Jumaat, 14 Februari 2025

PEMBELOTAN DAN PENJUALAN GAZA


PEMBELOTAN &

PENJUALAN GAZA


Ketika tulisan ini digarap perbincangan antara Zionis Israel dengan Hamas sedang berjalan di Qatar. Agenda utama ialah untuk meneruskan pertukaran tawanan dan  menyambung gencatan senjata. 

Pada 7 Oktober 2023, Hamas dan kumpulan militan Palestin lain telah menculik 251 orang dari Israel dan di bawa masuk ke Semenanjung Gaza, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Dari data bulan April 20
22, terdapat 4,450 orang tahanan keselamatan Palestin di penjara Israel – termasuk 160 kanak-kanak, 32 wanita dan lebih 1,000 "tahanan pentadbiran". 

Tahanan pentadbiran ini sama  seperti tahanan  ISA di Malaysia. Mereka akan ditahan bertahun-tahun tanpa bicara.

Pada gencatan senjata  yang bermula pada 19 Januari lalu Hamas telah membebaskan 18 orang tebusan. Israel telah membebaskan 383 tawanan sebagai balasan. Perbincangan di Qatar pada ketika ini bertujuan untuk membebaskan kira-kira 33 warga Israel dan 1,900 warga Palestin.

Ketika gencatan senjata ini berjalan  mata dunia sedang memerhati ke Washington DC. Ini kerana  Perdana Menteri Benjamin Netanyahu  telah terbang ke Amerika untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump.

Netanyahu menjadi pemimpin pertama yang datang ke Rumah Putih bertemu dengan Trump. 

Dunia memerhati  Netanyahu kerana telah ada waran tangkap ke atas Netanyahu.  Dia telah dituduh melakukan jenayah perang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Seperti yang di jangkakan waran tangkap ini  telah tidak di pedulikan oleh Amerika. Maharaja Trump terus menyambut  baik kedatangan Tok Penghulu mukim Israel.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Amerika Syarikat atau Israel. Kedua-dua negara ini tidak menjadi pihak dalam Statut Rom atau ahli ICC. Kedua-dua negara tidak pernah mengiktiraf bidang kuasa ICC.

Untuk menunjukkan kuasa hegemoni Amerika  kepada dunia Maharaja Trump bertindak balas terhadap ICC.  Titah di keluarkan untuk membuat sekatan terhadap ICC dan beberapa sosok yang terlibat dengan ICC. 

Trump juga telah bertitah untuk menghentikan  dan membekukan apa sahaja bantuan terhadap Afrika Selatan. Trump berkata ini dilakukan kerana Afrika Selatan menjalankan dasar diskriminasi terhadap masyarakt kulit putih. Wal hal dunia melihat ini dendam kesumat Trump kerana Afrika Selatan adalah negara utama yang membawa kes Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda.

Di Washington DC sidang media   Maharaja Trump dan Tok Penghulu Netanyahu telah memeranjatkan  dunia.  Donald Trump ini telah bercakap dan melakukan pelbagai perkara – termasuk cuba merogol, meraba tetek dan menipu – sepatutnya  Trump  tidak lagi memeranjatkan dunia. Tapi kali ini sekali lagi dunia gempar dengan kata- kata Trump.

“Hari ini saya gembira mengalu-alukan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kembali ke Rumah Putih. Ia adalah perasaan yang indah dan peristiwa yang indah. Kami mengadakan perbincangan yang hebat....’

“Amerika  akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami akan melakukan kerja.....Amerika akan lakukan kerja yang sebenar, lakukan sesuatu yang berbeza....’

Mata dunia terbeliak. Telinga dunia terbuka luas.  Warga Arab dan umat Islam tersentak.

Al-Jazeera pada 5 Februari 2025  melaporkan : Presiden Donald Trump telah berkata Amerika Syarikat akan "mengambil alih" dan "memiliki" Gaza selepas pembersihan etnik rakyat Palestin. Satu rancangan luar biasa yang didakwanya boleh mengubah kawasan itu menjadi "Riviera Timur Tengah". Riviera ini ialah kota peranginan di tepi laut.

Bila sahaja berita Gaza akan dijadikan kota peranginan  ini  maka para Tok Arab dari Saudi,  dari Jordan dan dari  Mesir pun membuat teater bersandiwara.  Mereka semua bersuara keras menolak rancangan  Maharaja Trump ini.

Pertubuhan Koperasi Islam (OIC)  yang mewakili 57 negara Islam juga bersuara membuat lawak dari Jeddah. Badan ini menolak rancangan ambil alih Gaza oleh Amerika. OIC  meminta semua ahli untuk menolak rancangan Riviera Maharaja Trump ini.

Malah  Anwar Ibrahim Blackrock dari Malaysia juga  telah turut sama membuat lawak dengan dialok ‘... saya perlu meneliti kenyataan Trump dulu....’ Apa yang perlu diteliti oleh Anwar Ibrahim Blackrock hanya Guru Nanak yang tahu. Kah kah kah.

Biar saya nyatakan disini secara jujur.  Saya memperlekehkan dan bersikap sinikal terhadap  pemimpin negara-negara Arab dan negara-negara yang klim sebagai negara Islam ini. Dalam masa yang sama saya tidak hairan dan tidak terperanjat apabila Maharaja Trump mahu mengambil Gaza untuk dijadikan mukim Amerika. 

Saya gembira dan ketawa bila melihat klip YouTube sidang akhbar Trump dan Netanyahu.  Malah saya akan lebih gembira jika Maharaja Trump dan Zionis  Israel merancang untuk mengambil Jordan, Mesir,  atau Saudi Arabia sebagai  mukim tanah jajahan Amerika  sama seperti niat  Maharaja Trump terhadap Canada dan Greenland.

Ini bukan bermakna saya tidak bersimpati terhadap perjuangan Palestin. Atau telah meninggalkan  sikap menyokong perjuangan adil rakyat tertindas.  Tidak. Saya masih setia kepada garis perjuangan.

Sikap baru  yang saya ambil ini ada sebab musabab.

Dari pemerhatian dan keterlibatan saya dalam agenda Palestin ini saya mendapati ada pembelotan yang maha besar telah dan sedang berlaku. Pembelotan inilah yang kini membawa kepada agenda penjualan Gaza.

Jika kita kembali melihat sejarah Palestin kita akan terjumpa beberapa dokumen lama pasca Nakba 1948.  Dalam piagam Al- Fatah dan dalam piagam PLO – Palestin Liberation Organisation - ada tertera niat   dan cita-cita perjuangan rakyat Palestin.  Dalam piagam ini ada jelas dinyatakan garis politik  PLO: Untuk  mendirikan Palestin Merdeka yang sekular, demokratik dan adil di mana Arab, Yahudi dan Kristian boleh hidup bersama dalam sebuah negara bernama Palestin.

Dalam Piagam ini juga tertera dasar bahawa PLO tidak akan mengiktiraf Zionis Israel.

Manakala garis politik Al-Fatah – gerakan gerila  induk PLO - dengan jelas dinyatakan perjuangan bersenjata adalah garis utama. Gerakan  pembebasan Palestin melalui angkat senjata ini juga di sokong oleh beberapa lagi kumpulan gerila Palestin seperti PFLP –  Barisan Popular Pembebasan Palestin.

Ketika tulisan ini di garap ke tiga-tiga garis politik  dalam piagam PLO ini telah  di ketepikan. Al-fatah   menjadi pembelot. Satu ketika dulu Al-fatah ialah gerakan gerila utama melawan Zionis Israel kini Al-Fatah yang berpusat di Tebing Barat di anggap  sebagai polis dan mata-mata kepada Zionis  Israel.

Manakala PLO berlagak sebagai kerajaan walhal  lembaga yang mendapat dana dari  Kesatuan Eropah ini tidak mendapat sokongan dari rakyat Palestin. Mahmud Abbas yang klim sebagai pemimpin utama Palestin telah  membekukan pilihan raya. Jika diadakan pilihan raya pasti Al-Fatah akan bungkus dan Mahmud Abbas  akan mati   tenggelam dalam air ludah rakyat Palestin. 

Pembelotan ke dua datang dari pemimpin negara Arab seperti El-Sisi dari  Mesir, Raja Abdullah dari Jordan dan  Putera MBS dari Saudi Arabia. Sosok-sosok ini adalah sekutu Zionis Israel yang terbaik. Pemimpin nasionalis  Arab seperti Saddam. Gadaffi dan  Bashar al-Assad  semuanya telah dijimatkan.

Pembelotan ke tiga datang dari  pemimpin negara yang bukan Arab  tapi klim beragama Islam seperti Turki , Pakistan, Bangladesh, Malaysia atau Indonesia. 

Satu ketika dulu Pakistan di bawah Zulfikar Ali Bhutto telah memberi latihan senjata kepada gerila PLO. Ali Bhutto dijimatkan dan Pakistan kembali menjadi boneka Amerika. 

Wajib di beritahu disini bahawa negara Islam yang pertama mengiktiraf Zionis Israel ialah Turki. Semenjak  tahun 1949 Turki telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Zionis Israel. Turki sebagai kerabat NATO – perjanjian pertahanan yang di kepalai oleh Amerika – adalah pembekal utama minyak petroleum untuk Zionis Israel.

Malah hubungan perniagaan dua hala antara Istambul dengan Tel Aviv cukup rancak dan menceriakan.

Manakala Malaysia di bawah Mahathir Muhamad dilihat bersimpati terhadap perjuangan Palestin. Walau pun ada bukti kapal kontena milik syarikat Zionis Israel boleh berlabuh di Pelabuhan Klang. Untuk  propaganda kepada Lebai,  Mak Aji dan Pak Aji  Mahathir membenarkan Palestin membuka pejabat kedutaan di Kuala Lumpur.

Di bawah  Anwar Ibrahim ini dilihat Malaysia telah mengikuti jejak langkah Turki.  Paling menyerlah ialah penjualan 39 buah lapangan terbang milik  Malaysia kepada syarikat Zionis Yahudi Blackrock. Dalam satu babak Anwar kuat bersuara menyokong Palestin. Dalam senyap-senyap Anwar  juga memperkayakan syarikat Yahudi Blackrock pembekal utama senjata untuk Israel.

Atas sebab musabab ini saya bersetuju  dan mengalu-alukan apa yang sedang di lakukan oleh Maharaja Trump.  Malah saya juga suka melihat Zionis Israel akan mengambil alih kawasan Masjid Al-Aqsa.

Kenapa saya bersikap demikian?

Saya mahu warga Arab di Saudi, di Mesir  dan di Jordan membuka mata dan hati  untuk  sedar apa yang sedang dilakukan oleh Maharaja Trump terhadap  Palestin.  Saya mahu warga Arab sedar bahawa pemimpin negara mereka  sedang bekerja sama dengan Zionis Israel. 

Saya kemaruk dan gian hendak melihat  warga Arab  bangun  sekali lagi seperti Arab Spring 2011. Saya hendak mereka bangun memberontak menjatuhkan rejim di Mesir, di Jordan dan di Saudi. 
Saya mahu melihat Maharaja Trump akan lebih ganas lagi menghuru harakan dunia Arab dan Timur Tengah.  

Saya mahu Maharaja Trump menelanjangi dan membogelkan pemimpin-pemimpin negara Arab yang bersandiwara menentang Zionis Israel.  Saya Ingin melihat Maharaja Trump membogelkan pemimpin negara Islam yang bukan Arab  yang juga bersekongkol dengan  Zionis Israel. 

Saya mahu anak semua bangsa menyedari bagaimana satu perjuangan adil rakyat Palestin  menentang penjajahan Israel telah  di gagalkan melalui pembelotan oleh para pemimpinnya.

Pada hemat saya hanya Maharaja Trump dalam masa empat tahun ini boleh melakukan semua ini.  Wahai Maharaja terus huru harakan dunia ini. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/734374



 
 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan