Keluarga Beng Hock kecam keputusan NFA, tuntut janji Anwar
Keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) tidak mencerminkan janji yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kata adik mendiang, Teoh Lee Lan.
Lee Lan berkata keluarganya amat kecewa dengan keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) dan disampaikan melalui pihak polis.
Dia berkata setelah menerima makluman daripada Jabatan Siasatan Jenayah yang memaklumkan keputusan AGC itu, keluarganya mempersoalkan sama ada mereka masih “terperangkap dalam era pentadbiran Barisan Nasional.”
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sama terus tidak dipertanggungjawabkan. Pasukan polis yang sama enggan menyiasat SPRM. Kesimpulan kabur yang sama dibuat, dan pembunuh yang sama masih bebas,” kata Lee Lan dalam sidang media di firma guaman Karpal Singh & Co di Petaling Jaya hari ini.
“Pada 1 Ogos tahun lalu, (Anwar) menggesa keluarga Teoh supaya percaya kepada ‘pasukan polis baru’ dan ‘sistem baru’ di bawah pentadbirannya.
“Tetapi, apakah yang diberikan oleh ‘sistem baru’ ini kepada keluarga Teoh? Hanya kekecewaan yang berpanjangan,” katanya.
Pada tahun 2009, Beng Hock, setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu terletak di Plaza Masalam, Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2011 memutuskan bahawa Beng Hock membunuh diri akibat tekanan soal siasat yang agresif. Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan jenayah, termasuk oleh pegawai SPRM.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis menyelesaikan siasatan dalam tempoh enam bulan selepas Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa Teoh.
Lee Lan sekali lagi menyatakan rasa tidak puasa hati keluarganya apabila siasatan dijalankan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan salah).
Dia berpendapat siasatan sepatutnya dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014.
Menuntut penjelasan daripada Anwar, Lee Lan berkata keputusan mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA menyebabkan keluarganya terus menderita dan kecewa.
“Jika Malaysia Madani bermaksud meneruskan sistem yang gelap dan menindas, apakah maknanya perubahan politik?”.
“Adakah visi reformasi yang pernah diimpikan oleh Beng Hock, dan janji keadilan yang dipercayai oleh keluarga Teoh, sekadar dijadikan bidak dalam perebutan kuasa?”soalnya.
Dia menegaskan bahawa Anwar sebelum ini memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kematian Beng Hock tidak akan berlarutan dan akan diselesaikan demi keadilan kepada keluarganya.
“Kami mendesak perdana menteri menunaikan janjinya. Rakyat Malaysia telah meletakkan harapan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan untuk reformasi institusi dan ketelusan.
“Ibu bapa kami yang telah lanjut usia tidak mampu lagi menanggung penantian yang tidak berkesudahan. Sudah tiba masa untuk menunaikan janji Malaysia baru dan menegakkan keadilan,” tegasnya.
Ketika pentadbiran PH bawah Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, kabinet bersetuju membuka semula siasatan terhadap kematian Beng Hock.
Sebelum kes itu dibuka semula, dua pasukan siasatan khas dibentuk pada 2011 dan sekali lagi pada 2015. Namun, kedua-duanya juga mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA.
Pada Feb tahun ini, polis memaklumkan bahawa mereka akan menggunakan teknologi 3D untuk 'crime scene reconstruction bagi membantu siasatan semula kes itu.
Bagaimanapun, pada penghujung bulan itu, keluarga Beng Hock mendakwa polis sering menyoal siasat mereka berbanding pegawai SPRM yang terlibat dalam kematian mendiang.
Pada April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Shuhaily Zain, mendakwa keluarga tersebut tidak memberi kerjasama — namun dinafikan oleh keluarga berkenaan.
Shuhaily juga berkata siasatan terhalang oleh beberapa kekangan, termasuk kesukaran menemu bual saksi insiden yang berlaku 16 tahun lalu serta keengganan sesetengah saksi untuk tampil ke hadapan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan