Dewan Senat Amerika melakukan satu yang ganjil. Bersidang pada hari Sabtu 20 April 2024. Khusus untuk meluluskan pakej bantuan 95 bilion dolar untuk Taiwan, Israel dan Ukraine.
Dana terbanyak – 61 bilion dolar untuk Ukraine menjadi isu yang hangat dibincangkan. Semenjak awal tahun lagi dana untuk Ukraine ini telah menjadi isu tertangguh. Cadangan awal telah ditolak oleh ahli Dewan dari parti Republikan.
Ahli Republikan yang bermajoriti tipis dalam Dewan Senat hanya akan menyokong kelulusan dana ini jika ada disertakan dana untuk menjaga sempadan Mexico di selatan Amerika. Sempadan ini tanpa kawalan ketat. Kini amat mudah dibolosi oleh ribuan pendatang haram dari seluruh dunia.
Malah Parti Republikan menuduh Presiden Biden sengaja membiarkan sempadan ini longgar dengan harapan pendatang haram ini akan di rekrut untuk menjadi pengundi pada bulan November ini.
Ding dong tolak sorong pakej bantun sebanyak 61bilion dolar untuk Ukraine tertangguh beberapa kali.
Berkali – kali Presiden Ukraine merayu agar bantuan di luluskan. Malah mengikut Zelensky jika Ukraine kalah maka seluruh Eropah akan di dominasi oleh Rusia.
Kenyataan yang berbau ‘pau ancaman ‘ ini diajukan kepada Amerika dan ahli NATO.
Macron Presiden Perancis telah menerima dan menelan kata-kata Zelensky ini. Pada 26 Februari 2024 Macron telah membuat kenyataan yang menggemparkan Eropah. Perancis bersedia menghantar satu kontinjen soldadu Perancis ke Ukraine.
Kenyataan ini memeranjatkan NATO dan Amerika. Jika soldadu Perancis masuk ke Ukraine bermakna perang berubah menjadi NATO memerangi Rusia. Ini kerana Perancis anggota NATO.
Amerika secara terbuka dari awal lagi berkata tidak mahu berperang dengan Rusia. Taktik Amerika hanya mahu menggunakan Ukraine untuk melumpuhkan Rusia dengan harapan Putin akan dijatuhkan oleh rakyat Rusia.
Harapan Amerika ini terbukti meleset. Putin pada 18 Mac 2024 baru saja di pilih kali ke enam untuk memimpin Rusia. Putin berkuasa semenjak 1999 masih popular dengan sokongan 87% jumlah pengundi.
Sabtu lalu dana 61 bilion dolar lulus. Parti Republikan mengubah dasar.
Ini berita baik untuk Zelensky dan Ukraine. Dana dari Amerika ini di tambah pula oleh Perdana Menteri Sunak. United Kingdom meluluskan pakej bantuan senjata 500 juta pound untuk Ukraine.
Persoalan timbul apakah pakej bantuan ini akan membantu mengubah keadaan perang. Adakah Ukraine akan berjaya mengalahkan Rusia dengan pakej bantuan baru ini.
Kolonel Douglas Macgregor bekas penasihat Pertahanan Presiden Trump dalam temu bual di portal Judge Freedom telah berkata : ‘ ...Ukraine akan kalah... malah Ukraine telah kalah... mustahil Ukraine dapat mengalahkan Rusia... dana 61 bilion dolar tidak mengubah apa -apa...’
Kenyataan Kolonel Macgregor ini mudah difahami. Sebelum perang penduduk Ukraine berjumlah 45 juta. Hari ini tinggal 36.7 juta. Seramai 6 juta warga Ukraine hilang tempat tinggal. Seramai 8 juta menjadi pelarian perang di Eropah.
Malah jika senjata baru dari dana 61 bilion dolar ini sampai ianya tidak akan mengubah keadaan.
Senjata sampai tapi tidak ada soldadu yang akan menggunakan. Senapang dan peluru ada tapi tak ada askar untuk menembak.
Kolonel Macgregor menunjukkan 400,000 soldadu Ukraine telah gugur. Seramai hampir 600 ribu cedera. Cedera dan tidak mungkin kembali menjadi soldadu.
Data ini dibuktikan apabila Menteri Luar Ukraine telah membuat pengumuman. Kini semua warga Ukraine di luar negara yang hendak memperbaharui pasport wajib pulang ke Ukraine dulu.
Anak muda belasan tahun dan jantan berumur semuanya di cekau oleh polis untuk dipaksa menjadi soldadu. Malah anak gadis dan perempuan berumur juga kini di rekrut untuk masuk berperang.
Hakikat yang hakiki Ukraine telah kalah. Rusia telah menang. Perang yang telah melintasi dua tahun ini akan berterusan. Rusia hanya menunggu masa bilamana Ukraine akan angkat bendera putih.
Bila saja Amerika meluluskan dan 61 bilion dolar Sergei Lavrov Menteri Luar Rusia telah memberi amaran. Dia berkata negara Eropah berniat terus untuk membantai Rusia. Ini akan membawa bencana besar.
Kata-kata ini dipasak oleh niat Presiden Macron untuk menghantar 1000 soldadu ke Odessa. Apa peranan soldadu Perancis ini masih belum jelas. Bila akan sampai belum ditentukan.
Malah dari laporan intel hari ini soldadu daru Poland - anggota NATO – telah ada bersama di kancah perang secara gelap.
Mengikut portal Politico.com hari ini soldadu Amerika juga berada di pentas perang. Mereka memberi nasihat, membantu logistik, memberi laporan intel dan memberi tunjuk ajar cara menggunakan senjata buatan Amerika.
Jika 1000 soldadu dari Perancis sampai ianya tidak akan mengubah pentas perang Ukraine.
Mengikut pandangan Scott Ritter bekas pegawai perisikan Kor Marin Amerika Syarikat: ‘.... perang ini akan berakhir bila hanya tinggal seorang soldadu Ukraine ....’
Presiden Putin pada 8 Julai 2022 juga pernah berkata ....’ Russia ready to fight until the 'last Ukrainian is left standing,'. Kata -kata ini di kutip dari laman portal Bisinessinsider.com.
Pakej baru ini ada menyenaraikan jenis senjata yang akan dibekalkan kepada Ukraine. Kali ini ada sejata peluru berpandu yang boleh menembus 190 batu.
Ini senjata jenis jarak jauh yang baru. Senjata ini belum pernah sampai ke Ukraine.
Dasar Amerika membantu Ukraine ialah untuk pertahanan. Ertinya senjata digunakan untuk bertahan melawan Rusia di Ukraine. Justeru tidak ada peluru berpandu jarak jauh yang di bekal. Tapi kali ini ada senjata jarak jauh.
Apakah kini Amerika mahu Ukraine menyerang ke dalam Rusia ?
Apakah kedatangan askar Perancis tanda permulaan ?
Jika diteliti kenyataan Presiden Macron ini jelas ianya hanya melibatkan soldadu dari Eropah. Bukan dari NATO. Ini taktik untuk memperlihatkan bahawa bukan NATO memerangi Rusia tapi negara Eropah mempertahankan diri.
Malah kenyataan Macron ini telah disambut dengan sokongan dari Finland. Olaf Scholz dari Canselor German membuat kenyataan bahawa German tidak akan menghantar sejata jarak jauh.
Majalah Foreign Affairs – yang berkait rapat dengan Pentagon – pada 22 April 2024 telah mengeluarkan satu tulisan. Bertajuk : Tentera Eropah wajib bersedia untuk Ukraine – Europe - not NATO should send troops to Ukraine.
Majalah yang mencadangkan dasar luar Amerika ini mahu Eropah bersedia dan jangan bergantung pada Amerika. Ini kerana Amerika juga ada percaturan politik domestik.
Saranan dan cadangan dari Foreign Affairs ini amat jelas. Eropah wajib memerangi Rusia dan membantu Ukraine. Rusia tidak akan dibenarkan mengubah peta Ukraine dan Eropah.
Majalah suara Pentagon ini sedang menunjukkan dasar baru Amerika terhadap Ukraine. Amat jelas apa yang ditulis dalam majalah ini menunjukkan perang Ukraine ini belum nampak penghujung.
Seyogia diingatkan bahawa di belakang semua ini adalah industri senjata – Military Industrial Complex.
Dana 61 bilion dolar itu bukan semuanya akan pergi ke Ukraine. Dana ini akan menetap di Amerika. Dana ini akan disalur ke kilang-kilang membuat senjata.
Wajib diakui perang adalah satu industri. Malah untuk Amerika industri utama ialah pengeluaran senjata. Tanpa perang ekonomi Amerika akan terhenti. Ekonomi Amerika bergantung dengan industri perang.
Syarikat senjata seperti Lockheed Martin, RTX Cooperation, Northrop Grumman, Boeing dan General Dynamic adalah syarikat gergasi pembuat senjata.
Syarikat inilah yang menaja dan memberi dana kepada ahli Dewan Senat atau Dewan Kongres ketika berkempen mencari undi. Politik elektoral di Amerika memerlukan dana yang lumayan.
Justeru syarikat senjata datang memberi dana. Ini sama seperti Towkay Judi terlibat dalam menaja Parti Politik di Malaysia.
Dana kempen adalah pelaburan. Sudah menang ahli Dewan Senat akan mengundi untuk meluluskan bajet pertahanan. Inilah yang berlaku Sabtu lalu bilamana 95 bilion dolar pakej bantuan senjata di luluskan untuk Israel, Taiwan dan Ukraine.
Perang Ukraine dan Perang Gaza akan diteruskan. Masih tidak kelihatan arus damai akan sampai. Ekonomi mengemudi politik. Untuk ekonomi berjalan perang wajib diteruskan.
Bulan November 2024 pemilihan Presiden di Amerika. Trump akan melawan Biden. Kedua-dua bakal calon ini tidak akan berani mengeluarkan dasar untuk memberhentikan perang.
Trump yang awalnya heboh dengan dana mengawal sempadan. Kini senyap tidak bersuara apabila Parti Demokrat meluluskan pakej bantuan untuk Ukraine tanpa dana untuk sempadan.
Malah Trump pemimpin Parti Republikan yang paling berpengaruh tidak mengarahkan ahli partinya untuk menolak pakej dana tersebut.
Pelobi industri senjata yang bermain di belakang tabir telah berjaya memasukan kedua-dua bakal calon Presiden Amerika ke dalam poket mereka.
Perang akan berterusan. Apa yang amat menakutkan kita semua hari ini apakah senjata nuklear akan digunakan. Amerika, Perancis , United Kingdom Israel dan Rusia semuanya memiliki senjata nuklear.
Mangkinkah kesilapan boleh berlaku. Punat senjata nuklear tertekan secara tidak sengaja? Atau para Presiden dan Kepala Negara tersilap beri arahan? (TT)