Jumaat, 31 Januari 2025

3R MENUJU KE AKTA ISA


3R MENUJU

KE AKTA ISA


Telinga kita jadi bingar bila  mendengar perkataan 3R. Mata kita terbeliak bila membaca perkataan 3R. Kita merasa mual dan hendak muntah bila ada saja politikus  dan apparatchik Madani bersuara tentang 3R ini.

Sebutan 3R ini  dalam bahasa Inggeris – Royalty, Religion  dan Race – raja-agama-bangsa. Sepatutnya menjadi RAB dalam bahasa Melayu. Tetapi Bahasa Melayu di ketepikan. 

Ini taktik  sama seperti United Malays National Organisation menggunakan perkataan UMNO.  Parti boneka Inggeris ini menggunakan nama dalam Bahasa Inggeris tidak nama dalam Bahasa Melayu. Kunun ini hebat boleh klim lulusan Oxfart atau Cumbris.

Sebenarnya ada projek yang lebih besar di belakang heboh-heboh 3R ini. Ada rancangan licik dalam penggunaan perkataan yang bukan berasal usul dari bahasa Melayu ini.

Kita dilarang bercakap hal 3R. Selalu kita dengar Pak Menteri dan macai Madani bersuara melarang kita menimbulkan 3R. Polis juga berkali-kali  bersuara melarang 3R. 

Kita juga membaca para penyokong Anwar Blackrock telah membuat laporan polis atas tuduhan ke atas  Si Polan dan Si Polan yang terlibat dalam 3R. Penyokong Anwar Blackrock mendesak sesiapa saja yang terlibat dalam 3R wajib di tangkap, di dakwa dan di bawa ke mahkamah. 

Apa sebenarnya ini?

Jawabnya mudah saja. Perkataan 3R digunakan dan bukan perkataan Raja  Agama atau Bangsa untuk tujuan jahat.  Mak Cik dan Pak Cik Felda tidak faham sangat bahasa Inggeris. Lebai Sudin dan Kak Kiah  pun tidak juga faham  tentang larangan 3R.

Kepala bana apa 3R ini? 

Bayangkan jika perkataan Raja Agama dan Bangsa  dilarang penggunaan  pasti  Bani Melayu akan terperanjat besar. Mak Cik Felda akan bertanya : Apa dah jadi dengan Melayu ? 

Ustad YouTube dan para pendakwah akan terperanjat. Jika agama dilarang disuarakan maka apa tugas alim ulama dan pendakwah. Apa yang hendak para Ustad sampaikan kepada ummah dalam YouTube atau di surau. 

Penyokong  raja juga akan marah. Apakah Melayu sudah tidak beraja lagi. Jeng jeng jeng.

Tapi dalam tulisan ini ada satu lagi perkara yang  terpendam lagi tersorok dan amat penting yang hendak saya sampaikan.  Perkara ini berkait rapat dengan 3R.

Ada projek  racun sembilu yang sedang disediakan. 3R ini hanya pembuka selera.

Pada hemat  saya perkara jahat ini dengan licik sedang di rancang. Saya mengeluarkan pandangan ini hasil dari  pengamatan  dan pembacaan  saya. Saya  merasa yakin ada sesuatu sedang di rancang.

Saya membuat  rumusan  sedemikian kerana  fakta ilmiah  berasaskan hukum hakam. Hakikatnya 3R ini tidak wujud. Larang 3R ini larangan dongeng. Tidak ada akta dan tidak ada undang-undang yang melarang warga untuk bercakap tentang agama, raja atau bangsa.

Konsep 3R ini wujud apabila Anwar Blackrock cuba mendirikan kerajaan. Awalnya dia  gagal kerana tidak cukup sokongan YB. Akhirnya Anwar Blackrock berjaya menubuhkan kerajaan ini  melalui  titah Yang DiPertuan Agong. Justeru sesudah PRU15 – dari fakta sejarah – kerajaan ini ialah  Kerajaan  Titah  bukan Kerajaan Rakyat dipilih melalui undi.

Kemudian Kerajaan Titah ini mengklim sebagai Kerajaan Perpaduan. Di heboh dan di canang  seantero dunia bahawa kerajaan Anwar Blackrock ini sebagai Kerajaan Perpaduan.

Hakikatnya kerajaan Anwar Blackrock ini  goyah. Justeru bila timbul saja kritikan dari pihak pembangkang atau sesiapa sahaja  maka   nama  Raja , nama Sultan dan nama Agong telah digunakan untuk menupang kerajaan yang goyah ini.

Maka dari sinilah muncul 3R.  Inilah latar kemunculan 3R. Dari fakta inilah akan muncul satu lagi projek baru yang lebih jahat dan ganas  dari 3R. Apa projek ini ?

Untuk memahami apa yang sedang di rancang oleh Anwar Blackrock saya membawa pembaca kembali ke era  zaman kolonial. Di zaman sebelum Inggeris meninggalkan kuasa kepada United Malays National Organisation. Ini sebagai latar belakang sejarah untuk kita sesama memahami apa yang berlaku sekarang.

Adalah bohong lagi temberang bila Tunku Abdul Rahman berkata : Kemerdekaan kita capai tanpa tumpah darah. Ini ucapan pelesit dari anak didik Inggeris.

Jangan lupa siapa Pak Sako, siapa Rashid Maidin, siapa Shamsiah Fakeh, siapa Abdullah Sidi, siapa Chin Peng dan  siapa Mokhtaruddin Lasso. 

Apa peranan Burhanuddin Hilmi dan apa peranan Sheikh Abu Bakar al-Bakir. Jangan lupa PKMM -  Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Jangan lupa AWAS – Angkatan Wanita Sedar. Jangan lupa API – Angkatan Pemuda Insaf. Jangan lupa  PKM - Parti Komunis Malaya. 

Jangan lupa peranan Parti Komunis Malaya  memimpin gerakan gerila  mengangkat senjata melawan penjajahan Jepun. Jangan lupakan peranan perjuangan bersenjata  membebaskan Tanah Melayu dari Inggeris yang di pimpin  oleh PKM bersama para nasionalis kiri Melayu.

Tanpa  perjuangan bersenjata para nasionalis melawan Inggeris - Tunku dan kuncu-kuncu dari United Malays National Organisation tidak akan di pilih oleh Inggeris untuk dijadikan boneka.

Semua ini fakta sejarah bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

Saya menimbulkan perkara- perkara di atas  untuk memberi latar belakang tentang projek jahat yang sedang di rancang sekarang. Kita wajib memahami yang lalu untuk sedar yang sekarang dan bersedia dengan yang akan datang.

Satelah Inggeris berundur pada tahun 1957    muncul Parti Buruh dan Parti Rakyat. Dua parti  nasionalis  yang mengambil garis kiri ini telah bergabung  untuk menubuhkan   Sosialis Front atau Barisan Sosialis.

Ketika itu – di zaman ini – garis nasionalis progresif  dan garis kiri kuat dan mengampuh. Setiap kali diadakan pemilihan Majlis Tempatan  sosok-sosok dari Parti Buruh dan Parti Rakyat akan menang. Pekan-pekan besar seperti Melaka , Johor Baru, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur pasti akan dimenangi oleh parti-parti ini.

Kekuatan ombak progresif kiri ini menjadikan  pentadbiran United Malays National Organisation dan Perikatan goyah.   Benggolan boneka Inggeris tidak selesa menjalan tugas untuk Tuan Mat Salleh mereka di  No 10 Downing Street.

Justeru 3 tahun sesudah Inggeris mengundur kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku  masih lagi  goyah. Hakikatnya kerajaan boneka Inggeris ini wajib di bantu.  Ini kerana Tanah Melayu adalah sumber ekonomi terpenting untuk Britain. Sesudah Perang Dunia Ke Dua  60% pendapatan ekonomi British di bantu oleh getah dan bijih timah dari Tanah Melayu.

Pada tahun 1960  Tuan Mat Salleh  dari  White Hall  dan dari Downing Street telah menghantar ajen mereka  Reginald Hugh Hickling  untuk membuat undang-undang yang kita kenali sebagai ISA – Internal Security Act atau Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Sejarah Akta ISA ini kita semua ketahui. Justeru kenapa saya timbulkan tentang akta yang telah di hapuskan oleh  Najib Razak pada tahun 2011.

Jawabnya mudah. Saya timbulkan perkara Akta ISA ini kerana sejarah sedang berulang. Suasana politik tahun 50’an dan 60’an sedang berada di hadapan kita sekali lagi.

Pada tahun 1960 kerajaan Perikatan Tunku goyah di hambat oleh ombak progresif kiri Parti Rakyat dan Parti Buruh  yang dibantu juga oleh  ombak  nasionalis Islam  dari PMIP – Pan Muslim Islamic Parti. 

Pada tahun 2023 hingga  ke hari ini  kerajaan Madani  terus goyah. Bani Melayu dan umat Islam menolak Anwar Blackrock. Dalam tahun 60’an bandar seperti  Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Seremban  dan Johor Baru dimenangi oleh  Sosialis Front. Pada tahun 2022 kesedaran Melayu dan kesedaran Islam di bawah   Parti Pas telah mengambil negeri Perlis,  Kedah,  Terengganu dan Kelantan.

Apabila kerajaan Perikatan goyah   Akta ISA  telah digunakan untuk melawan musuh politik Tunku.  Lihat bagaimana pada tahun 1964 Akta ISA membantu pengharaman   pemilihan Majlis Tempatan.

Menghapuskan pemilihan Kerajaan Tempatan ini adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan  Tunku dan kuncu-kuncunya.

Persamaan suasana politik dulu dan sekarang amat jelas. Kerajaan Tunku goyah. Rakyat di takut-takutkan dengan pengaruh  komunis dan pengaruh sosialis.

Kerajaan Madani goyah terumbang ambing. Anwar Blackrock sedar bahawa  ketika ini kesedaran Melayu dan kesedaran Islam sedang mengampuh. Justeru rakyat  ditakut-takutkan dengan 3R. 

Walhal 3R bukan akta, bukan undang-undang. Hanya cara untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama mereka yang tidak menyokong Anwar Blackrock dan kerajaan Madani.

Jika suasana politik hari ini  berterusan maka kerajaan Madani tidak boleh bertahan. Kerajaan Awar BlackRock ini akan runtuh. Serangan dari luar makin  ampuh. Dalam masa yang sama serangan dan kecamukan  sesama sendiri dalam parti gabungan  kerajaan Madani makin membesar. 

Serang menyerang tuduh menuduh antara DAP dengan UMNO dan antara PKR dengan UMNO dan juga dengan AMANAH sedang dilihat oleh orang ramai.

Kerajaan yang klim sebagai kerajaan Perpaduan dilihat orang ramai sebagai kerajaan tidak bersatu padu.

Dalam masa yang sama di dalam PKR sendiri sedang berlaku pergeseran sengit antara Anwar Blackrock dengan Rafizi Formula. Orang ramai juga membaca dan bertanya kenapa Saifuddin Nasution  di malukan dalam kes jam tangan, kes anak  kahwin di Golok dan  kes Demo Lawan Rasuah.

Suasana goyah dan kacau ini sama seperti  kacau dan goyah dalam kerajaan Perikatan  Tunku. Untuk  selamat ISA di datangkan. Dalam nada yang sama pada hemat saya untuk terus menjadi Perdana Menteri dan terus berkuasa Anwar Blackrock akan mendatangkan sekali lagi ISA. Kali ini ISA 2.0.

Pada hemat saya Anwar BlackRock tidak ada jalan lain untuk membocorkan ,  menangkis  dan memusnahkan ombak ampuh kesedaran Melayu dan kesedaran Islam. Sama seperti Tunku yang tidak ada jalan lain untuk memadam gerakan sosialis dan nasionalis Islam kiri. Hanya ISA 2.0 akan dapat menyelamatkan Anwar Blackrock.

Justeru Reginald  Hugh Hickling  baru  yang tidak berkulit putih akan diupah untuk  membuat Akta Keselamatan Baru. 

Mustahil? Semua ini adalah fitnah Hishamuddin Rais. Mustahil Akta ISA ini akan dimunculkan kembali.

Sabar dulu Bro !

Ketika tulisan ini digarap proses mengolah persetujuan sedang  berlaku. Tidak percaya sila tunggu sambungan minggu hadapan. Amin. (TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
BEBAS NEWS
https://bebasnews.my/2025/02/01/antara-3r-dan-kemunculan-semula-akta-isa-suatu-pendedahan/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan