Syria bergolak, 102 etnik minoriti maut dalam pertempuran 2 hari
DAMSYIK: Pemimpin etnik Druze di Syria, Sheikh Hikmat al-Hijri, mengecam tindakan pembunuhan beramai-ramai yang terhadap masyarakat itu selepas pertempuran dua hari mengorbankan kira-kira 102 orang.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran bahawa negaranya akan bertindak keras sekiranya pihak berkuasa baharu Syria gagal melindungi etnik minoriti Druze.
Keganasan itu menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa baharu yang menumbangkan pemerintah lama, Bashar al-Assad, pada Disember lalu.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), pergolakan itu berlaku susulan gelombang pembunuhan beramai-ramai pada Mac lalu di pesisir barat Syria.
Ia merupakan kubu kuat masyarakat Alawite, di mana pasukan keselamatan dan kumpulan bersekutu dilaporkan membunuh lebih 1,700 orang awam, kebanyakannya dalam kalangan masyarakat Alawite Assad,
Hijri menyifatkan kes terbaharu di Jaramana dan Sahnaya berhampiran Damsyik sebagai satu kempen pembunuhan beramai-ramai yang tidak boleh diterima sama sekali terhadap etnik Druze.
Beliau dalam satu kenyataan menggesa campur tangan segera daripada kuasa-kuasa antarabangsa bagi mengekalkan keamanan dan menghentikan jenayah berkenaan.
Israel pula meningkatkan sokongan terhadap komuniti Druze Syria dan Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menggesa masyarakat antarabangsa memainkan peranan melindungi minoriti di Syria terutamanya di Druze daripada rejim dan kumpulan pengganas.
Dalam pada itu, Katz menegaskan sekiranya serangan terhadap Druze diteruskan dan rejim Syria gagal menghalangnya, Israel akan bertindak balas secara 'besar-besaran'.
Dalam satu pertemuan pemimpin dan kumpulan bersenjata Druze di bandar Sweida, jurucakap komuniti Druze menegaskan mereka tidak dapat dipisahkan daripada tanah air Syria yang bersatu.
"Kami menolak sebarang bentuk pemisahan, pengasingan atau pemecahan," katanya.
Menurut SOHR, pertempuran itu membabitkan pasukan keselamatan, pejuang yang bersekutu dengan kerajaan dan kumpulan Druze tempatan.
Difahamkan bahawa angka korban seramai 102 orang itu termasuk 30 penyokong kerajaan, 21 pejuang Druze dan 10 orang awam, termasuk bekas Datuk Bandar Sahnaya, Husam Warwar.
Keganasan tercetus susulan penyebaran rakaman audio dikaitkan dengan seorang warga Druze, yang dianggap menghina agama. AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman terbabit.
Sementara itu, gencatan senjata berjaya dicapai di Jaramana,Selasa lalu, disusuli di Sahnaya pada Rabu lalu.
Kerajaan mengumumkan penghantaran pasukan keselamatan ke Sahnaya bagi memastikan ketenteraman dan menuduh kumpulan haram sebagai pencetus pertempuran.
Pihak berkuasa baharu Syria yang berakar umbi daripada rangkaian jihad Al-Qaeda sebelum ini berikrar untuk memerintah secara inklusif di negara berbilang agama dan etnik itu, namun turut berdepan tekanan kumpulan Islam radikal.
Rabu lalu, Kementerian Luar Syria memberi jaminan bahawa mereka akan melindungi semua komponen masyarakat Syria, termasuk masyarakat Druze. – AFP

dapa bunuh sapa ?
BalasPadam