Ahli perniagaan rugi RM5.3 juta selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud
KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan kerugian RM5.3 juta selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud.
Ahli perniagaan berusia 67 tahun itu tergoda dengan skim terbait selepas menerima pulangan berjumlah RM24,308.48 daripada pelaburan awalnya.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa yang merupakan warga tempatan telah diperdaya oleh suspek melalui iklan di aplikasi Google dengan tawaran pelaburan “Primus Pacific Partners”.
Katanya, mangsa telah menekan pautan di iklan dan disambungkan ke aplikasi Whatsapp.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Ms Ng melalui panggilan telefon. Suspek memberitahu dia merupakan tenaga pengajar dalam pelaburan itu.
“Mangsa telah diberi penerangan berkenaan dengan pelaburan dan dimasukkan ke kumpulan Whatsapp. Mangsa telah mengikuti pelaburan tersebut lebih kurang seminggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hussein lagi, suspek telah meminta mangsa untuk mendaftar sebagai pelabur baru di satu platform yang dinamakan “Primus Pacific Partners Biz”.
Pada peringkat awal mangsa mendapat pulangan awal berjumlah lebih RM24,000 yang menjadikan dia yakin dengan pelaburan itu.
Katanya, mangsa telah membuat sebanyak 13 kali transaksi kemasukan wang berjumlah RM5.3 juta ketiga jenis akaun bank yang berbeza.
Jelasnya, setelah kesemua transaksi dibuat, mangsa dijanjikan dengan keuntungan mengikut harga pasaran.
“Bagaimanapun, apabila mangsa ingin membuat pengeluaran wang keuntungan pelaburannya, diarah untuk membayar cukai untuk mendapatkan wang tersebut.
“Mangsa berasa telah ditipu dan mengalami kerugian RM5.3 juta,” ujarnya.
Hussein mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munsabah khususnya menggunakan apliksi kewangan atau pelabauran tidak diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia.
Beliau menambah, sekiranya mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan ((NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan