Trump kerah pasukan Marine tangani protes di Los Angeles
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) akan mengerah kira-kira 700 anggota 'Marine' secara sementara ke Los Angeles sehingga lebih ramai anggota Pengawal Persekutuan tiba.
Tindakan itu menandakan satu lagi peningkatan dalam tindak balas Presiden AS, Donald Trump, terhadap demonstrasi jalanan berhubung dasar imigresen beliau yang agresif.
Demonstrasi itu berlarutan selama empat hari berturut-turut semalam, dengan ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar pusat tahanan Persekutuan yang menempatkan pendatang.
Tentera AS memaklumkan satu batalion akan dihantar bagi membantu melindungi harta dan kakitangan Persekutuan sehingga lebih ramai anggota Pengawal Kebangsaan tiba di lokasi.
Pentadbiran Trump ketika ini, tidak mengaktifkan Akta Pemberontakan yang membenarkan tentera terbabit secara langsung dalam penguatkuasaan undang-undang sivil, menurut pegawai AS yang enggan dikenali.
California semalam, memfailkan saman ke atas pentadbiran Trump bagi menghalang penempatan anggota Pengawal Persekutuan atau Marine dengan hujah tindakan itu melanggar undang-undang Persekutuan serta kedaulatan negeri.
Tidak lama selepas itu, Gabenor California, Gavin Newsom, berkata beliau dimaklumkan Trump akan mengerah tambahan 2,000 anggota Pengawal Persekutuan ke Los Angeles, susulan pengumuman pada Sabtu lalu.
Ketegangan semakin memuncak sejak Trump mengaktifkan Pengawal Persekutuan pada Sabtu lalu, susulan tercetusnya tunjuk perasaan jalanan sebagai reaksi terhadap serbuan imigresen di Selatan California.
Ia menjadi titik panas terbesar setakat ini dalam usaha agresif pentadbiran Trump mengusir pendatang yang menetap secara haram di AS.
Sementara itu, Ketua Polis Los Angeles, Jim McDonnell, berkata pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai ketibaan anggota marin di bandar itu.
Penempatan itu, katanya, 'menimbulkan cabaran besar daripada segi logistik dan operasi'.
Trump pula merasakan tidak memiliki pilihan selain mengarahkan penempatan pasukan keselamatan bagi mengelak keganasan menjadi tidak terkawal.
Demonstrasi itu setakat ini, mengakibatkan kerosakan harta, termasuk beberapa kenderaan pandu sendiri milik Waymo yang dibakar pada malam Ahad.
Jabatan Polis Los Angeles memaklumkan lima anggotanya mengalami kecederaan ringan, selain beberapa penunjuk perasaan membaling objek seperti konkrit dan botol ke arah pasukan keselamatan. - REUTERS

Dia punya negara dia punya cara dia punya hal kita sibuk tutup pintu-pintu sempadan nanti sampai satu ketika Rohingya minta satu negeri kah kah kah
BalasPadam