409 ketulan ganja RM1.297 juta dari negara jiran ditinggal dalam bot di muara sungai
KANGAR: Polis merampas 409 ketulan ganja mampat dianggar bernilai RM1.297 juta yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan laut dekat sini, Selasa lalu.
Rampasan dilakukan selepas semua stok ganja itu ditemukan dalam bot nelayan tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai sengaja ditinggalkan penyeludup di kawasan muara di Kuala Sungai Baru, dekat Simpang Empat, di sini kira-kira jam 2 petang.
Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim, berkata pihaknya percaya bot gentian kaca itu ditinggalkan penyeludup dalam tempoh 24 jam sebelum ganja berkenaan ditemui.
Mengulas lanjut, katanya pasukan Task Force dari Balai Polis Kuala Perlis bersama Unit Marin Kedah/Perlis, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kangar, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar serta anggota Balai Polis Simpang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai penemuan dua bot nelayan mencurigakan itu.
"Pemerhatian selama dua jam di sekitar kawasan itu tidak menemukan sebarang pergerakan di kawasan bot yang ditinggalkan itu.
"Polis kemudian memeriksa bot berkenaan sebelum menemukan 24 kotak yang didalamnya berisi bahan disyaki dadah jenis ganja.
"Bot kemudian ditunda ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut," katanya ketika sidang media, hari ini.
Beliau berkata, polis percaya ganja terbabit dibawa dari negara jiran menerusi jalan laut, dengan Perlis dijadikan sebagai transit sebelum ia diangkut sindiket menggunakan laluan darat untuk diedarkan dipercayai di kawasan Selatan tanah air atau Lembah Klang.
Katanya, ganja dirampas dipercayai mempunyai tiga gred berbeza dan dijual pada harga antara RM2,000 hingga RM3,500 ssekilogram mengikut gred.
"Untuk kes ini, tiada tangkapan dilakukan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan