Pimpinan Hizbullah ikrar teruskan perjuangan
BEIRUT: Pimpinan Hizbullah menegaskan bahawa perjuangan kumpulan itu masih belum berakhir walaupun dengan pemergian ketua kumpulannya, Hassan Nasrallah.
Ketua Hizbullah yang baharu menggantikan Hassan, Naim Qassem, menegaskan Hizbullah akan terus berdiri teguh atas paksi perjuangannya, sekali gus menolak sebarang usaha Amerika Syarikat (AS) untuk mengawal Lubnan dan mengecam tindakan zalimnya terhadap negara itu.
"Perjuangan masih belum berakhir, ia masih membara dan kita bersedia untuk berdepan dengan Israel," katanya melalui ucapan yang disiarkan melalui televisyen.
Ucapan Hassan turut dimainkan semula dan disambut orang ramai dengan laungan 'Kami sedia berkhidmat untukmu, Nasrallah'.
Ketika ini, ratusan ribu orang berkabung atas kematian Hassan, dalam satu upacara pengebumian di Beirut, sejak semalam, sekali gus menunjukkan kumpulan itu masih menerima sokongan berterusan selepas perang dahsyat dengan Israel.
Ketika upacara pengebumian berlangsung, wanita dilihat menangis sementara trak membawa keranda Hassan dan penggantinya, Hashem Safieddine, yang turut terkorban dalam serangan Israel, bergerak di laluan dibarisi orang ramai.
Keranda mereka dihiasi serban hitam dan dibalut dengan bendera kuning Hizbullah. Perarakan menuju ke lokasi pengebumian Hassan berhampiran lapangan terbang bertukar kecoh apabila berlaku rempuhan.
Siaran langsung oleh televisyen Al-Manar menunjukkan anggota Hizbullah berpakaian seragam tentera menolak orang ramai menjauhi keranda selepas ia diturunkan dari trak.
Hashem akan dikebumikan di kampung halamannya di Deir Qanun al-Nahr di selatan Lubnan pada hari ini.
Serangan besar-besaran Israel pada September yang mengorbankan Hassan iaitu pemimpin yang mengetuai Hizbullah selama lebih tiga dekad, memberikan tamparan hebat kepada kumpulan yang disokong Iran itu.
Namun, Hizbullah yang selama beberapa dekad menguasai politik Lubnan, masih mempunyai sokongan kuat dalam kalangan masyarakat Syiah di negara itu.
Ketika upacara pengebumian bermula di Stadium Camille Chamoun Sports City, pesawat perang Israel dilihat terbang rendah di ruang udara Beirut.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyebut tindakan itu adalah bagi menyampaikan mesej jelas kepada sesiapa yang mengancam Israel.
Dua sumber Hizbullah memberitahu AFP bahawa orang ramai yang dianggarkan menyertai upacara pengebumian itu adalah kira-kira 800,000 orang.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak berjalan dalam cuaca sejuk membeku untuk menghadiri majlis itu, yang tertangguh selama beberapa bulan atas faktor keselamatan.
Wartawan AFP melaporkan bahawa Stadium Camille Chamoun Sports City yang boleh menampung kira-kira 78,000 orang itu dipenuhi dengan orang ramai.
Ketika orang ramai berkumpul, Agensi Berita Nasional melaporkan serangan udara Israel berlaku di selatan dan timur Lubnan, yang menurut tentera Zionis itu, menyasarkan tapak pelancar roket dan senjata.
Israel melancarkan beberapa serangan di Lubnan sejak perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah pada 27 November lalu yang menamatkan lebih setahun permusuhan, termasuk dua bulan perang secara habis-habisan.
Upacara pengebumian itu berlangsung beberapa hari selepas tarikh akhir untuk Israel berundur dari selatan Lubnan, dengan tentera Israel menarik diri dari semua kawasan kecuali di lima lokasi, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar gencatan senjata.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, dan Perdana Menteri, Nawaf Salam, menghantar wakil rasmi untuk menghadiri majlis terbabit.
Dalam pertemuan dengan delegasi Iran sebelum pengebumian, Aoun berkata, Lubnan sudah penat dengan peperangan yang dicetuskan pihak lain di tanah airnya.
Kelemahan Hizbullah dalam perang baru-baru ini menyumbang kepada pemilihan Aoun sebagai presiden, yang dilihat sebagai calon pilihan dalam kalangan kerajaan Barat selepas dua tahun berlaku kekosongan kuasa.
Beliau kemudian melantik Nawaf sebagai Perdana Menteri bulan lalu.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan perjuangan menentang Israel akan berterusan, ketika Hizbullah mengadakan upacara pengebumian.
Beliau memuji Hassan sebagai seorang mujahid agung dan pemimpin berwibawa serta menyifatkan Hashem sebagai orang kepercayaannya yang tidak dapat dipisahkan daripada kepimpinan Hizbullah. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan