Sepanyol, Portugal alami gangguan bekalan elektrik
MADRID: Bekalan elektrik terputus di seluruh Sepanyol dan Portugal semalam, menyebabkan perkhidmatan tren terhenti, jalan raya sesak serta orang ramai terperangkap di dalam lif.
Bagaimanapun, bekalan elektrik mulai pulih secara berperingkat selepas beberapa jam gangguan itu berlaku.
Rata-rata masyarakat keliru dengan kejadian berkenaan dan kerajaan Sepanyol pada masa sama berusaha mengenal pasti punca gangguan yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan.
"Orang ramai terkejut kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku di Sepanyol," kata seorang pekerja binaan, Carlos Candori, 19.
"Tiada liputan (telefon), saya tidak dapat hubungi keluarga, ibu bapa, ia langsung tiada... saya juga tidak boleh pergi bekerja," katanya lagi.
Di Madrid dan kawasan lain, orang ramai bergegas ke bank untuk mengeluarkan wang tunai, manakala kawasan jalanan dipenuhi orang yang cuba mendapatkan isyarat telefon bimbit.
Ada juga yang terperangkap di dalam lif dan dalam garaj.
Sebagai langkah berjaga-jaga, perlawanan tenis Madrid Open terpaksa dibatalkan pihak penganjur.
Pihak berkuasa menggesa pemandu untuk tidak menggunakan jalan raya kerana lampu isyarat tidak berfungsi, kenderaan bergerak perlahan atau berhenti sepenuhnya sementara polis cuba mengawal lalu lintas.
Pengendali kereta api Sepanyol, Adif, memaklumkan perkhidmatan tren dihentikan di seluruh negara.
Loji janakuasa nuklear Sepanyol turut dihentikan secara automatik sebagai langkah keselamatan, dan dikuasakan oleh penjana diesel bagi memastikan ia berada dalam 'keadaan selamat', menurut kenyataan Majlis Keselamatan Nuklear Sepanyol (CSN).
Perdana Menteri, Pedro Sanchez, mengadakan mesyuarat tergempar berhubung situasi itu, menurut pejabat beliau dalam mesej di Telegram.
Sementara itu, Suruhanjaya Eropah sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan Portugal susulan gangguan besar bekalan elektrik yang menyebabkan seluruh Semenanjung Iberia terputus bekalan elektrik, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Suruhanjaya sedang berhubung dengan pihak berkuasa kebangsaan Sepanyol dan Portugal ... untuk memahami punca asas serta kesan situasi ini," kata seorang jurucakap di Brussels.
"Terdapat protokol yang disediakan untuk memulihkan semula fungsi sistem," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan