Stok bekalan makanan sudah habis, Gaza di ambang kebuluran - WFP
GAZA: Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan semua bekalan makanannya di Gaza kini kehabisan selepas lebih tujuh minggu Israel menyekat kemasukan bantuan dan Gaza kini di ambang kebuluran.
Krisis kemanusiaan digambarkan paling buruk sejak lebih 18 bulan perang meletus dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam Israel kerana menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan penyekatan bantuan sebagai 'kebuluran bermotifkan politik'.
WFP, salah satu penyedia utama bantuan makanan di wilayah Palestin, berkata pihaknya semalam sudah menghantar baki bekalan makanan terakhirnya ke dapur makanan di Semenanjung Gaza.
Katanya, dapur itu dijangka kehabisan makanan sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi.
Lazzarini, menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza itu 'ciptaan manusia', dengan kerajaan Israel terus menyekat kemasukan makanan dan keperluan asas lain
"Hampir dua bulan pengepungan, gesaan untuk membawa masuk bekalan tidak diendahkan," tulisnya di di platform X.
Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa bekalan perubatan juga hampir kehabisan dengan 16 trak bantuan tersekat di sempadan.
Selepas rundingan gencatan senjata dengan Hamas gagal, Israel menyambung serangan udara pada 18 Mac lalu, diikuti dengan serangan darat.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang, menurut pihak berkuasa pertahanan awam Gaza.
Petang semalam, tentera Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di Zeitun dan dua kawasan berdekatan, menyatakan mereka sedang menyelaras operasi terhadap 'kegiatan pengganas'.
Penduduk Gaza berkata mereka bukan sahaja diancam maut akibat serangan bom, tetapi juga kelaparan.
Selain WFP, agensi bantuan antarabangsa dan kerajaan Barat turut menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di wilayah terkepung itu.
"Sejak berminggu-minggu, dapur makanan panas menjadi satu-satunya sumber makanan yang konsisten.
"Walaupun hanya dapat membantu separuh daripada penduduk dan memenuhi sekitar 25 peratus keperluan harian, ia kekal sebagai talian hayat penting," kata WFP.
WFP turut mendedahkan lebih 116,000 tan metrik bantuan makanan yang cukup bagi memberi makan kepada sejuta orang selama empat bulan, sudah tersedia di koridor bantuan dan hanya menunggu sempadan dibuka semula.
Sementara itu, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata bekalan perubatan juga semakin kekurangan dengan 16 trak WHO tersekat di sempadan.
"Sekatan bantuan ini mesti dihentikan. Nyawa bergantung padanya," katanya dalam catatan di platform X. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan