baru. Tiga kali – tiga kali yang mencurigakan. Tiga kali yang menimbulkan syak wasangka.

Biar saya mulakan dengan menerangkan makna istilah yang saya pakai dalam tulisan ini agar tidak disalah tafsir. 

Pertama istilah China Merah. Istilah China Merah ini memberi makna China di Tanah Besar. Dulu Bani Melayu termasuk Rahmah Tok Wan saya panggil negeri ini  Tongsan. 

Ini negara Republik Rakyat China yang didirikan oleh  Mao Zedong  pemimpin Parti Komunis China pada tahun 1949.   

Ada satu lagi negara China. Ini namanya Republik China . Republik China dikenali  juga sebagai Taiwan  sebuah negara asing  yang  di dirikan oleh Chiang Kai-sheik pemimpin parti Nasionalis Kuomintang pada tahun 1949. Negara ini memiliki bendera negara mereka sendiri.

Kedua – saya menggunakan panggilan  Tanah Melayu. Ini bertujuan  untuk memberi  tahu  pembaca bahawa ini nama asal bumi yang kita pijak ini. Nama asalnya ialah  Tanah Melayu. Dalam bahasa Inggeris  Land of The Malays. Nama Semenanjung Tanah Melayu ini telah diubah jadi Malaya oleh Inggeris tanpa persetujuan Bani Melayu. 

Kemudian nama Persekutuan Tanah Melayu ini telah dialih  menjadi Malaya dan kemudian Malaysia. 

Ini sama seperti Kampung Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi  yang telah dialih namanya untuk menjadi Bangsar South. Ada niat jahat di belakang projek mengubah nama-nama ini – satu kesah yang lain.

Mengibarkan bendera China Merah ini menjadi heboh di Tanah Melayu. Menjadi polemik politik. Menimbulkan kemarahan orang ramai. Tuduh menuduh timbul kerana bendera China Merah ini di kibar. Warga Internet marah.

Kenapa ini berlaku ?  Apa yang menimbulkan polemik? Apa yang menimbulkan kemarahan. Apa latar belakang semua ini?

Untuk memahami kes bendera China Merah ini saya akan membawa pembaca kembali kepada  latar sejarah. Pada satu ketika dulu – saya pernah membaca berita dalam Utusan Malaysia. Sekitar tahun 1973 saya terbaca  bendera Parti Komunis  Malaya (PKM) telah dipasang di atas pencawang  dawai elektrik di Selayang.

Polis dan pakar bom  serta merta telah menurunkan bendera PKM ini. Pakar bom  ikut sama kerana mungkin ada dipasang bom jerangkap bersama bendera.

Di tahun-tahun 60an dan 70an   PKM sedang melancarkan perang gerila untuk menjatuhkan kerajaan yang di kepalai oleh United Malays National Organisation. PKM mahu mendirikan Republik Rakyat Malaya. 

Pada ketika itu PKM menggunakan bendera parti  sebagai senjata perang saraf. Di mana bendera PKM dipasang membuktikan bahawa PKM memiliki  sokongan rakyat di wilayah itu. 

Bendera dipasang dan di kibar   sebagai  senjata untuk membuktikan kekuatan. Bendera ditakrif sebagai mewakili negara, parti politik , syarikat atau kumpulan.

Bendera PKM berwarna merah dengan tukul dan sabit ini bukan sahaja di haramkan malah sesiapa yang memiliki  bendera ini akan di tangkap dituduh sebagai komunis atau kader PKM. Justeru Bani Melayu  dari awal telah terdidik untuk membenci dan menganggap bendera merah ini sebagai musuh sejati.

Bendera merah, ada tukul, ada sabit atau ada bintang menjadi ikon musuh. Tanah Melayu dan kemudian Malaysia adalah negara yang menganggap komunis itu musuh ketat.  Tanah Melayu dan Malaysia adalah negara anti-komunis.

Bani Melayu memusuhi komunis.  Tanda utama dan simbol komunis  untuk Bani Melayu ialah bendera merah.

Dalam perang saraf kerajaan – dari zaman kerajaan Inggeris lagi  komunis ini adalah China. Pendatang China yang kini menjadi warga negara Malaysia akan dilihat dengan was was.  Mereka berpotensi menjadi komunis kerana negara asal mereka ialah China Merah atau China Komunis. 

Justeru mereka ini wajib di syak sebagai  ajen dan tali barut kepada China Komunis yang berniat untuk menakluk Tanah Melayu.

Satu ketika dahulu di dalam pasport warga Malaysia tertera larangan tidak dibenarkan masuk ke China Merah. Negara China Merah di anggap bahaya untuk dilawati.

Latar belakang inilah yang  menjadikan   Bani China   di Tanah Melayu disamakan dengan China Komunis. China dan komunis itu dianggap sama. Perang saraf dan propaganda anti-komunis berjalan licin dan  berterusan hingga ke hari ini.

Pada 31 Mei 1974 arwah Tun Razak merasmikan hubungan diplomatik dengan China Merah.  Malaysia membuka kedutaan di Peking. China Merah membuka kedutaan di Jalan Ampang. 

Walau pun ada hubungan diplomatik antara dua negara tetapi sikap dan benci Bani Melayu terhadap komunis dan fahaman komunis yang telah di tanam oleh penjajah Inggeris masih tebal.

Kalau di zaman penjajah nampak sahaja sosok China dalam kebun getah pasti tergambar sosok ini pasti  komunis dan wajib di belasah.

Justeru sejarah inilah yang menjadi sebab  utama Bani Melayu di Tanah Melayu marah apabila bendera China Merah di kibar di Pulau Pinang, di Telok Intan dan di Johor Baru.

Ini di tambah pula dengan niat jelas lagi terbentang bagaimana China Merah hari ini mahu menguasai Lautan Sunda yang berhadapan dengan Johor , Pahang, Terengganu dan Kelantan. Lautan Sunda ini kaya dengan minyak dan gas.

Kita selalu terbaca berita bagaimana tentera laut China Merah di usir oleh Filipina dan Indonesia kerana menceroboh dalam perairan mereka.

China Merah klim tanah wilayah  di Lautan Sunda ini sampai ke Sabah.

Was was dan syak wasangka Bani Melayu terhadap bendera  China Merah ini diperkukuhkan lagi dengan adanya  Bani China kaum pendatang yang telah menjadi warga negara di Tanah Melayu. Sentimen anti China  kaum pendatang di kalangan Bani Melayu ini masih kuat.

Persoalan nasional masih belum selesai. Negara bangsa belum wujud.

Pengalaman Perjuangan Selempang  Merah Kiyai Salleh masih menjadi cerita rakyat. Pemerintahan 14 Hari Bintang Tiga masih terus menjadi bahan sejarah.  Perjuangan Melayu pada Mei 13  di Kuala Lumpur masih segar dalam ingatan. 

Babak sejarah dan cerita-cerita rakyat ini  ditokok  tambah  dengan aji-no-moto menjadikan ianya lebih sedap untuk di dengar. Fakta salah benar tidak dijadikan kemudi dalam babak Melayu lawan China di Tanah Melayu ini.

Yang penting untuk Bani Melayu  ialah anggapan Bani China ini kaum pendatang. Amin.

Apa yang saya tulis ini saya buktikan dengan satu fakta sahaja. Pengumpulan segala surah  Bendera China Merah ini dihempapkan kepada   Parti Democratic Action Party (DAP ).Parti DAP ini  di tuduh sebagai parti Komunis.

Ini tidak benar. Ini tohmahan. DAP bukan Parti Komunis. Malah menuduh DAP sebagai parti komunis adalah satu penghinaan terhadap ideologi komunis.  DAP bukan parti komunis. Jangan hina Engles, Marx, Lenin dan Mao dengan menyamakan DAP dengan mereka.

Parti DAP  pecahan dari parti People’s Action Party dari Singapura adalah fakta. Sama seperti Amanah pecahan dari Parti PAS. 

Kemarahan Bani Melayu terhadap Lee Kuan Yew yang mengambil  Singapura dan menjadikan negeri majoriti China boleh difahami. Tetapi menuduh DAP parti komunis adalah  fitnah.

Semua ini adalah fakta-fakta yang masih  berlegar segar dalam pisik Bani Melayu. Justeru melihat saja bendera China Merah dengan serta merta DAP dituduh sebagai dalang. Ini tidak betul. Ini satu tohmahan.

Memasang bendera atau mengibarkan bendera bukan satu kesalahan.  

Lihat sahaja  bendera Palestin dikibarkan ketika ada tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Amerika.  Emak , kakak, abang dan adik memegang bendera Palestin besar dan kecil. 

Lihat saja  di Chow Kit, di Gombak , di Sentul ada sahaja warung dan rumah yang mengibarkan bendera Palestin. Malah di Blok B Le Chateau Lorong Syed Putra Kiri ada terkibar bendera Palestin. Saya sendiri pun mengibarkan bendera Palestin di balkoni.

Malah  minggu lalu saya balik kampung ke Jelebu. Saya nampak di Ulu Klawang, di Kampung Renal, di Kampung Batu Serambai ada terkibar bendera Palestin.

Mengibarkan bendera Palestin bukan jenayah. Ini tanda kita penyokong perjuangan adil rakyat Palestin. 

Kalau mengibar bendera Palestin bukan jenayah kenapa mengibar bendera China  Merah  membawa ke laporan polis ?

Jawabnya mudah. Selain dari apa yang saya tulis diatas kini telah ada perkembangan baru. Perkembangan inilah yang menimbulkan rasa resah dan gelisah Bani Melayu.

Bendera China Merah ini dengan jelas telah di kaitkan dengan DAP. Bani Melayu kini membaca bahawa DAP setelah menjadi kerajaan kini telah naik tocang. DAP dilihat dan di baca  sedang memperkudakan  Amanah, PKR dan United Malays National Organisation. Kuasa politik hari ini ditakrif berada di tangan DAP.

DAP dilihat telah berani kerana berkuasa. Justeru ada sosok-sosok China – muda dan tua -   yang telah berani mengibarkan bendera China Merah. Satu perkara yang mustahil satu ketika dulu.

Bani Melayu sedang melihat cacing naik ke mata. Justeru di Telok Intan  seorang pemimpin DAP dituduh sebagai dalang wal hal  si Polan ini berada di Kuala Lumpur.

Kibaran bendera China Merah ini dibaca oleh Bani Melayu  sebagai permulaan projek untuk China Merah menjajah dan menakluk Tanah Melayu. DAP ini dilihat sebagai ajen dan tali barut China Merah. 

Bani Melayu membaca DAP akan sedia bersekongkol dengan  China Merah. Ini membawa bahaya besar terhadap Tanah Melayu. Justeru laporan polis dibuat terhadap penganjur yang mengibarkan bendera China Merah.

Dalam sejarah Tanah Melayu – dari zaman  kerajaan Langkasuka , ke Sri Vijaya , ke kerajaan Melaka hingga ke zaman Malaysia  - pemimpin Tanah Melayu di pegang oleh Melayu. 

Satelah PRU15 politik Tanah Melayu berubah. Untuk pertama kalinya kepala pemimpin  kerajaan di Tanah Melayu  ini  bukan dari kelompok dan parti yang berteraskan Melayu.

Ini bukan menafikan Anwar Ibrahim sebagai Melayu. Apa yang terjadi sekarang  kepimpinan Melayu telah tergelincir. Melayu bukan lagi pemacu kuda tapi jadi kuda tunggangan. 

Yang menunggang Melayu ialah DAP.

Inilah yang menjadikan Bani Melayu resah dan gelisah. Manifestasi resah gelisah ini ialah kemarahan Bani Melayu terhadap bendera China Merah. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/725001



4 ulasan:

  1. Pelik melik apabila hari kemerdekaan hari penubuhan negara sendiri tak siapa rajin kibar bendera sendiri, negara lain juga dikibarkan atas nama solidariti? Betulkah atau salah? Restoran tepi jalan, tepi laut tepi longkang kibar bendera negara lain, untuk apa? Nak tunjuk solidariti atau wayang tinggi produksi? Bendera negara sendiri lusuh koyak kumat kah kah kah jadi fikir sedikit sudah kah kah kah apapun tauke buat benda negara asing pasti untung kerana semua bendera dari negara China Merah juga kah kah kah

    BalasPadam
  2. yang patutnya bendera melayu sang saka dan Palestine tolak blackrock sang sakau kahkahkah Sakai x pa abrogines okay

    BalasPadam
  3. Ini yang dipanggil hipokrit..kalau tak paham sila baca..

    BalasPadam
  4. parti DAP mungkin bukan kominis tapi bangsa yang menyokong DAP ramai yang seperti kominis.. kah kah kah

    BalasPadam