Tiada penglibatan politik dalam kes kehilangan Pamela
KUALA LUMPUR – Tiada penglibatan politik yang menjurus dalam siasatan membabitkan kes kehilangan Pamela Ling Yueh pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata, ia berdasarkan kepada siasatan yang telah diambil berhubung kes itu.
“Sehingga kini, kita tidak nampak siasatan ini menjurus kepada penglibatan politik kerana keterangan yang diambil juga tiada unsur kepada itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Rusdi, setakat ini, sebanyak 47 keterangan telah diambil oleh pihak polis termasuk empat individu di Singapura melibatkan anak kepada Pamela.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, polis masih aktif menjalankan siasatan meskipun kes kehilangan wanita itu sudah berlaku sebulan lalu.
Mengulas mengenai rakaman keterangan yang turut melibatkan teman lelaki kepada Pamela, Rusdi memaklumkan perkara itu tidak dapat disahkan buat masa ini.
Sementara itu, berhubung permohonan reman polis terhadap suami Pamela ditolak, Rusdi berkata, mahkamah mengesahkan tiada keperluan.
“Kalau kita pergi ke mahkamah buat permohonan reman ada alasan kita, jadi alasan itu boleh diribat (pertikai) oleh peguam yang hadir dan selepas itu mahkamah pertimbangkanlah.
“Kalau secara ringkas mahkamah kata tiada keperluan dan saksi atau dia ini boleh dipanggil pada bila-bila masa dan mereka memberi jaminan untuk bekerjasama,” jelasnya.
Terdahulu Pamela dilaporkan telah dilarikan selepas gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 9 April lalu.
Pamela sebelum itu dijadualkan hadir ke pejabat SPRM pada tarikh berkenaan bagi memberi keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
Pamela, 42, merupakan isteri kepada seorang ahli perniagaan dari Sarawak, beliau dan suaminya difahamkan sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram.
Rusdi dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan penculikan atau melarikan orang dengan niat untuk mengurung secara salah.
Tambah beliau, beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa serta pemandu e-hailing telah dirakam keterangan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan