Pakistan dakwa India sedang rancangan serangan terhadapnya
ISLAMABAD: Pakistan hari ini mendakwa Islamabad memiliki maklumat risikan kukuh menunjukkan India sedang merancang serangan ketenteraan terhadapnya dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, memberi amaran bahawa Pakistan akan beri tindak balas tegas.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi platform X sekitar jam 2 pagi waktu tempatan, selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengadakan mesyuarat tertutup bersama ketua tentera dan keselamatan pada hari sebelumnya.
Menurut sumber kerajaan, Modi memberi 'kebebasan operasi sepenuhnya' kepada angkatan tentera untuk bertindak balas terhadap serangan maut di Kashmir.
"Pakistan mempunyai maklumat risikan kukuh bahawa India berniat melancarkan serangan ketenteraan dalam tempoh 24 hingga 36 jam akan datang, menggunakan tragedi di Pahalgam sebagai alasan palsu," kata Tarar.
Pahalgam adalah kawasan pelancongan di Kashmir yang ditadbir India, di mana serangan pada 22 April lalu mengorbankan 26 orang, sekali gus menjadi serangan terburuk terhadap orang awam di wilayah bergolak itu dalam beberapa tahun.
India menuduh Pakistan menyokong serangan itu, namun Islamabad menafikan dakwaan berkenaan.
"Sebarang tindakan pencerobohan akan menerima tindak balas yang tegas. India akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika berlaku sebarang kesan buruk di rantau ini!," kata Tarar dengan tegas.
Ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu turut mendapat perhatian antarabangsa, termasuk dari China dan Amerika Syarikat (AS) yang menggesa kedua-dua pihak bertenang dan mengelakkan sebarang peningkatan konflik.
Semalam, tentera India memaklumkan berlaku beberapa kes tembak-menembak dengan pasukan Pakistan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto yang memisahkan kedua-dua pihak di wilayah Kashmir.
Tentera Pakistan tidak mengesahkan kejadian itu, namun radio kerajaan di Islamabad melaporkan bahawa mereka menembak jatuh sebuah dron milik India yang didakwa menceroboh ruang udara negara itu.
Tiada maklumat lanjut mengenai waktu kejadian dan pihak New Delhi juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Susulan serangan di Pahalgam, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara semakin meruncing dengan siri tindakan balas termasuk pengusiran rakyat dan penutupan lintasan sempadan darat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dilaporkan menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, untuk menawarkan khidmat baik bagi meredakan ketegangan.
Pejabat Sharif kemudian berkata beliau menggesa Guterres menasihati India supaya bertindak secara berhemah, sambil menegaskan Pakistan akan mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya jika berlaku sebarang pencerobohan.
Sementara itu, polis India mengeluarkan poster orang dikehendaki terhadap tiga suspek utama dalam serangan di Kashmir iaitu dua warga Pakistan dan seorang rakyat India yang dipercayai ahli kumpulan militan Lashkar-e-Taiba dan disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh PBB.
Ganjaran sebanyak dua juta rupee (kira-kira RM111,000) ditawarkan bagi setiap maklumat yang membawa kepada penangkapan mereka.
Pihak berkuasa turut melancarkan operasi besar-besaran bagi menahan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan serangan terbabit. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan