Polis Thailand, Kemboja selamatkan 215 mangsa pemerdagangan manusia
BANGKOK: Polis Thailand dan Kemboja menyerbu sebuah bangunan di bandar sempadan sebelum membebaskan 215 warga asing yang dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam talian, kata seorang pegawai kanan Thailand.
Ratusan ribu individu diperdagang oleh sindiket penjenayah itu untuk melakukan kegiatan penipuan dalam talian di seluruh Asia Tenggara, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Laporan PBB pada 2023 menganggarkan operasi haram itu berkembang pesat dan menjana berbilion dolar setiap tahun.
Dalam satu operasi hari ini, pihak berkuasa menyasarkan sebuah bangunan tiga tingkat di bandar sempadan Kemboja Poipet di wilayah Banteay Meanchey.
Warga asing yang diselamatkan termasuk 109 warga Thailand, Pakistan (50), India (48), Taiwan (lima) dan Indonesia (tiga), kata jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Houngsub.
"Ini jumlah terbesar rakyat Thailand yang dibebaskan dari bangunan disyaki menjadi lokasi penipuan secara dalam talian untuk kedua-dua negara," katanya.
Operasi itu hasil kerjasama Thailand dan Kemboja untuk menangani penipuan dalam talian.
Kegiatan itu beroperasi bertahun-tahun dan baru-baru ini seorang pelakon China, Wang Xing diselamatkan akibat terpedaya dengan janji memperoleh pendapatan lumayan.
Bagaimanapun, dia diculik dan dibawa ke lokasi pusat penipuan secara dalam talian di Myanmar.
Dalam pada itu, negara-negara Asia Tenggara meningkatkan usaha untuk menangani kejadian seumpama khususnya menerusi penguatkuasaan di sempadan Thailand-Myanmar.
Awal bulan ini, Thailand memotong bekalan elektrik dan internet ke kawasan dikaitkan dengan pusat penipuan berkenaan.
Menurut tentera Thailand, China sudah menghantar pulang 621 rakyatnya yang diselamatkan beberapa hari lalu. - Reuters

Tiada ulasan:
Catat Ulasan