Rabu, 26 Februari 2025

ANWAR BLACKROCK PERLU JAWAB - JANGAN TIPU MELAYU

 


Misteri MAHB


 tetap


 berterusan

HARI ini, 25 Februari 2025, sahlah penyenaraian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Bursa Malaysia dinyahkan.

2. Jual beli sahamnya telah pun digantung mulai 20 Februari lalu sebagai persediaan untuk nyah senarai itu.

3. Perkembangan ini adalah ekoran pembelian balik semua sahamnya, melalui tawaran am wajib (MGO), oleh konsortium Global Development Alliance Sdn Bhd (GDA).

4. GDA adalah perkongsian antara Khazanah Nasional Berhad dengan pegangan 40 peratus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (30 peratus), BlackRock Incorporated, melalui Global Infrastructure Alliance (25 peratus) dan Abu Dhabi Investment Authority (lima peratus).

5. Dengan itu berakhirlah sejarah pengapungan dan penyenaraian MAHB di Bursa Malaysia selama 25 tahun bermula tahun 1999.

6. Namun jawapan kepada soalan mutakhir mengapa pemilikan MAHB perlu disusun semula dan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia kekal kabur.

7. Dalam bahas media dan soal jawab Parlimen, timbul gambaran bahawa ada sesuatu yang hendak disembunyikan iaitu mengapa penyusunan semula itu dilakukan dengan menjadikan BlackRock sebagai “substantial shareholder” (pemegang saham besar).

8. Isu penjualan oleh KWSP pada harga rendah pada tahun 2023/24 dan membeli balik dengan lebih banyak pada harga yang lebih tinggi adalah isu sampingan.

9. Dalam hal itu pun, jawapan yang diberikan oleh KWSP dan kerajaan, terutamanya oleh Menteri Kewangan ll, Amir Hamzah Azizan, adalah berbentuk teknikal.

10. Kewibawaan jawapan Amir Hamzah boleh dipersoalkan kerana beliau adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP ketika penjualan itu berlaku.

11. Saya syak, urus niaga itu ada kena mengena dengan penyertaan BlackRock. Boleh jadi bagi membuktikan yang kerajaan Malaysia Madani adalah akrab dengan pelabur asing walaupun berbukti mereka ada kaitan rapat dengan Israel. Bangsa-Bangsa Bersatu menyenaraikan BlackRock sebagai antara pembekal kepada kegiatan perang Israel.

12. Selain itu adalah bagi mewujudkan peluang baru membuat keuntungan atas angin melalui tawaran awam permulaan (IPO) dan menyenaraikan semula saham-saham MAHB beberapa tahun selepas ini.

13. Kemungkinan ini sudah pun terbayang apabila Amir Hamzah berkata, harga MGO RM11 itu adalah penting untuk tujuan penyenaraian semula pada masa akan datang.

14. Tidak memeranjatkan juga kalau berlaku “asset unbundling” ala Idris Jala ke atas harta MAHB di mana aset yang produktif disimpan dan yang rugi dilambakkan ke atas kerajaan. Ambil maklum yang bukan semua lapangan terbang di bawah pengurusan MAHB untung. Malah banyak yang rugi.

15. Dalam kita mengucapkan selamat tinggal kepada MAHB sebagai syarikat tersenarai, izinkan saya membuat beberapa catatan mengenai 25 tahun sejarahnya sebagai “listed company” yang diuruskan umumnya oleh eksekutif-eksekutif Bumiputera.

16. Pertama, dividen yang dibayar sejak disenaraikan pada tahun 1999 hingga tahun kewangan 2023 adalah RM2.8 bilion.

17. Kedua, pendapatan yang tersimpan (retained earnings) sehingga pada 31 Disember 2023 adalah RM1.67 bilion. Dalam bahasa yang mudah, MAHB ada banyak duit tunai.

18. Dan ketiga, daripada harga permulaan RM2.50 pada bulan November 1999, harga saham MAHB naik hingga RM10.96 pada 4 Februari lepas sebelum digantung mulai 20 Februari dengan harga RM10.90. Daripada harga permulaan RM2.50 kepada harga MGO RM11 itu, MAHB telah mencatatkan pertumbuhan purata harga terkumpul (CAGR) lebih enam peratus.

19. Natijahnya, kerajaan telah merestui penjualan syarikat yang untung dan BlackRock serta ADIA membeli syarikat tempatan yang strategik serta berpotensi besar. AmBank dan Hong Leong Bank telah mendapat habuan sebagai penasihat jual beli. Jika disenaraikan semula, bolehlah beri peruntukan saham IPO kepada sesiapa yang kerajaan kehendaki. Demikianlah putaran perniagaan korporat.

Sekian. Terima kasih.

A.KADIR JASIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan