Ukraine lancar peluru berpandu UK ke Russia, sehari selepas guna ATACMS AS
KYIV: Ukraine lancar serangan peluru berpandu British Storm Shadow ke wilayah Russia pada Rabu, iaitu senjata Barat terkini dibenarkan untuk digunakan terhadap sasaran di Russia, sehari selepas ia melancarkan peluru berpandu ATACMS buatan Amerika Syarikat (AS).
Serangan itu dilaporkan oleh wartawan perang Russia di Telegram dan disahkan oleh seorang pegawai yang enggan dikenali. Jurucakap Staf Am Ukraine berkata beliau tiada maklumat mengenai serangan itu.
Moscow sebelum ini memberi amaran bahawa penggunaan senjata Barat untuk menyerang wilayah Russia yang jauh dari sempadan akan dianggap sebagai peningkatan besar dalam konflik.
Kyiv bagaimanapun menegaskan keperluan untuk mempertahankan diri dengan menyerang pangkalan pertahanan Russia menyokong pencerobohan Moscow, yang kini memasuki hari ke-1,000 minggu ini.
Wartawan perang Russia di Telegram memuat naik video yang didakwa menunjukkan bunyi peluru berpandu di wilayah Kursk, yang bersempadan dengan timur laut Ukraine.
Sekurang-kurangnya 14 letupan besar kedengaran, kebanyakannya didahului dengan bunyi wisel tajam seperti peluru berpandu yang sedang mendekati sasaran. Video yang dirakam di kawasan perumahan turut menunjukkan kepulan asap hitam dari jauh.
Saluran pro-Russia, Two Majors di Telegram melaporkan Ukraine melancarkan sehingga 12 Storm Shadow ke wilayah Kursk dan memuat naik gambar serpihan peluru berpandu dengan nama Storm Shadow yang jelas kelihatan.
Jurucakap Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, enggan mengulas.
Britain sebelum ini membenarkan Ukraine menggunakan Storm Shadow, yang mempunyai jarak lebih 250 kilometer (km) hanya di dalam wilayah Ukraine.
Kerajaan Kyiv mendesak rakan Barat untuk memberi kebenaran menggunakan senjata itu bagi menyerang sasaran jauh di dalam Russia, dan mendapat lampu hijau daripada Presiden AS, Joe Biden, untuk menggunakan ATACMS minggu ini, dua bulan sebelum tamat tempoh jawatannya.
Tatkala penggunaan peluru berpandu oleh Ukraine meningkatkan ketegangan, AS menutup kedutaannya di Kyiv pada Rabu sebagai langkah berjaga-jaga susulan ancaman serangan udara besar-besaran tetapi dijangka dibuka semula pada Khamis.
Pentagon pada hari yang sama mengumumkan bantuan ketenteraan AS$275 juta (RM1.3 bilion) kepada Ukraine, termasuk bekalan tambahan peluru untuk sistem roket HIMARS.
Pentadbiran Biden juga memutuskan untuk menghapuskan hutang AS$4.7 bilion (RM22 bilion) pinjaman AS kepada Ukraine sebagai usaha terakhir untuk menyokong Kyiv sebelum pentadbiran baharu Donal Trump mengambil alih selaku Presiden AS.
Penggunaan pertama peluru berpandu ATACMS AS pada Selasa, yang disasarkan ke gudang senjata Russia di wilayah Bryansk di sempadan utara Ukraine, menyebabkan Moscow memberikan reaksi tegas.
Antaranya termasuk mengubah doktrin nuklearnya dengan menurunkan ambang penggunaan senjata atom.
Washington bagaimanapun berkata ia tidak melihat keperluan untuk menyesuaikan doktrin nuklearnya sendiri dan menuduh tindakan Moscow sebagai retorik yang tidak bertanggungjawab.
Ketua perisikan asing Russia, Sergei Naryshkin, dalam wawancara yang diterbitkan pada Rabu, berkata Moscow akan bertindak balas terhadap negara NATO yang membantu melancarkan serangan peluru berpandu jarak jauh Ukraine ke wilayah Russia.
Perang kini berada di tahap genting, dengan hampir 20 peratus wilayah Ukraine dikuasai Russia, dengan ketidakpastian mengenai masa depan bantuan Barat di bawah pentadbiran Trump, yang calon pilihannya termasuk pengkritik tegar sokongan kepada Kyiv.
Pada Ahad, Russia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas rangkaian tenaga nasional Ukraine, menyebabkan tujuh maut dan membangkitkan semula kebimbangan mengenai ketahanan infrastruktur tenaga yang telah rosak. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan