Rakyat Palestin tiada hak untuk kembali ke Gaza di bawah rancangan AS - Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata rakyat Palestin tidak akan dibenarkan kembali ke Gaza di bawah rancangan pengambilalihan AS, yang digambarkannya sebagai "pembangunan hartanah untuk masa depan."
Dalam petikan temu bual yang disiarkan pada Isnin, Trump memberitahu Bret Baier dari Fox News bahawa "saya akan memilikinya" merujuk kepada Gaza.
Ia bertentangan dengan kenyataan pegawai AS sebelum ini yang mencadangkan penduduk Gaza hanya dipindahkan buat sementara waktu.
Dalam satu temu bual itu, Trump berkata, perjanjian dengan Jordan dan Mesir boleh dibuat untuk menempatkan penduduk Palestin, malah katanya AS akan menyalurkan 'berbilion dolar setahun' kepada kedua-dua negara itu.
Ditanya sama ada rakyat Palestin berhak untuk kembali ke Gaza, Trump memberitahu Fox News: "Tidak, mereka tidak akan (kembali) kerana akan mempunyai penempatan yang lebih baik".
"Saya bercakap mengenai pembinaan kediaman tetap untuk mereka," katanya, sambil menambah, pembinaan semula Gaza sehingga ia boleh didiami semula akan mengambil masa bertahun-tahun.
Pada 4 Februari lalu, selepas bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington, Trump membuat satu pengumuman mengejut dengan mencadangkan penempatan semula 2.2 juta penduduk Palestin di Gaza dengan AS akan mengambil alih dan membangunkannya semula menjadi 'Riviera Asia Barat'.
Penduduk Gaza, Pihak Berkuasa Palestin dan kumpulan pejuang Hamas yang mentadbir Gaza menolak cadangan terbabit.
Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, kenyataan Trump bahawa rakyat Palestin tidak akan dapat kembali ke Gaza adalah 'tidak bertanggungjawab'.
"Kami menegaskan rancangan sedemikian mampu mencetuskan pergolakan lebih besar," katanya kepada Reuters semalam.
Netanyahu yang menyambut baik cadangan itu menggesa supaya rakyat Palestin dibenarkan pulang.
"Mereka boleh tinggalkan (Gaza) dan kemudian boleh kembali, boleh berpindah dan pulang semula. Tetapi anda perlu membina semula Gaza," katanya sehari selepas pengumuman Trump.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang akan berlepas minggu ini bagi lawatan pertamanya ke Asia Barat, pada Khamis lalu berkata, rakyat Palestin perlu 'menetap di tempat lain buat sementara waktu' semasa pembinaan semula Gaza, walaupun dia enggan mengulas lanjut kemungkinan perpindahan mereka bersifat kekal.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan