Penganalisis kewangan rugi RM147,350 hasil pelaburan tak wujud
KUALA TERENGGANU: Penganalisis kewangan dari Selangor kerugian RM147,350 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditemuinya melalui iklan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula Februari lalu apabila lelaki berusia 42 tahun itu melihat iklan pelaburan saham berkenaan sebelum menekan pautan disediakan.
Beliau berkata, mangsa dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp yang mempunyai 125 ahli dengan beberapa ahli aktif berkomunikasi tentang keadaan pasaran saham.
Katanya, dua individu daripada kumpulan itu bernama Levin Wang (Teacher) dan Emma Wong (Assistant) mengaku mereka pekerja untuk sebuah syarikat sekuriti dan pelaburan yang berasal dari China.
"Ketika mangsa berada di rumah abang iparnya di daerah ini pada 30 Mac lalu, dua suspek mengajaknya menggunakan şatu platform didakwa dikendalikan syarikat berkenaan.
"Mangsa dimaklumkan masih boleh mengawal proses jual beli saham menggunakan platform itu, namun perlu membuat pemindahan wang pelaburan kepada beberapa akaun syarikat untuk proses jual beli berkenaan.
"Proses pemindahan itu diselia seorang pengurus dan mangsa boleh melihat semua wang pelaburan dalam akaun itu serta boleh digunakan untuk proses jual beli saham," katanya melalui kenyataan.
Azli berkata, mangsa membuat 13 transaksi bayaran pelaburan kepada lima akaun bank berbeza membabitkan RM147,350 sepanjang tempoh berkenaan, namun tidak pernah memperoleh apa-apa keuntungan daripada pelaburan.
"Mangsa pergi ke sebuah bank di Selangor semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum kakitangan memaklumkan aksesnya disekat disebabkan transaksi merisaukan dan menasihatkannya membuat laporan polis.
"Pengadu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan