Zahid arah selesai segera kes tembak PATI di Tanjung Rhu, elak jejas hubungan
KUALA LUMPUR: Ahmad Zahid Hamidi mahu penyelesaian segera dilaksanakan dalam kes tembak pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting yang membabitkan anggota Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak mahu kejadian awal pagi 24 Januari lalu yang mengorbankan nyawa seorang PATI warga Indonesia dan mencederakan empat yang lain menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
"Tindakan perlu dilakukan sama ada ke atas ketidaksengajaan atau atas kesengajaan yang berlaku.
"Kita mengharapkan ia tidak menjejaskan hubungan diplomatik membabitkan kerajaan dengan kerajaan (G2G), perniagaan ke perniagaan (B2B) dan rakyat dengan rakyat (P2P)," katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar menjadi tetamu jemputan untuk program 'Podcast Utama Buletin TV3' yang dihoskan oleh Halim Mohamed dan Azaria Tagaya.
Program itu akan disiarkan Ahad ini jam 10 pagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya menganggap kejadian berkenaan sesuatu yang amat mendukacitakan, apatah lagi ia berlaku selepas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, baharu sahaja mengadakan kunjungan ke negara ini.
Atas dasar itu, katanya beliau mahu semua pihak bersikap adil dalam menilai kejadian terbabit termasuk terhadap individu berkaitan.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, Maritim Malaysia dilapor melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki PATI warga Indonesia selepas mereka dikatakan menyerang pegawai agensi penguatkuasaan itu yang sedang melakukan rondaan di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting.
Kejadian itu menyebabkan seorang PATI maut, manakala empat yang lain cedera.
Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam satu kenyataan pada 25 Januari lalu, berkata kes tembakan itu berlaku ketika lima warga negara Indonesia itu cuba meninggalkan Malaysia secara haram.
Susulan kes berkenaan, sekumpulan individu mewakili hak asasi manusia dan kesatuan sekerja berkumpul dan bertindak agresif melemparkan telur di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, semalam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan