Gaza mungkin 'hilang' tanpa campur tangan antarabangsa
GAZA: Kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa perang di Gaza hanya akan berakhir bila keseluruhan wilayah itu dikuasai Israel, secara langsung mendedahkan matlamat sebenarnya.
Malah, tambah beliau, cadangannya itu turut mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang setuju bahawa penduduk Palestin di Gaza perlu dipindahkan keluar.
Pelan besar Israel itu menyaksikan pelancaran operasi darat utama dinamakan 'Gideon's Chariots' beberapa hari lalu bagi menduduki sebahagian besar atau keseluruhan Semenanjung Gaza.
Penduduk asal Gaza, yang berjumlah sekitar 2.4 juta sebelum perang bermula pada 7 Oktober 2023, kini hanya tinggal sekitar sejuta, terkepung di lima kem pelarian dikawal Israel.
Dalam tempoh dua minggu lalu, Israel meningkatkan kempen pengeboman, membunuh ratusan lagi rakyat Palestin, sebahagian besarnya orang awam manakala bakinya diarah berpindah lagi.
Di samping pengeboman, isu paling mendesak ialah sekatan Israel sejak 2 Mac lalu dan risiko kebuluran bagi baki penduduk Gaza, lebih separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak.
Pada masa sama, ladang milik petani Palestin dimusnahkan, ternakan dibunuh dan nelayan yang mahu ke laut ditembak, sekali gus memutuskan sama sekali rantaian bekalan makanan bagi penduduk Palestin.
Dengan sekatan memasuki hari ke-82, imej kanak-kanak yang kurus kering terus tersebar dalam berita dan media sosial dengan kemarahan umum semakin meningkat.
Untuk rekod, menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Palestin, Israel merampas lebih 12,800 ekar tanah Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak 7 Oktober 2023.
Suruhanjaya itu turut mendedahkan, sejak perang di Gaza bermula, Israel mengeluarkan 13 arahan ketenteraan bagi mewujudkan zon penampan di sekitar penempatan haram serta menubuhkan 60 pos penempatan haram baharu di Tebing Barat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11,400 ekar telah dirampas sepanjang 2024 sahaja atas pelbagai alasan, termasuk pengisytiharan sebagai kawasan rizab semula jadi, tanah milik negara dan zon ketenteraan
Dalam pada itu, Gaza menghadapi risiko kebuluran yang kritikal dengan 470,000 orang di Gaza berdepan kebuluran iaitu mewakili 22 peratus daripada penduduk ya.
Lebih daripada 52,000 orang terkorban dan sekurang-kurangnya 118,000 cedera di Gaza
Selain itu, sistem penjagaan kesihatan turut berada di ambang kehancuran dengan 90 peratus daripada penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan