Maklumat bocor: Shafee mahu Public Bank bayar ganti rugi RM560 juta
PUTRAJAYA – Peguam yang mewakili National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat yang lain mahu Public Bank Bhd. membayar ganti rugi maksimum RM560 juta kerana melanggar kontrak sehingga menyebabkan maklumat sulit akaun anak guamnya bocor pada 2012.
Muhammad Shafee Abdullah berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini berkata, anak guamnya menuntut RM60 juta sebagai ganti rugi am dan RM250 juta masing-masing bagi ganti rugi teladan dan teruk.
Hujah beliau, perayu yang merupakan pelanggan Public Bank mengalami kerosakan yang ketara sambil menyifatkan salah laku bank itu sebagai `sesuatu yang tidak dapat dibayangkan’.
Menurut Muhammad Shafee, tindakan bank tersebut sengaja membocorkan maklumat kepada pemimpin politik pembangkang ketika itu sehingga membawa kepada penyebaran umum.
“Ladang terpaksa ditutup manakala keseluruhan projek yang dijalankan runtuh. Situasi itu akhirnya menyebabkan anak guam saya terpaksa berhutang dengan kerajaan sebanyak RM250 juta,” katanya.
Sementara itu, peguam Chan Kok Keong yang mewakili bank mempersoalkan kredibiliti tuntutan ganti rugi am RM60 juta NFCorp sambil menegaskan permohonan itu dibuat berdasarkan unjuran kewangan yang lapuk dan tidak boleh dipercayai.
Ujarnya, mahkamah terdahulu turut menolak keterangan penganalisis kewangan yang dipanggil NFCorp berhubung unjuran kewangan dan menyifatkan keterangan beliau tidak kredibel bagi membuktikan kerugian yang ditanggung oleh syarikat berkenaan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim menetapkan 18 Jun ini bagi memutuskan taksiran ganti rugi.
Terdahulu panel berkenaan sebulat suara membenarkan rayuan balas NFCorp dan empat yang lain dan mengetepikan ganti rugi nominal RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos 2023.
Hakim Hasnah yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli dan Abu Bakar Jais memberikan mereka hak menuntut ganti rugi teladan dan teruk daripada bank berkenaan.
Pada prosiding itu juga, panel berkenaan menolak rayuan akhir Public Bank untuk mengetepikan saman NFCorp dan empat yang lain berhubung liabiliti bahawa bank itu melanggar kontrak sehingga maklumat sulit akaun syarikat itu bocor.
Koram berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Public Bank melanggar kewajipan statutori dan kerahsiaan dengan mendedahkan maklumat akaun pelanggannya.
Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mengarahkan bank berkenaan membayar kos berjumlah RM300,000 kepada NFCorp dan anak syarikatnya.
Pada 22 Mei 2012, NFCorp dan empat yang lain memfailkan saman terhadap Public Bank atas pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.
Perayu menyatakan, maklumat akaun bank yang bocor itu digunakan oleh Naib Presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli untuk menguatkan dakwaan bahawa plaintif memanfaatkan pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.
Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Dalam penyataan saman tersebut, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan