Jumaat, 25 April 2025

ABANG BELON - PAKCIK PETAI - ZIONIS TEMPATAN


Kakak Gigit; 

Pak Cik Petai;

 Abang Belon 

dan Zionis Tempatan


Saya  pernah membaca berita pada 17 Disember 2017  tentang seorang anak muda bernama Mohamed Bauzzizi dari Tunisia.  Anak muda ini sedang  menjual  sayur dan buah-buah dalam kereta sorongnya. Tertiba Bauzzizi telah diserang dan di pukul oleh pekerja Dewan Bandaraya Tunis.

Barang jualan telah di rampas. Anak muda ini membantah dan membakar  dirinya. Rakyat Tunisia keluar berdemo. Lalu meledak  Arab Spring - Musim Bunga Negara Arab yang menjatuhkan kerajaan Mesir dan Tunisia.

Saya juga ada  membaca berita ini pada 7 Februari 2025  dari The Guardian London : Seorang askar Israel bernama Hajabi, 25, berulang kali menyerang tahanan  Palestin yang terikat dan ditutup matanya dengan penumbuk, baton dan buntut senapang ... kerana  Si Palestin mempertahankan haknya..‘’

Saya terlihat klip Pak Cik Petai  dengan marah telah mencampakkan petai-petai jualnya. Wow ! Saya terperanjat hairan  kerana saya peminat petai yang setia. Tetapi petai dah naik harga. Dulu 25  ke 50 sen sepapan sekarang 4 papan 10 ringgit. Zaman saya menyimpan petai dalam minyak Zaiton dah berakhir. Aduh ! Kenapa petai dicampakkan?

Klip Pak Cik Petai ini diambil di Port Dickson. Voila ! Apa dah jadi. Kenapa Pak Cik Petai naik darah.

Pak Cik Petai ini sedang mencari rezeki menjual petai atas motosikal. Pegawai Majlis Bandaran Port Dickson telah datang menghalang  dia dari berjaja. Seperti biasa  Yang Berkuasa menunjukkan taring kuasa dan  mengganggu warga mencari makan.  

Di awal   Ramadan tahun ini saya juga terbaca berita seorang Kakak telah melawan dengan menggigit tangan pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang merampas barang jualannya di  Dataran Merdeka.

Sehari sebelum  Hari Raya tahun 2025 ini saya membaca  pula berita Abang Belon. Abang ini juga telah diserang dan di pukul oleh pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  Abang ini cedera  parah. Tulang punggung dilapur    retak. Abang ini  memerlukan rawatan hospital dan kini bergerak dengan kerusi roda.

Saya teringat kembali pada malam Rabu 9 Jun 2010 – saya telah di jemput membaca sajak  di Dewan Sivik Petaling Jaya. Saya membaca sajak bertajuk Zionis Tempatan yang saya tulis khas untuk malam itu. Malam itu di Dewan Sivik ialah  malam bersetia kawan dengan perjuangan Palestin. 

Dua minggu kemudian saya  juga telah di jemput untuk membaca sajak yang sama di Dewan Seri Pinang  Pulau Pinang. Bila saya membaca sajak Zionis Tempatan ini  6 YB dari Barisan Nasional keluar meninggalkan dewan.

Sajak ini saya tulis khas untuk menyokong  perjuangan Palestin yang ketika itu di serang oleh Zionis Israel . Ini sebahagian dari sajak itu:

Gaza berada di hadapan mata
Gaza berada di kampung Berembang
Gaza berada di kampung Pelentong
Gaza berada di kampung Mamali
Gaza berada di kem Kamunting
Gaza berada di Simpang Renggam
Gaza berada di Mahkamah Jalan Duta

Yang syahid bernama Kugan
Yang syahid bernama Teoh Beng Hock
Yang syahid bernama Aminulrashid

Hari ini saya bertanya pada diri saya  sendiri - apakah perlu saya menambah lagi bait-bait sajak ini dengan: 

Gaza berada di Port Dickson
Gaza berada di Kuala Lumpur
Gaza berada di Dataran Merdeka
Gaza berada di Jalan   Tengku Abdul Rahman

Yang melawan bernama Kakak Gigit
Yang periuk dibubuh pasir bernama Pak Cik Petai
Yang di belasah  bernama  Zaimuddin 
Yang tulang retak bernama  Zaimuddin  Azlan
Yang terlantar di hospital di kenali sebagai Abang Belon.

Untuk saya  cukup mudah. Tidak perlu berdulak dalik. Tidak perlu rujuk merujuk. Zionis ini bermakna zalim. Kezaliman ialah sifat dan watak utama kaum Zionis. Sesiapa sahaja yang zalim adalah Zionis. 

Justeru Zionis bukan hanya berada di Israel. Zionis bukan hanya di berada di Amerika. Zionis bukan hanya berada di Eropah.  Zionis berada di mana-mana.  Di mana ada kezaliman di situ ada Zionis. Kezaliman bermakna Zionis. Khalas.

Bukan senang jadi miskin. Ayat ini keluar dari mulut Abang Belon. Bukan mudah mencari seringgit dua – ini falsafah Pak Cik Petai.  Bila mendengar ayat-ayat  ini air mata saya berlinang. Dada menjadi sebak.

Dalam masa yang sama saya juga terbaca berita seorang Pegawai Tinggi  DBKL  yang mendapat bayaran bulanan dari Towkay Lendir dan Towkay Judi dari Bukit Bintang.  Pegawai DBKL ini dibayar – entah berapa – pasti lumayan – untuk tidak menutup – untuk tidak mengganggu penjualan  Lendir dan Judi.

Kenapa agaknya  Ramadan tahun 2025 ini memaparkan berita rakyat biasa – Abang , Pak Cik dan Kakak – di huru harakan hidup mereka. Dalam masa yang sama Pegawai Tinggi hidup mewah senang lenang.

Jawabnya amat mudah.

Untuk saya ini menunjukkan kita wajib menilai kembali arus perjalanan negara kita. Kita wajib sekali lagi menggali kembali persejarahan lama untuk memahami sekarang. Memahami yang dulu wajib untuk kita bersuluh berjalan ke hadapan. 

Kes Kakak di Dataran Merdeka, kes Pak Cik Petai dan kes Abang Belon hanyalah manifestasi. Yang kita baca , yang kita lihat di Tik Tok itu hanya manifestasi . Manifestasi ini menunjukkan bahawa  anyaman fabrik  budaya Melayu sedang terancam.

Di belakang manifestasi ini ada permasalahan yang maha berat. Ada beban yang sedang dipikul oleh Bani Melayu.

Pada tahun 14 Mei 1948 Zionis Israel telah mengambil bumi Palestin secara haram. Anak watan Arab tidak rela bumi dan tanah air mereka di rampas oleh kaum Zionis. Tarikh ini dipanggil Nakba atau Malapetaka.

Kaum Zionis – kaum pendatang dari  Eropah  - telah datang dan menjajah negara tanah tumpah darah watan Arab. Bentrokan dan perlawanan berlaku. Semenjak Nakba hingga ke hari ini tidak ada damai di bumi Palestin. Bumi Palestin terus bergolak. 

Hakikatnya Arab  Palestin tidak mahu menerima pendatang luar yang  menjajah negara mereka. Projek Israel ialah projek yang di eram dan menetas atas tapak tangan  Inggeris. Deklarasi Balfour 1917 telah di reka oleh Arthur Belfour (1840-1930) Setiausaha Luar  kerajaan Inggeris bersama dengan Zionis bernama Lord  Rothschild (1868-1937).

Sama juga yang berlaku di Tanah Melayu. Kuasa kolonial Inggeris membawa masuk pendatang dari China dan India. Inggeris  menubuhkan apa yang panggil Malaya. Malah Sir Henry Gurney (1898-1951) Pesuruhjaya Tinggi ke  Tanah Melayu sebelum ke Tanah Melayu adalah Ketua Setiausaha Inggeris di Palestin.

Jelas ada persamaan antara Palestin dengan Tanah Melayu. Di  Palestin Inggeris membawa masuk Bani Yahudi. Di Tanah Melayu Inggeris membawa masuk China dan India.

Kuasa kolonial Inggeris telah mengeram dan menetas kan apa yang di kenali sebagai United Malays National Organisation. Parti ini menjadi boneka kepada kuasa kolonial Inggeris.  

Maka - Malapetaka – Nakba – untuk  Tanah Melayu berlaku pada 31 Ogos 1957. United Malays National Organisation mendapat kuasa dari Inggeris.

Hari ini di Palestin  peranan boneka  telah  dan sedang dimainkan oleh Al-Fatah. Kini Al-Fatah di bawah Mahmud Abbas sedang menjadi perkakas Zionis Yahudi.

Apa jadi di Tanah Melayu?

Sesudah PRU 15 jelas kelihatan majoriti  Bani Melayu telah menolak projek yang berasal usul dari benih  yang disemai oleh kolonial Inggeris.  Dari segi sokongan amat jelas Bani Melayu tidak lagi menyokong United Malays National Organisation. Tapi dengan licik lagi jahat kemenangan Bani Melayu ini telah di  kelencongkan. Kemenangan menjadi kekalahan.

Justeru kerajaan yang wujud hari ini bukan – saya ulang – bukan kerajaan yang mendapat sokongan Bani Melayu. Justeru   perangi dan tingkah laku mereka sama seperti apa yang berlaku di Palestin.

Di Palestin ada Al-Fatah dengan Mahmud Abbas yang klim mewakili Palestin. Tetapi tidak mendapat sokongan anak watan Palestin. Di Malaysia Anwar Ibrahim klim sebagai kerajaan Madani walhal tidak mendapat sokongan anak watan Melayu.

Sama seperti di Palestin sesiapa yang melawan akan di belasah seperti Abang Belon kena belasah. Sesiapa yang berani menegakkan hak akan di rampas harta mata pencarian seperti yang di perlakukan kepada  Pak Cik Petai dan Kakak Gigit.

Sama seperti di Palestin – anak watan Arab akan terus melawan kezaliman Zionis.    Kita di Tanah Melayu juga akan terus melawan Zionis Tempatan hingga mereka di campakkan ke dalam tong sampah sejarah.Amin. (TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
BEBAS NEWS
https://bebasnews.my/2025/04/11/kakak-gigit-pak-cik-petai-abang-belon-dan-zionis-tempatan/



1 ulasan:

  1. Petai susah berlawan dengan geng kayangan, petai tetap di jual tepi jalan, tak masuk supermarket tak masuk pasaran antarabangsa, jadi begitu juga status manusia, yang duit duduk aircond tak ada duit duduk kampung jadi penunggu tetap bantuan Sara Hidup kah kah kah

    BalasPadam