Bekas wartawan Bernama dipenjara 6 bulan muat naik kandungan berkaitan adendum Najib
CYBERJAYA — Bekas wartawan agensi berita nasional, Bernama, Johari Ismail dipenjara enam (6) bulan selepas gagal membayar hukuman denda sebanyak RM30,000 yang dikenakan terhadapnya kerana memuat naik kandungan bersifat palsu berkenaan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268.
Menurut kenyataan MCMC Rabu 26 Feb, kesalahan tersebut dilakukan oleh Johari pada 8 Februari 2025 menerusi laman aplikasi Facebook miliknya.
Hakim Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman tersebut hari ini di bawah pertuduhan seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh, Johari Ismail, 67, ditahan lewat malam semalam sejurus selepas waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah akibat kegagalannya hadir ke prosiding pertuduhan.
Dia akan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman bermula hari ini.
Johari didakwa memuat naik hantaran yang mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan dokumen tambahan melibatkan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan