'Diekori di mana-mana' – Keluarga ceritakan saat Yusoff Rawther dikepung polis, kemunculan beg berisi pistol
Keluarga Muhammed Yusoff Rawther hari ini mendedahkan butiran mengejutkan mengenai peristiwa penangkapannya pada September lalu atas tuduhan memiliki senjata api dan dadah, di samping menceritakan bagaimana pemuda itu pernah diekori selama berbulan-bulan oleh individu tidak dikenali.
Pada sidang media mengenai kes membabitkan lelaki berusia 31 tahun itu, ibu saudaranya Fathima Idris berkata pada pagi 6 September lalu, Yusoff sedang berjalan menuju keretanya yang terletak di luar sebuah kondominium apabila diserbu sepasukan pegawai polis yang tiba dengan kereta dan motosikal.
Menurutnya, salah seorang daripada anggota polis memberitahu Yusoff mereka menerima maklumat terdapat senjata dalam keretanya.
"Polis memintanya membuka pintu kereta tetapi ia tidak dapat dibuka menggunakan remote, kemudian salah seorang daripada mereka mengarahkan Yusoff membuka pintu kereta secara manual tetapi masih tidak dapat dibuka,” kata Fathima yang beberapa kali menahan sebak pada sidang itu yang turut dihadiri adik Yusoff, Ebrahim Rawther, seorang lagi ibu saudaranya Khatija Idris dan peguam Rafique Rashid.
Fathima berkata, pegawai polis kemudian membuka bahagian penumpang kereta Yusoff sebelum memintanya membuka pintu pemandu.
Yusoff kemudiannya dipegang polis sementara anggota lain menggeledah kereta itu.
Sejurus selepas itu, seorang pegawai polis keluar daripada kereta membawa sebuah beg dan bertanya kepada Yusoff mengenai kandungannya. Selepas Yusoff menjawab dia tidak tahu, polis mengeluarkan sepucuk pistol dari beg tersebut, kata Fathima.
"Mereka kemudian menggari Yusoff, menyuruhnya duduk di belakang keretanya bersama-sama polis dan seorang lagi yang memandu kereta itu ke Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Polis Kuala Lumpur, sebelum menggeledah kereta itu di situ."
Fathima berkata Yusoff tidak dapat melihat apa-apa yang berlaku di dalam kereta sebelum dadah muncul di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau bangunan IPK.
Beliau berkata polis berulang kali cuba memaksa Yusoff menandatangani "borang bongkar" yang memperincikan barang-barang yang dirampas dalam keretanya, tetapi dia enggan.
Pada 9 Oktober lalu, Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang Allahyarham SM Mohamed Idris, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata tiruan di bawah Akta Senjata Api, yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman penjara setahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya atas dakwaan memiliki 305g ganja, kesalahan yang tidak boleh diikat jamin dan membawa hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan.
Yusoff, yang pernah bertugas sebagai pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018 sebelum memfailkan saman serangan seksual terhadap pemimpin PKR itu, percaya dadah dan senjata yang ditemui diletakkan oleh musuh dan "orang berkuasa" yang mahu memerangkapnya.
Dia turut membuat dua laporan polis dan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat. Bagaimanapun, polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Ditanya siapa individu yang dinamakan dalam laporan polis itu, peguam Rafique Rashid berkata terpulang kepada polis untuk mendedahkan identiti mereka.
Menurutnya lagi, polis hanya sekali mengambil keterangan Yusoff susulan laporan itu.
Sementara itu, Fathima berkata masih tiada kemas kini mengenai status laporan polis itu.
'Diekori individu tak dikenali'
Pada sidang media hari ini, Ebrahim Rawther berkata selama dua tahun, abangnya sentiasa diekori sebuah kereta.
"Dia selalu bersenam di sebuah gimnasium di Bukit Damansara. Pada waktu pagi dia berbasikal dari apartmennya ke gim, dan kereta yang sama dilihat di luar rumahnya mengikutnya sehingga ke gim. Selesai di gim dan ketika berbasikal pulang ke rumahnya, kereta yang sama akan turut mengikutnya pulang."
Ebrahim berkata, dia sendiri menjadi saksi perkara itu kerana sering menemani Yusoff ke gim.
Menurutnya, dua minggu sebelum penahanannya, Yusoff didatangi seorang wanita ketika berada di sebuah kedai, yang memberitahu seseorang cuba mengambil gambarnya.
"Dia bergegas keluar melihat siapa orang itu, lalu mengambil gambar orang yang mengekorinya," tambahnya.
Fathima berkata sejak penangkapan anak saudaranya, mereka sekeluarga sentiasa dalam ketakutan dan bimbang keselamatan Yusoff dan diri mereka sendiri.
"Orang menyangka bahawa dengan pemansuhan ISA, rakyat akan dilindungi dan penangkapan sewenang-wenangnya tidak lagi berlaku, namun pada hakikatnya mendapati amalan jahat menggunakan undang-undang sedia ada untuk membawa tuduhan palsu masih diteruskan."
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap sikap membisu sesetengah kumpulan hak asasi manusia terhadap nasib Yusoff.
"Yusoff adalah mangsa perancangan jahat dan dipenjarakan tanpa rasa perikemanusiaan, kita mahu kumpulan masyarakat sivil mengambil berat tentang apa yang dilalui oleh Yusoff dan mereka yang senasib dengan Yusoff, dan menyeru agar Yusoff dibebaskan. Ini kezaliman yang dahsyat yang menimpa Yusoff.
"Sesiapa yang mendalangi tindakan memerangkap ini sudah tentu memiliki segala kuasa; namun kami akan melawan kezaliman ini walau dengan hanya membaling sebatang kayu Sinwar ke arah mereka," katanya merujuk kepada Yahya Sinwar, pemimpin Hamas yang dirakam membaling sebatang kayu ke arah dron Israel beberapa minit sebelum dia dibunuh.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman mendakwa dia diserang Anwar secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan presiden PKR itu kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.
Yusoff juga memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang didakwa menyerangnya secara fizikal.
Dia juga menyaman setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah susulan kenyataan mengenai saman terhadap Farhash. Tunku Nashrul diperintah membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.
parti yang bernama keadilan ialah PKR jadi k'jaan eloklah ramai2 pi nak jumpa president parti PKR mana tau president parti PKR boleh jumpa direct PM Madani kot2 boleh bebas DNAA syoknya!! tak lawak kenyataan!!!
BalasPadam