TEATER ISRAEL
DAN TRUMP
Pada 15 Mei yang lepas adalah Hari Nakba – hari Malapetaka yang ke 77 untuk warga Palestin. Pada 14 Mei 1948 – 77 tahun dahulu Israel didirikan di bumi Palestin. Semenjak wujudnya Israel dunia Arab – wilayah Timur Tengah – tidak pernah aman.
Perang Arab-Israel berlaku pada tahun 1948, 1956, 1967, 1973, 1982, 2006, 2023 hingga ke hari ini. Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Lebanon semuanya telah di serang oleh Israel.
Pada hari ini Mesir , Jordan dan Iraq telah lama berjaya di mandulkan oleh Zionis Israel. Pada 8 Disember 2024 yang baru berlalu kerajaan Syria di bawah pimpinan nasionalis Bashar al-Assad runtuh. Kini Syria di bawah kerajaan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) - anak syarikat Al-Qaeda.
Syria bukan saja telah mandulkan malah beberapa wilayah Syria kini diduduki oleh Israel.
Kewujudan Israel ini adalah projek penjajahan. Israel ialah penjajah yang diwujudkan oleh kuasa imperial Barat. Israel ialah sebuah ‘settler state’ atau Negeri Peneroka.
Negeri peneroka merujuk kepada negeri, atau wilayah yang ditadbir sebagai negeri, di mana sebilangan besar penduduk adalah peneroka, selalunya dari negara lain, dan yang menggantikan atau meminggirkan penduduk asli. Peneroka ini biasanya datang dengan matlamat untuk menubuhkan penempatan kekal dan selalunya dengan niat untuk mewujudkan masyarakat dan budaya yang berbeza ketara daripada budaya Bumiputera yang sedia ada. Proses ini selalunya dikaitkan dengan penjajahan.
Contoh terbaik ialah Australia, Canada , New Zealand, Amerika dan Singapura. Malah di Malaysia hari ini jika Bani Melayu tersilap berpolitik seperti di Singapura maka Pulau Pinang dan mungkin juga Tanah Melayu Semenanjung ini akan menjadi ‘ settler state’.
Israel pada awalnya disokong kuat oleh kuasa kolonial Inggeris. Ini ketika Inggeris menjadi kuasa dunia sebelum peranan ini diambil alih oleh Amerika.
Malah jangan lupa sejarah Tanah Melayu dengan Israel. Pada satu ketika dahulu tim bola Israel pernah datang bermain bola untuk merebut Piala Merdeka di Kuala Lumpur. Ini ketika Persekutuan Tanah Melayu di pimpin oleh budak suruhan Inggeris bernama Tunku Abdul Rahman.
Malah Tun Dr Mahathir juga pernah bermain mata dengan Zionis Israel.
Pada 21 Mac 1997 pasukan kriket Israel dibenarkan menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu di Kuala Lumpur. Kebenaran itu diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad atas semangat kesukanan. Mereka hadir dalam Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).
Semua ini bukti kekuatan negara kecil bernama Israel. Dari mana datangnya kekuasaan Israel ini ?
Telah beberapa kali saya menuliskan dan menyatakan bahawa Israel ini ialah pangkalan tentera untuk kuasa imperialis. Awalnya untuk kuasa imperial Inggeris kini Israel adalah pangkalan untuk kuasa imperialis Amerika.
Peranan Israel sama seperti peranan yang dimainkan oleh pangkalan tentera Amerika di Guam, di Okinawa, di Filipina, di Singapura atau di Giego Gracia. Apa yang berbeza hanyalah di Israel pangkalan tentera Amerika ini dibalut dengan mitos agama.
Agama Yahudi diguna dalam jalan cerita untuk memperkuatkan dan menghalalkan penjajahan bumi Palestin.
Minggu lalu Presiden Amerika Donald Trump telah melakukan lawatan resmi ke Saudi Arabia, ke Qatar dan ke UAE. Ketika lawatan Trump ini berjalan Perang Gaza masih berjalan. Malah Perdana Menteri Netanyahu dan kabinetnya telah membuat keputusan untuk terus menyerang Gaza dan melakukan genosid.
Dua matlamat Zionis Israel yang masih belum tercapai. Pertama membebaskan Yahudi yang kini menjadi tawanan Hamas. Dan ke dua untuk menghapuskan Hamas dan pengaruh Hamas di Gaza dan Palestin.
Makanan kini menjadi senjata untuk memusnahkan seluruh Gaza. Tidak cukup dengan kebuluran dari udara Israel terus mengebom khemah-khemah pelarian. Dari darat pula soldadu Israel datang membedil apa sahaja yang bergerak di Gaza.
Imej dan gambar mayat anak-anak kecil mati bergelimpangan ini menjadikan warga Eropah marah. Beratus ribu warga Eropah dari kota London, ke Amsterdam , ke Paris, ke Madrid, ke Berlin telah keluar berdemo menuntut kerajaan mereka menghentikan hubungan dengan Zionis Israel.
Keganasan Zionis Israel ini tidak dapat lagi disorok atau di kaburi. Justeru untuk pertama kalinya kerajaan UK telah berani menegur dan mengkritik Israel. UK menggantung perbincangan perniagaan pasaran dua hala yang sedang berjalan. Dalam masa yang sama kerajaan Keir Starmer juga menggesa Israel membenarkan bantuan masuk ke Gaza.
Presiden Macron dari Perancis dan Canselor Friedrich Merz dari German telah juga bersuara dan mula berani mengkritik Zionis Israel. Ini belum pernah beraku.
Paling jelas ialah pendirian Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Suara politikus dari Sepanyol ini amat lantang menyelar Israel dan menyokong Palestin
Malah kali ini PM Sepanyol ini telah meminta agar Israel di terajang keluar dari ikut serta dalam Pertandingan Eurovison. Ini adalah pertandingan muzik dan lagu untuk para seniman dan penyanyi Eropah yang bermula pada tahun 1956. Hari ini 37 negara Eropah termasuk Israel ikut sama bertanding.
Pedro Sanchez dari Sepanyol tidak bersandiwara. Sokongkan terhadap Palestin dari Sepanyol ada sokongan jujur. Ini tidak sama seperti yang sedang dilakukan oleh Donald Trump.
Dua minggu selepas lawatan Trump ke Timur Tengah akbar arus perdana di Amerika mula membuat heboh tentang hubungan Trump dengan Netanyahu. Trump dilaporkan kurang senang dengan tindak tanduk Netanyahu.
Media arus perdana Amerika membuktikan pandangan ini kerana Trump telah mengadakan rundingan terus menerus dengan Hamas. Netanyahu dan Israel telah di ketepikan.
Trump telah berunding dengan Hamas untuk membebaskan Edan Alexander anak muda 21 tahun yang memiliki dua kerakyatan. Netanyahu di laporkan enggan membebaskan tawanan kerana Netanyahu mahu tawanan ini untuk dijadikan sebab musabab untuk Gaza terus diserang.
Ketika Trump melawat Saudi Arabia, Qatar dan UAE – media arus perdana Amerika melihat bahawa Amerika semakin condong kepada Arab.
Netanyahu merasa terpencil dan dipinggirkan apabila Trump berjabat salam dengan Ahmad al-Sharaa pemimpin baru Syria di Riyadh. Sosok ini dicap pengganas oleh Jabatan Pertahanan Amerika. Malah ada 10 juta dolar ‘reward ‘ untuk kepala Ahmad al-Shaara yang dulu memakai nama Abu Jalani.
Saudi Arabia telah mengikat beberapa perjanjian perniagaan dengan Amerika. Nilai jual beli ini mungkin mencecah trilion dolar. Dalam masa yang sama Qatar telah menghadiahkan sebuah kapal terbang bernilai 400 juta dolar kepada Trump.
Tidak cukup dengan ‘rasuah kapal terbang ‘ Trump juga mengadakan rundingan damai dengan Houthi dari Yaman. Trump mahu Houthi tidak menyerang kapal Amerika di Laut Merah.
Untuk menyedapkan cerita Duta Amerika ke Israel Mike Huckbee telah berkata dalam temu bual Stesen12 TV Israel : "Amerika Syarikat tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Israel untuk membuat beberapa jenis pengaturan yang akan menyebabkan Houthi daripada menembak kapal kami."
"Terdapat 700,000 rakyat Amerika yang tinggal di Israel," Huckabee menyambung. "Jika Houthi mahu terus melakukan sesuatu kepada Israel dan mereka mencederakan seorang warga Amerika, maka itu menjadi urusan kami."
Semua ini dibaca dan di tafsir bahawa Trump kini lebih cenderung dan lebih rapat kepada negara-Arab. Apakah telah ada perubahan dasar luar Amerika terhadap Timur Tengah.
Untuk saya semua ini hanya teater dan sandiwara. Mustahil ada politikus Amerika yang berani melanggar kepentingan Israel. Trump sendiri ketika berkempen telah mendapat dana berjuta -juta dolar dari Yahudi Zionis yang kaya raya di Amerika.
Malah Donald Trump sendiri di kelilingi oleh sosok -sosok Zionis yang mengajukan dasar Israeli First. Malah menantu Trump sendiri Jared Kushner – seorang pemaju hartanah – adalah sosok Yahudi yang memeluk agama Kristian untuk berkahwin dengan anak Trump.
Jangan sesekali kita lupa kali pertama Trump menjadi Presiden pada 6 Disember 2017, dia secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menyatakan bahawa kedutaan Amerika akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Justeru teater dan sandiwara genre apa yang sedang di pentaskan oleh Donald Trump ini. Pementasan ini juga bersangkut paut dengan satu lagi perang – Perang Ukraine.
Teater ini semuanya menuju ke arah niat dan cita-cita Trump untuk dilihat sebagai Presiden Damai. Presiden damai untuk apa? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/news/743906







Tiada ulasan:
Catat Ulasan