Kritikan Rafizi petunjuk tiada ruang memilih secara bebas dalam PKR – Awang
KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli merupakan gambaran tekanan yang berlaku dalam parti itu menjelang pemilihan tidak lama lagi.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia sindiran yang boleh ditafsirkan sebagai sindiran dan ‘terjemahan’ berlakunya ‘paksaan’ terhadap ahli untuk menyokong calon tertentu demi menjaga reputasi pimpinan tertinggi.
Dalam isu itu, pimpinan tertinggi yang dimaksudkan sudah tentulah, Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana puteri sulungnya, Nurul Izzah bertanding untuk merebut jawatan yang kini disandang oleh Rafizi.
“Rafizi menyatakan kekalahan Nurul Izzah dalam pemilihan (nanti untuk jawatan) Timbalan Presiden PKR akan memberi gambaran bahawa bapanya ditolak oleh parti sendiri. Beliau menegaskan kemenangan Nurul Izzah adalah satu-satunya pilihan walaupun mungkin bertentangan dengan pilihan peribadi ahli parti.
“Kenyataan seperti ini boleh ditafsirkan sebagai sindiran terhadap tekanan dalaman parti yang memaksa ahli untuk menyokong calon tertentu demi menjaga imej kepimpinan tertinggi.
“(Ia juga) Petunjuk sindiran dan kritikan tersirat bahawa ungkapan; “Undilah Nurul Izzah… “Sebab kita tiada keputusan yang lain” seolah-olah tiada ruang untuk pilihan bebas dalam pemilihan parti, mencerminkan tekanan untuk menyokong calon tertentu demi kepentingan imej parti,” katanya.
Terdahulu, polemik di antara Rafizi dan Nurul Izzah dilihat tercetus baru-baru ini selepas anak Presiden PKR itu mengesahkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.
Rafizi kemudian berkata, Anwar bakal menerima impak paling besar sekiranya puteri sulungnya itu kalah kali ini.
Katanya, kekalahan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hanya akan membawa mesej bapanya sudah ditolak parti sendiri.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, Rafizi dalam masa yang sama secara jelas merujuk kepada amalan nepotisme dalam PKR yang sedang berlaku dengan memberi merujuk sejarah sebelum ini yang dilihat bakal menjejaskan sebuah gerakan atau parti.
Katanya, Ahli Parlimen Pandan itu menggunakan pendekatan sindiran untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap hala tuju PKR.
“Ini ditafsir sebagai sindiran terhadap individu dalam parti yang lebih mementingkan jawatan daripada prinsip perjuangan. Beliau menggunakan pendekatan ini untuk menyuarakan kebimbangan terhadap arah tuju parti dan kepimpinan, sambil mengekalkan kesetiaan kepada prinsip demokrasi dan integriti dalam perjuangan politik,” tambahnya.
Bagaimanapun, sebagai orang yang berpengalaman dalam politik dan ahli setia PKR, penganalisis politik itu menyarankan supaya Rafizi menggunakan pendekatan berterus terang demi membawa mesej yang jelas sepanjang kempen pemilihan parti kali ini, sekaligus dapat membawa informasi tepat kepada akar umbi.
“Namun Rafizi perlu lebih berterus terang tanpa perlu menyindir dan kritikan halus agar mesej kempennya lebih jelas dan tidak kabur,” ujarnya lagi. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan