SPRM tahan 6 suspek tuntutan palsu RM15 juta kepada KDN
PUTRAJAYA: Enam individu termasuk dua pegawai polis, seorang pengarah syarikat dan ketua pegawai kewangan (CFO) direman kerana disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.
Tuntutan itu berkaitan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem command & control, communication & computer integration (C4i).
Perintah reman tujuh hari hingga 30 April dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek terdiri lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan sekitar 8 malam tadi, ketika hadir selepas dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.
Walaupun tuntutan dibuat, namun sebahagian kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti ditetapkan dalam kontrak.
"Projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.
Sumber SPRM berkata, penggeledahan dilakukan oleh SPRM terhadap 15 lokasi termasuk KDN dan beberapa syarikat sekitar Johor, Selangor, Putrajaya serta Kuala Lumpur.
"Susulan itu, SPRM menyita empat kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.5 juta.
"Menerusi operasi dijalankan dengan kerjasama PDRM, SPRM turut merampas pelbagai jenis mata wang asing terdiri daripada RM9,000; USD$388; Riyal 2,340; QAR 1,789; Dirham 15,055 dan KZT 21,219, dan sembilan telefon bimbit," katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi media mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kes terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil dari Aktiviti Haram 2001 (AMLA)

Ini bukan baru berlaku, sekian lama, sekarang baru terbongkar selepas sambung kontrak, kalau sambung kontrak maka lagi ramai akan masuk kategori rasuah, kalau pukul rata hampir keseluruhan memang dah sikap begitu kerana pemimpin pun sama, rasuah berbillion curi berbillion kemudian bicara bertahun kemudian mohon bebas duduk rumah, semuanya jadi contoh kehidupan kepada orang lain yang berada di peringkat bawahan kah kah kah selamat kembali wahai tukar tiub yang terbaik
BalasPadam15 juta saja kacang kacang kes, orang curi berbillion pun masih relax sedap berjalan pakai suit tarak masalah pun, ini kena ingat Malaysia lah woit kah kah kah
BalasPadam