Pusat hiburan pasang dua lapis pintu besi elak pihak berkuasa
PUCHONG: Sebuah pusat hiburan di Bandar Tasik Puteri, di sini, dikesan memasang dua lapisan pintu besi dan banyak pintu rahsia di bahagian atas premis dalam usaha melarikan diri ketika serbuan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, helah itu tidak berjaya apabila Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor berjaya 'mengepung' premis berkenaan ketika melakukan serbuan kira-kira jam 10 malam tadi.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata operasi itu membabitkan 13 pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Selangor yang diketuai Mohamed Firdaus Mohamed Abbu Bakar.
"Kami mendapati terdapat pintu besi dua lapisan dan banyak pintu rahsia di bahagian atas premis berkenaan yang menyukarkan pasukan operasi untuk masuk di tingkat atas.
"Kami mendapatkan bantuan daripada pihak Balai Bomba Bandar Puteri bagi memecahkan pintu dua lapis berkenaan yang dipercayai dikunci dari dalam.
"Sebaik pihak bomba berjaya memecahkan pintu berkenaan, pasukan serbuan berjaya membuat kepungan dan menahan semua individu di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi itu, katanya, seramai 75 individu diperiksa dengan 25 orang daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki warga Vietnam, 11 lelaki warga Laos, empat wanita Thailand serta dua lelaki warga Bangladesh.
"Kesemua warga asing yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 17 hingga 50 tahun," katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan pendatang tanpa izin (PATI) berkenaan adalah tidak memiliki pas atau permit sah serta melanggar syarat-syarat pas.
"Selain tangkapan, tiga saman saksi turut dikeluarkan dalam operasi terbabit.
"Tiada tangkapan membabitkan majikan dalam operasi ini. Satu laporan berkaitan operasi itu dibuat di Balai Polis Puchong.
"Kesemua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Menurutnya, serbuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak Imigresen bagi membanteras kemasukan Pati.
"Operasi seumpama itu juga bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang Imigresen dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
"Jabatan Imigresen turut menegaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan secara berkala di seluruh negeri ini sebagai langkah membendung aktiviti pelanggaran undang-undang oleh warga asing," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan